Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘Hadis’ Category

KEPALSUAN hadis kelebihan ibu yang mengandung dan melahirkan ;

“Apabila seorang wanita redha atas kehamilannya dari suaminya yang sah, sesungguhnya dia mendapat ganjaran pahala seperti ibadah puasa dan mengerjakan ibadah-ibadah lainnya di jalan Allah dan jika dia merasa sakit hendak bersalin, tidaklah dapat dibayangkan oleh penghuni langit dan bumi, betapa kesenangannya disediakan oleh Allah di hari akhirat nanti. Apabila anaknya lahir, maka dari setiap teguk air susu yang dihisap oleh anak, si ibu mendapat kebajikan pahala. Apabila si ibu berjaga malam (kurang tidur kerana anak) maka si ibu mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba sahaya kerana Allah.”

Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Awsath, al-Hasan bin Sufyan dalam Musnadnya, Ibn ‘Asakir dan al-Dailami. Hadis ini dihukum PALSU oleh Ibn Hibban dalam al-Majruuhiin, Ibn al-Jauzi dalam al-Maudhuu’aat, al-Suyuthi dalam al-Aalii al-Masnuu’ah, al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah wa al-Maudhuu’ah.

Berkata Ibn Hibban :

وقد روى عن أنس بن مالك حديثا موضوعا يشهد الممعن في الصناعة بوضعه، لا يحل ذكره في الكتب إلا على وجه الاختبار للخواص.

Beliau (‘Amr bin Sa’iid) meriwayatkan satu hadis palsu dari Anas bin Malik, mereka yang meneliti hadis ini dengan baik pasti dapat mengenal pasti kepalsuannya. Tidak halal meriwayatkan hadis ini dalam mana-mana kitab kecuali untuk tujuan menguji mereka yang arif dalam bidang ini.

(Lihat : Ibn Hibban, al-Majruuhiin, 2/68)

Kepalsuan hadis ini tidak bermakna ibu yang mengandung dan melahirkan tidak mendapat ganjaran pahala dari Allah. Bukankah keumuman hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam menyebut : “Tidaklah seorang mukmin itu ditimpa kepenatan, kesakitan, perkara yang tidak disukainya, kesedihan, bahaya (yang disebabkan oleh orang lain) dan kerisauan, hatta duri yang mencucuknya kecuali Allah akan mengampunkan dosa-dosanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dan cukuplah juga kepayahan ibu mengandung, melahirkan dan menjaga anak ini digantikan oleh Allah dengan kedudukan ibu yang sangat tinngi di sisi seorang anak itu.

Read Full Post »

Habibi Ya Rasulullah!

Antara faedah daripada video di atas :

– Firman Allah yang bermaksud : “Dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh serta beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad (s.a.w) – yang ialah kebenaran dari Tuhan mereka, – Allah mengampunkan dosa-dosa mereka, dan menjayakan keadaan mereka (di dunia dan di akhirat).” (Muhammad : 2)

– Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Orang yang paling mencintaiku dari kalangan umatku yang datang selepasku adalah mereka yang sanggup (ingin) melihatku dengan (menggadaikan) keluarganya dan hartanya.” (Diriwayatkan oleh Muslim dari Sahabat Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu)
Apakah kita mencintai Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam sehingga tahap ini?

– Adakah kamu mencintai Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam lebih daripada kecintaanmu terhadap ibubapamu?

– Adakah kamu mencintai Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam lebih daripada kecintaanmu terhadap anakmu?

Sama-sama kita muhasabah diri dan berusaha menanamkan kecintaan kepada Nabi kita -shallahu ‘alayhi wa sallam-.

Read Full Post »

Doa Istikharah

Kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: “Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini:

اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ – يُسَمِّيهِ بِعَيْنِهِ الَّذِى يُرِيدُ – خَيْرٌ لِى فِى دِينِى وَمَعَاشِى وَمَعَادِى وَعَاقِبَةِ أَمْرِى فَاقْدُرْهُ لِى وَيَسِّرْهُ لِى وَبَارِكْ لِى فِيهِ اللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُهُ شَرًّا لِى مِثْلَ الأَوَّلِ فَاصْرِفْنِى عَنْهُ وَاصْرِفْهُ عَنِّى وَاقْدُرْ لِىَ الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ رَضِّنِى بِهِ

“Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya”.

(sebutkan urusan yang dimaksudkan di tempat yang bertitik).

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’ie dan Ibn Majah oleh Sahabat Abdullah bin Jabir radhiyallahu ‘anhu.
Terjemahan doa ini diambil daripada :
http://doaharian.blogspot.com/2007/04/doa-solat-istikharah.html

 

Read Full Post »

Jangan Putus Asa!

