Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘Kekeluargaan’ Category

Isteri, Ibu dan ….

Dalam status FB saya sebelum ini, saya menyeru para isteri dan ibu untuk pulang dan tetap di rumah demi untuk menjaga dan mengajar sendiri anak-anak. Dan saya ditanya : Bagaimana jika suami berpendapatan sederhana yang memerlukan si isteri bekerja untuk menampung perbelanjaan?

 Saya tidak menolak sepenuhnya fenomena isteri bekerja ini kerana saya tidak nafikan mungkin ada situasi2 yang mana isteri perlu bekerja kerana DARURAT. Mengapa? Biarlah itu urusannya dengan Allah. Seperti halnya ibu saya yang bekerja kerana saya dan kakak telah kehilangan ayah sejak kami kecil.

Perlu diimani dengan iman yang benar bahawa Allah telah menetapkan tugas mencari rezeki dan menampung perbelanjaan keluarga adalah tanggungjawab dan kewajipan suami. Allah tidak menyebut secara spesifik berapa nafkah yang perlu dibelanjakan oleh suami tetapi Allah menyebut yang maksudnya : ”Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (al-Talaq : 7)

Dalam ayat ini, Allah menyebut bahawa suami mesti menyediakan perbelanjaan kepada keluarga sesuai dengan KEMAMPUAN SUAMI. Jika kaya maka belilah rumah dan kereta yang besar, jika sederhana belilah rumah dan kereta yang sederhana dan begitulah seterusnya. Bahkan Allah janjikan pula bagi mereka yang sempit, maka akan datang kesenangan selepas kesempitan itu! Subhanallah..

Oleh itu, isteri yang telah diperintahkan oleh Allah untuk tetap di rumah (al-Ahzab : 33) mesti bersedia untuk menerima dengan redha apa jua yang mampu disediakan oleh suami.

Seperkara lagi, sifir duit manusia berbeza dengan ’sifir’ yang disediakan oleh Allah. Bagi kita, the more we save, the more money we have. The more we earn, the wealthier we are. Lagi banyak duit yang dikeluarkan bukan untuk kepentingan kita, maka akan berkuranglah duit dan harta kita. Sedangkan yang benarnya, the more you give the more you will get (baik pahala mahupun harta!). Allah pula berkata yang maksudnya : ”Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.” (al-Baqarah : 276). Dan Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam juga ada menyebut : ’Sedekah itu tidak akan mengurangkan harta…’ (HR Muslim). Mari kita jadi kaya dengan bersedekah :)

Dan kita juga merasakan lagi ramai anak, lagi banyak duit kena cari dan kena pakai. Sedangkan Allah berkata yang maksudnya : “Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya…” (Hud : 6) Ini bermakna, lagi ramai anak maka akan bertambahlah rezeki si ayah tadi supaya si ayah boleh menjadi sebab untuk si anak mendapat perbelanjaan. Mari juga jadi kaya dengan meramaikan anak :)

Pokok pangkalnya adalah iman kita kepada Allah dan janji-janji Allah. Kebahagiaan, kekayaan (hati) dan kesenangan itu semuanya terletak pada mentaati Allah.

Dan yang sebenarnya, bila si isteri tidak bekerja, lebih boleh menjimatkan banyak wang dan mengurangkan perbelanjaan household.

Saya yakin ramai ibu yang bekerja di luar sana yang sangat-sangat ingin untuk menjaga dan mendidik anak-anak mereka sendiri. Mereka juga sayangkan anak-anak mereka sebagaimana saya menyayangi anak-anak saya. Namun, mungkin mereka ada kekangan yang terpaksa mereka tempuhi dulu sebelum dapat melaksanakan impian ini. Saya berdoa kepada Allah agar Dia memberi petunjuk kepada saya dalam mengurus rumahtangga dan anak-anak serta menetapkan saya atas jalan ini. Saya juga berdoa agar Allah memberi jalan keluar buat para ibu yang ingin mendidik anak-anak mereka sendiri dan memberi kemudahan kepada saya dan juga mereka dalam segala urusan. Ya Allah, jadikan kami isteri yang taat dan ibu yang mendidik dengan sabar dan penuh kasih sayang..

