Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘Ramadhan’ Category

Saya ditanya : Bagaimana untuk seorang wanita yang istihadhah itu mengerjakan solat tarawih?

Jawapan : Dia boleh mengerjakan solat sunat selepas Isyak dan solat sunat Tarawih dengan wuduk solat Isyak tadi tanpa perlu memperbaharui wuduknya. Dengan syarat sebelum solat Isyak tadi, dia telah membersihkan farajnya dan mengenakan pad/kain dengan kemas dan ketat serta berwuduk. Disyaratkan juga tidak berlaku sebarang perkara yang membatalkan wuduknya selepas solat Isyak tadi seperti buang air kecil, kentut dan sebagainya.

Penjelasan : Asal bagi hukum seorang wanita yang istihadhah itu adalah sama seperti hukum wanita yang suci kecuali mereka ini perlu berwuduk setiap kali solat. Oleh itu, mereka itu boleh bersolat, berpuasa, membaca al-Quran, beriktikaf dan melakukan ibadah-ibadah lain sepertimana wanita yang suci.

Seperti yang disebut di atas, sekiranya wanita yang istihadhah itu hendak menunaikan solat fardhu, maka dia hendaklah berwuduk. Dan sebelum itu dia perlulah membersihkan farajnya dan mengenakan kain atau ‘pad’ padanya. Ia juga perlu diperkemas dan dikenakan dengan ketat untuk menghalang darah daripada mengalir keluar dengan banyak. Al-Imam al-Nawawi menyebut perihal mengenakan dan memperkemaskan kain untuk menutup faraj ini (atau disebut sebagai at-talajjum)  adalah wajib bagi wanita yang istihadhah sebelum mengerjakan solat fardhu. Kemudian barulah dia berwuduk. Perlu diingatkan di sini bahawa at-talajjum mesti mendahului wuduk. Hamnah radhiyallahu ‘anha datang bertemu Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam mengadu mengenai istihadhahnya yang banyak. Lalu Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam menyuruhnya supaya meletakkan kapas di tempat keluar darah. Hamnah memberitahu bahawa ia lebih banyak dari itu, darah tersebut berterusan mengalir keluar dan banyak. Lalu Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam menyuruhnya untuk meletakkan kain di tempat tersebut untuk menghalang darah. (Diriwayatkan oleh Ibn Majah. al-Albani berkata : Hasan)

Sekiranya darah keluar selepas dia membersihkan faraj dan mengenakan pad serta berwuduk, ia tidak membatalkan wuduknya dan solatnya. Dia boleh bersolat fardhu dan mengerjakan solat sunat sebanyak mana yang dia mahu selepas solat fardhu tersebut. Namun begitu, jika dia tidak mengenakan pad dengan baik lantas mengakibatkan darah mengalir keluar, maka dengan itu terbatallah wuduknya dan solatnya. Jika ini berlaku selepas solat fardhu maka dia tidak boleh mengerjakan solat sunat.

Menurut Mazhab Syafie, wanita istihadhah tidak boleh mengerjakan 2 (atau lebih) solat fardhu dengan satu wuduk kerana wajib berwuduk sebelum solat disebabkan sesuatu yang keluar dari faraj (dan dalam kes ini darah). Fatimah bint Abi Hubaisy didatangi istihadhah, lalu Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam  berkata kepadanya : “Sesungguhnya darah haid itu adalah hitam dan ia dikenali oleh wanita. Jika ia demikian maka janganlah solat. Tetapi jika ia lain dari itu, maka berwuduklah dan solatlah. (Diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Nasa’ie dan disahihkan oleh Ibn Hibban, al-Hakim dan al-Baihaqi. Al-Hakim berkata : Sahih atas syarat Muslim) Tetapi dia boleh mengerjakan solat sunat dengan wuduk solat fardhu tadi sebanyak mana yang dia kehendaki. Ini kerana solat sunat itu banyak, jika dia perlu berwuduk setiap kali hendak solat sunat maka itu pasti akan membebankan.

Allahu’alam.

Rujukan : Al-Nawawi, al-Majmu’, 2/492-493 & Dr. Abdul Karim Zaidan, al-Mufassal, 1/172.

Advertisements

Read Full Post »

Tamu yang Dinanti..