Assalamu’alaykum..

Sudah hampir 2 bulan saya tidak menulis apa-apa di blog ini. Berhenti menulis di bulan Ramadhan membuatkan saya agak lambat untuk mula menulis semula. Semoga Allah memberikan saya taufiqNya dan mengampunkan dosa saya.

Alhamdulillah, hari ini saya membaca kitab Majmu’ al-Fataawa oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah rahimahullah, dan seperti biasa, saya selalu mendapati butir-butir mutiara di dalam hasil penulisan beliau. Buah fikirannya sering mendatangkan faedah yang besar untuk mereka yang membacanya, dan sudah tentu faedah untuk agama dan iman. Semoga Allah merahmati beliau dengan rahmat yang luas dan menempatkan beliau di Syurga serta memberikan beliau ganjaran yang besar atas sumbangan dan jasanya kepada umat Islam hingga ke hari ini.

Saya tertarik dengan satu hadis yang beliau syarahkan. Hadis ini sering saja kita dengar dan ulang-ulang. Dalam Sahih Muslim, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda : “Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Kedua-duanya adalah baik. Bersungguh-sungguhlah menuntut perkara yang bermanfaat bagimu dan mohonlah pertolongan daripada Allah serta janganlah berasa lemah. Jika sesuatu menimpamu, janganlah berkata : ‘Kalau aku buat begini, pasti akan begini dan begini..’, tetapi katakanlah : Qaddarallahu ma sya’a fa’ala (Allah telahpun menetapkannya dan Dia perbuat apa yang Dia kehendaki). Sesungguhnya perkataan ‘kalau’ itu membuka kerja syaitan’.

Dalam hadis ini, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam menyuruh kita supaya bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada kita, memohon pertolongan daripada Allah serta melarang kita daripada merasa lemah, malas dan berputus asa. Tetapi apakah dia perkara yang bermanfaat itu? Ia bukanlah semata-mata apa yang kita fikirkan bermanfaat akan tetapi perkara yang paling bermanfaat pada seorang mukmin itu adalah setiap bentuk ketaatan kepada Allah dan RasulNya. Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam melarang kita daripada bersikap lemah dan putus asa kerana ia adalah satu perkara yang merugikan, bersikap tidak mengambil berat terhadap diri sendiri dan membinasakan. Seperti sabda Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam dalam satu hadis yang lain : “Orang yang bijak itu ialah orang yang sentiasa berusaha (supaya menjadi seorang yang taat dan patuh) dan beramal untuk apa yang akan berlaku selepas mati manakala orang yang malas (berusaha) pula ialah orang yang mengikut hawa nafsunya dan berharap agar Allah akan mengampunkannya dan memberi kebaikan kepadanya.” [Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Majah, al-Baihaqi, al-Tabarani dan al-Hakim. Al-Tirmizi berkata hadis ini hasan. Al-Hakim : Hadis ini sahih atas syarat al-Bukhari tetapi al-Zahabi mengatakan bahawa hadis ini bukan atas syarat al-Bukhari, dan Abu Bakar (salah seorang perawi hadis) adalah waahiin]

Ibn Taimiyah mengatakan bahawa setiap urusan itu terbahagi kepada 2, pertama; urusan yang ada jalan keluar. Kedua; urusan yang tiada jalan keluar. Jika suatu perkara itu ada jalan keluar, maka janganlah berputus asa dan berusahalah mencari sesuatu yang baik. Dan jika ia tiada jalan keluar, maka bersabarlah dan jangan hilang kawalan.

Rujukan : Majmu’ al-Fataawa, jil. 10, ms. 288.

Read Full Post »

Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Siapa yang membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat fardu, maka tidak ada yang dapat menghalangnya masuk Syurga melainkan dia mati.”

Takhrij hadis :

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Nasa’ie dalam al-Kubra, Ibn Hibban, al-Rawayaani, al-Daruquthni dalam al-Afrad, al-Dhiya’ dan al-Tabarani dalam al-Awsath oleh Sahabat Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu. Al-Haithami berkata : ‘Al-Tabarani meriwayatkan hadis ini dalam al-Kabir dan al-Awsath dengan perlbagai jalan, salah satu daripadanya adalah sanad yang baik.’