Advertisements

Read Full Post »

Saya tidak tahu tajuk apa yang patut saya letakkan pada artikel ini. Apa yang saya cuba sampaikan dalam penulisan ini adalah hasil reaksi daripada artikel yang disiarkan dalam surat khabar mengenai saranan untuk melayan suami seperti pe***** kelas pertama.

Pelbagai reaksi yang timbul, ada yang tidak bersetuju dan ada juga yang bersetuju. Adapun saya, pada mulanya saya terkejut membaca tajuk artikel tetapi akhirnya saya merasa insaf membaca artikel ini tatkala melihat petikan hadis Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam yang berbunyi : ”Jika seorang wanita itu solat lima waktu, berpuasa Ramadhan, memelihara kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah dia (ke dalam syurga) melalui mana-mana pintu yang dia kehendaki.” (Diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam Sahihnya). Selepas itu, saya seakan terlupa tujuan sebenar saya untuk menilai tajuk artikel yang menyentuh sensitiviti masyarakat itu, sebaliknya saya mula menilai diri saya. (more…)

Read Full Post »

Mama, Ibu..

Beberapa hari ini saya agak sibuk menghabiskan masa bersama keluarga suami. Pada hari Ahad lepas kakak ipar saya telah selamat melahirkan seorang anak lelaki di Hospital Serdang. Alhamdulillah. Saya teringat ketika saya melahirkan Abdullah di hospital yang sama. Pengalaman yang menyakitkan tetapi sangat manis dan berharga. Saya tidak pasti jika saya dapat merasainya lagi. Segala puji bagi Allah atas apa jua keadaan.

Saya bersyukur kepada Allah kerana dikurniakan seorang anak. Anak.. ya, ia satu anugerah yang istimewa. Dan ia juga satu ujian dan tarbiyah dari Allah. Allah ingin menguji adakah saya bersyukur atas nikmatNya. Ia juga mendidik saya kerana saya melihat pengalaman mengandungkan, melahirkan dan mendidik anak adalah sebagai satu tarbiyah dari Allah untuk saya lebih menghargai dan menyayangi mama saya. Setelah bergelar ibu, baru saya tahu betapa susahnya mama membesarkan saya dan kakak apatah lagi tanpa ayah di sisi sejak umur saya 4 tahun.

Ketika kandungan saya mencecah 8 bulan, badan semakin berat. Saban hari saya menangis memikirkan beginilah susahnya mama mengandungkan saya. Betapa banyaknya dosa saya kepada dia! Ke sana ke mari saya menjaja nasihat kepada kawan-kawan dan adik-adik supaya jangan sekali-kali menderhaka kepada ibubapa, lebih-lebih lagi kepada ibu.

Untuk mama..

Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Bagi penjaga anak yatim itu (samada keluarganya atau orang asing), aku dan dia seperti dua ini di syurga.” Perawi hadis iaitu Malik bin Anas mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

‘Aisyah radhiyallahu ‘anha  berkata : Seorang wanita bersama 2 orang anak perempuan datang meminta kepadaku, aku tidak mempunyai apa-apa melainkan sebiji tamar. Lalu aku berikan kepadanya dan dia membahagikan tamar itu kepada dua dan memberikannya kepada kedua anak perempuannya sedangkan dia tidak makan apa-apa. Kemudian dia berlalu pergi. Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam datang dan aku memberitahu Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam mengenai peristiwa tadi, lalu Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka ini akan menjadi pelindung baginya daripada api neraka.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Ya Allah, ampunkanlah dosa mama dan rahmatilah dia serta masukkanlah dia ke dalam syurga bersama-sama para Nabi, syuhada’ dan orang-orang soleh.