Tinggal beberapa detik sahaja lagi, tamu yang dicintai bakal tiba. Perasaan bercampur-baur; gembira dan juga gementar. Adakah tahun ini Ramadhan kita lebih baik dari yang sebelumnya? Apakah kita akan memberikan usaha paling maksimum untuk meningkatkan ibadah dalam bulan ini atau sekadar peningkatan yang begitu-begitu saja? Ramadhan.. suasananya sentiasa lain, udara yang dihirup padanya juga tidak sama dengan bulan-bulan yang lain. Inilah musim ketaatan dan mujahadah. Padanya terkumpul segala bentuk kesabaran; sabar dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah, sabar menahan diri daripada melakukan maksiat dan sabar atas rasa lapar, dahaga dan penat. Mampukah kita bersabar? Inilah ujian sebenar untuk orang yang beriman.

Puasa itu memerlukan sabar dan sabar itu ganjarannya diberi oleh Allah kepada hambaNya tanpa hisab. Oleh itu, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Setiap amalan yang dikerjakan anak Adam akan diberi pahala, satu kebaikan itu pahalanya 10 kali ganda hingga 700 kali ganda. Allah ‘Azza wa Jalla berkata : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untukKu dan Aku yang akan mengganjarinya. HambaKu meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumnya semata-mata keranaKu. Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan : kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih baik di sisi Allah dari bau wangian.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini menyatakan bahawa puasa itu terkecuali daripada penggandaan 10 hingga 700 kali. Mengapa? Kerana penggandaanya tidak terhad kepada ini saja! Bahkan Allah menggandakan pahala puasa ini dengan bilangan yang tidak terhad. Puasa itu adalah sabar dan sabar itu tiada batasan dalam ganjarannya seperti yang disebut dalam ayat 10 surah al-Zumar.

Dalam satu hadis yang lain yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, sebuah hadis qudsi menyebut : “Setiap amal anak Adam itu boleh menebus dosa, (tetapi) puasa itu adalah untukKu dan Aku akan mengganjarinya..” (Komentar Syu’aib al-Arna-uth : Isnadnya sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim). Di hari akhirat nanti, ketika amalan manusia itu ditimbang antara kebaikan dan kejahatan, antara dosa dan pahala, terkadang itu kebaikan kita diambil pahalanya supaya ia boleh memadamkan dosa dan kezaliman yang pernah kita lakukan kecuali amalan puasa. Tiada sesiapa yang boleh mengambil pahala puasa ini bahkan ianya tersimpan di sisi Allah dan ia pasti akan diberikan kepada Allah kepada hambaNya. Sebagaimana yang disebut dalam hadis qudsi di atas, puasa itu adalah untuk Allah dan Allah akan pasti mengganjarinya [Lihat : Ibn Rajab al-Hanbali, Latha-if al-Ma’arif,  m.s 234].

Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata kepada para sahabat : “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa padanya. Dalam bulan ini pintu syurga dibuka dan ditutup pintu neraka serta diikat syaitan-syaitan. Padanya juga ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, barangsiapa yang diharamkan kebaikannya maka dia telah diharamkan kebaikan seluruhnya.” (Diriwayatkan oleh Ahmad)

Wahai orang yang beriman, bergembiralah dengan musim terbukanya luas pintu syurga dan tertutupnya pintu neraka! Inilah musim rahmat dan kebaikan! Musim taubat dan kembali kepada Allah!

Di bulan ini, setiap malam kita semua mendapat jemputan khas baik untuk hamba yang taat mahupun yang banyak melakukan dosa; wahai pencari kebaikan, majulah dan teruslah mencari kebaikan dalam bulan ini! Wahai pencari kejahatan, hentilah dan tahanlah dirimu serta kembalilah kepada Allah! Pada bulan ini Allah menebus ramai penghuni neraka setiap malam dan semoga engkau termasuk dalam kalangan mereka. (Maksud hadis yang diriwayatkan oleh  al-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim)

Ibn Rajab berkata : “Barangsiapa yang dirahmati dalam bulan Ramadhan, maka sesungguhnya dia telah dirahmati dengan sebenar-benar rahmat. Barangsiapa yang diharamkan kebaikannya maka dia telah diharamkan seluruh kebaikan. Barangsiapa yang tidak mengambil Ramadhan sebagai bekalan untuk hari akhirat, maka dialah orang yang tercela.” [Latha-if al-Ma’arif, ms. 229]

Semoga kita mendapat kebaikan dalam bulan ini dan kami memohon dengan sebenar-benar permohonan agar diberikan petunjuk oleh Allah untuk melakukan ketaatan dengan sekuat mungkin dan tidak diharamkan keberkatan bulan yang mulia ini..

Read Full Post »