Read Full Post »

Ada satu kisah yang saya baca dalam kitab ‘Hayya Bina Nu’min Sa’ah‘ (Marilah Kita Beriman Seketika). Kisah ini juga saya pernah dengar dalam kuliah Syaikh Muhammad Hassan hafizhahullah. Ia disandarkan kepada Ummu ad-Dardaa’ kalau tak salah. Dan ada juga disandarkan kepada wanita lain dari kalangan Salafuna al-Salih ridhwanullahi ‘alayhim. Saya kira siapa pun wanita tersebut, inilah akhlak wanita pada zaman as-Salafus-Salih. Moga jadi pengajaran.

Pada malam pertama wanita tersebut berkahwin, ketika dia duduk bersama dengan suaminya buat pertama kalinya, dia memulakan bicaranya dengan khutbat al-haajah (Subhanallah!), lalu berkata : Sesungguhnya aku ini wanita yang asing bagimu, dan aku tiada pengetahuan mengenai akhlakmu dan akhlak ahli keluargamu. Maka beritahulah aku apa yang engkau sukai, maka akan aku kerjakan dan apa yang tidak engkau sukai maka aku akan jauhi!

Pergaulan yang baik adalah hak suami dan juga hak isteri. Isteri wajib diperlakukan dengan baik sebagaimana suami wajib diperlakukan dengan baik. Suami dan isteri mesti berusaha untuk memasukkan kegembiraan dalam hati pasangan masing-masing.

Seorang lelaki dan seorang perempuan itu tidak boleh memasuki alam rumahtangga melainkan dia tahu hak dan kewajipan dia. Jika si isteri melihat haknya dikurangi oleh pihak suami, dia mesti memberi nasihat dengan cara baik, dan jika dia berdiam diri maka itu dikira dia telah mendiamkan suatu mungkar! Itulah pentingnya isteri juga untuk tahu haknya.

Walaubagaimana pun, kewajipan isteri sangat BESAR. Saya berani mengatakan bahawa kewajipan isteri terhadap suami lebih besar daripada kewajipan suami ke atas isteri. Ini kerana Allah Ta’ala menyebut bahawa bagi lelaki itu dilebihkan satu darjat dan para ulama’ berbeza pendapat apakah darjat tersebut.

Pergaulan yang baik mesti dimulakan dengan niat yang baik. Seorang isteri mesti meluruskan niatnya bahawa perkahwinan adalah satu wasilah untuk mentaati Allah. Mentaati suami bererti mentaati Allah. Jika dia tidak meniatkan perkahwinan untuk mentaati Allah, maka susahlah untuk dia mentaati suaminya, Dalam satu hadis sahih ada menyebut seorang wanita itu tidak menunaikan hak Tuhannya selagi dia tidak menunaikan hak suaminya!

Bagi saya, dalam perkahwinan tidak pernah ada isu yang kecil. Mungkin kita rasa perkara ini remeh, tapi setiap kata, setiap langkah, setiap gerak memberi impak dalam perkahwinan.

Untuk para suami, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam mengibaratkan isteri ini sebagai tawanan dan lemah sifatnya (al-hadiith). Maka berlemah-lembutlah dan layanlah isteri dengan baik. Jika dengan seluruh bumi dan seisinya si suami boleh berbuat baik tetapi dengan isteri tidak, maka ketahuilah dia seorang yang berpura-pura! Itulah sebab Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam kata mereka yang paling baik adalah yang paling baik kepada isteri. Hanya isteri saja yang tahu akhlak suami yang sebenar. Jika si isteri tidak menjalankan kewajipan, si suami punya kuasa talak atau si suami boleh berkahwin lain. Tapi jika si suami menzalimi isteri..? si isteri tiada tempat lain untuk bergantung melainkan kepada Allah jualah dia memohon pertolongan. Syaikh al-Syanqiti hafizhahullah berkata : Jika hak isteri dizalimi maka itu adalah lebih besar halnya dan lebih teruk keadaannya jika hak suami dizalimi.

Untuk diri sendiri dan para isteri, harapkanlah balasan dari Allah untuk setiap keringat kita berkhidmat untuk suami dan keluarga. Harapkanlah ganjaran dari yang Maha Kaya untuk setiap kepatuhan, kerendahan, penundukan kita kepada suami.

Nasihat tidak lain untuk diri sendiri. Mudah-mudahan yang lain mendapat manfaat. Saya juga masih baru dalam rumahtangga dan masih banyak perlu dipelajari. Tidak mudah menjadi isteri yang taat di zaman yang penuh dengan propaganda Barat dan di zaman yang kononnya wanita mendahului atau sama dengan lelaki dalam banyak hal.

Allah al-Musta’an.

Read Full Post »

Pesan Sebelum Kahwin

Saya teringat dahulu sebelum saya mendirikan rumahtangga, saya meminta nasihat daripada ramai orang termasuklah seorang wanita yang saya kenali di UIA, Ummu Khuzama.. dia berasal dari Jordan. Suaminya ialah kawan kepada suami saya. Dia mempunyai 2 orang anak ketika saya mengenalinya, Khuzama dan Umaymah. Kini, saya mendapat khabar berita bahawa dia telah melahirkan anak lelaki yang diberi nama Abdul Aziz. Kini dia adalah Ummu Abdil Aziz.

Seingat saya, kami berjumpa dan berkenalan hanya dalam tempoh setahun, kemudian dia pulang ke Jordan. Suhbah (persahabatan) dan keakraban yang telah Allah tetapkan ini ibarat satu mimpi bagi saya, perkenalan cuma seketika tapi begitu banyak yang saya dapat dan pelajari daripadanya. Kami sangat akrab dan boleh dikatakan setiap minggu saya akan ke rumahnya. Masha Allah.. Dia adalah sosok wanita yang ingin saya contohi, wanita pertama yang saya lihat sangat-sangat mencintai ilmu dan sangat berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah. Setiap kali kami bersama dalam kuliah al-Aqidah al-Tahawiyah, dia pasti boleh mengikut dan menyambung setiap kata-kata Syeikh Aiman. Saya yakin dia telah membaca dan mengulang kitab itu berkali-kali. Saya tidak tahu apakah pengakhiran hidupnya dan apa yang ada dalam hatinya, tapi inilah yang saya nampak secara lahirnya dan Allah jualah yang lebih mengetahui.

Saya sangat terkesan dengannya dan saya mendapat banyak manfaat daripadanya. Benarlah sabda Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam : ‘Perumpamaan sahabat yang baik dan sahabat yang jahat itu adalah seperti orang yang memakai misk (wangian) dan orang yang memakai kiir. Orang yang memakai misk akan memberikannya kepadamu sebagai hadiah atau kamu akan membeli sebahagian daripadanya atau kamu akan memperolehi bau yang harum daripadanya. Tetapi orang yang menghembuskan kiir akan membuat bajumu terbakar atau kamu akan mencium bau busuk daripadanya’ (HR al-Bukhari dan Muslim).

Sebelum melangkah ke dunia perkahwinan, saya meminta nasihat daripadanya, ‘Bi ma tanshohiini ya Umma Khuzama?’ (Apakah yang kau akan nasihatkan aku wahai Ummu Khuzama?). Dia menjawab : ‘Alayki bi taqw            allah, wa al-ikhlas, wat-tibaa’ sunnati-nabiyy shallallahu ‘alayhi wa sallam’ (Hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah, sentiasa ikhlas dan mengikut Sunnah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam). Sungguh kata-katanya terpahat dalam hati saya hingga kini, setelah lebih 2 tahun mendirikan rumahtangga dan sekuat mungkin saya cuba mengamalkan setiap butir nasihatnya. Dan saya sentiasa menasihatkan mereka yang akan mendirikan rumahtangga dengan kata-katanya ini supaya kebaikan dan manfaat nasihat ini berterusan sampai bila-bila.

Saya bukanlah orang yang berpengalaman mengenai hal-ehwal rumahtangga, bahkan saya sendiri baru bertatih meniti alam ini. Tapi apa yang mampu saya katakan ialah; perkahwinan benar-benar mengajar saya erti kehidupan yang sebenar. Alamnya penuh dengan cabaran dan sentiasa menguji keimanan dan kepatuhan sebagai seorang hamba Allah Ta’ala serta menduga kekuatan fizikal dan mental seorang wanita. Alhamdulillah, Allah mentakdirkan saya untuk mendapat nasihat yang berharga daripada seorang sahabat yang baik, dan berbekalkan nasihat itulah saya meneruskan kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu.

Taqwa; itulah kunci kebahagiaan hidup dan itulah faktor terbesar yang  menjamin kebahagiaan rumahtangga. Terdapat banyak definisi taqwa seperti yang ditafsir oleh salafus-soleh dan para ulama’ rahimahumullah tetapi untuk diri saya sendiri, saya senang memilih definisi ini kerana mudah difahami :

التقوى أن تعمل بطاعة الله على نور من الله ترجو ثواب الله وأن تترك معصية الله على نور من الله تخاف عقاب الله

Taqwa itu ialah engkau  melakukan ketaatan kepada Allah, atas cahaya dari Allah (atas dasar ilmu dari al-Quran dan Sunnah) serta mengharapkan pahala daripada Allah, dan engkau meninggalkan maksiat kepada Allah, atas cahaya dari Allah (atas dasar ilmu dari al-Quran dan Sunnah) kerana takutkan balasan Allah.

Ringkas dan padat; taqwa merangkumi tiga aspek penting : amal, ilmu yang sahih dan ihtisab (mengharap balasan daripada Allah). Apabila adanya tiga perkara ini, maka terlaksanalah taqwa.  Satu lagi kata-kata yang sentiasa terpahat dalam hati dan sering saya ulang di hadapan suami untuk tujuan muhasabah ialah apa yang disebut oleh Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti hafizhahullah dalam salah satu siri kuliah beliau; Fiqh al-Usrah (Fiqh Kekeluargaan) :

كتب الله السعادة لكل زوج وزوجة يتقي الله كل منهما في الآخر، كتب الله السعادة لبيوت قامت على رعاية الحقوق وأداء الأمانة..

Maksudnya : Allah menetapkan (menjamin) kebahagiaan bagi suami dan isteri yang bertaqwa kepada Allah pada pasangan mereka, Allah juga menjamin kebahagiaan bagi rumah yang didirikan atas dasar pemeliharaan hak dan pelaksanaan tanggungjawab.

Ikhlas; jari-jemari saya kaku seketika untuk mensyarahkan kalimah ini. Terlalu besar maknanya dan mendalam ertinya. Inilah aset yang paling diperlukan  oleh seorang isteri dan ibu selepas taqwa. Bagaimana mungkin di zaman serba duniawi ini dan digasak pula dengan propaganda Barat, seorang wanita itu bisa rela dan redha membiarkan dirinya menjadi mamluk (yang dimiliki) si suami, diam tetap dia di rumah suaminya serta memberikan ketaatan dan kepatuhan yang tidak berbelah bahagi? Ikhlas.. Sang wanita mesti membulatkan seluruh hatinya untuk menyahut seruan dan perintah Allah. Setiap kepayahan dan keletihan hanya terbayar dengan janji-janji Allah buat mereka yang melaksanakan perintahNya dan menjauhi laranganNya. Apabila setiap kerja yang dilakukan adalah untuk Allah, yang sukar menjadi senang, yang buntu ada jalan keluar, yang sempit menjadi lapang, hati yang gundah menjadi tenang. Jika si isteri mengharapkan balasan si suami, si suami tidak akan sekali-kali dapat membalas setiap keringat isteri yang berhempas pulas menjaga rumah dan seisinya, maka harapkanlah balasan dari yang Maha Kaya. Jika tiada ikhlas, masa itulah terjadinya ungkit-mengungkit, sedangkan tanggungjawab itu memang wajib kita laksanakan dan bukannya ia pilihan kita atau tidak.

Mengikut Sunnah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam; Sunnah itu cara hidup, tidak mungkin sebuah perkahwinan itu bahagia tanpa mengikut Sunnah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam. Jika Sunnah tidak diikuti oleh si suami dan si isteri, hidup mereka sia-sia dan perkahwinan mereka tidak akan menyampaikan keduanya ke syurga Allah.

Read Full Post »