Penjelasan hadis :

Hadis ini menunjukkan kelebihan membaca ayat al-Kursi selepas solat. Siapa yang membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat maka tidak ada apa yang dapat menghalangnya daripada masuk Syurga kecuali mati iaitu tidak ada syarat lain untuk dia masuk Syurga melainkan dia perlu menghadapi kematian. Perkara yang ada di antara seseorang itu dengan Syurga hanyalah maut,seolah-olah maut itu berkata ; ‘Kamu kena melepasi aku dahulu sebelum masuk Syurga.’ (Lihat : al-Taysir Bisyarh al-Jami’ al-Saghir, 2/844)

Read Full Post »

Ekstrimkah saya bila saya mengatakan bahawa shopping complex dibenci oleh Allah? Adakah suka-suka saya menyebut demikian? Sekali-kali tidak. Kita sudah dewasa, punya akal untuk menganalisis mana baik dan mana buruk. Tapi akal yang lurus, bukan akal yang bengkok yang tunduk pada hawa nafsu. Apa yang baik itu bukanlah apa yang kita sangka baik. Dan yang buruk pula bukanlah apa yang kita definisikan sebagai buruk. Baik itu adalah apa yang Allah dan RasulNya kata baik dan yang buruk itu adalah apa yang Allah dan RasulNya kata buruk.

Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam menyebut : ‘”Tempat yang paling baik di sisi Allah adalah masjid dan tempat paling dimurkaiNya adalah pasar-pasar.” (Hadis Riwayat Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya’la dan al-Hakim. Al-Hakim berkata : Isnadnya sahih)

Di zaman Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam belum wujud lagi shopping complex seperti yang kita ada sekarang. Mungkin dahulu, hanya wujud jual beli. Oleh itu, jika dilihat syarah hadis oleh al-Munaawi di bawah, beliau menyebut pasar itu dibenci kerana banyaknya kelalaian, fitnah, penipuan, ketamakan dan sumpah palsu. Bayangkanlah, shopping complex yang ada di zaman ini, bukan sekadar penipuan, sumpah palsu dan ketamakan, malah lebih dari itu. Maksiat, mungkar, arak, pergaulan bebas, wanita tidak menutup aurat dan lain-lain.

Al-Munaawi menjelaskan hadis ini bahawa pasar itu merupakan tempat yang penuh dengan kelalaian, penipuan, ketamakan, khianat dan sumpah palsu. Dan kebanyakan mereka yang suka ke pasar-pasar ini terdiri daripada syaitan dari kalangan manusia dan jin. Ini hanya akan membuatkan seseorang bertambah jauh dari Allah dan orang-orang yang dikasihiNya serta mendekatkan seseorang itu dengan syaitan dan pasukannya; kecuali orang-orang yang mencari rezeki yang halal untuk menjaga maruah dan agamanya.

Adapun pasar ini disebut sebagai tempat yang dibenci adalah kerana maksiat yang dilakukan oleh kebanyakan mereka yang berada di dalamnya dan hati mereka ini sering lalai dan seluruh jiwa raga mereka hanya bertumpu kepada apa yang ada dalam pasar tersebut.

Pasar adalah satu tempat untuk mecari rezeki dan kurnia Allah dan ia juga satu daerah di mana Allah menjadikan ia tempat untuk bertukar-tukar hak milik (iaitu ada yang menjual dan ada yang membeli). Tetapi apabila ahli dunia memasukinya, hati mereka terus terpaut dan lalai serta berlakunya banyak fitnah. Maka jadilah pasar itu tempat yang dibenci Allah. Jika tidak kerana perkara ini, pasar itu adalah satu rahmat  dari Allah kerana Dia telah menjadikannya satu tempat untuk manusia itu mencari rezeki untuk terus hidup dan manusia lain pula dapat mencari keperluan hidup mereka.

Sesungguhnya manusia yang lalai telah mencemarkan tempat yang asalnya adalah rahmat dan nikmat oleh Allah dengan melakukan banyak maksiat dan mungkar. Adapun mereka yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, apabila mereka memasuki pasar, hati mereka sentiasa mengingati Allah dan terselamat dari fitnah. Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam jugamemasuki pasar, menjual dan membeli. [Lihat : Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/221]

Teks di atas saya ringkaskan dan olah sedikit bahasanya dari penjelasan al-Imam al-Munaawi.

Oleh itu, pengajaran yang saya dapat dari hadis di atas dan penjelasannya ialah pergi ke shopping complex dan pasar hanya jika perlu sahaja dan elakkan daripada menghabiskan masa berjam-jam di sana tanpa ada hajat. Allahu’alam. Semoga bermanfaat.

Read Full Post »

Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Akan masuk syurga 70,000 orang dari kalangan umatku tanpa dihisab”, mereka berkata : Siapakah mereka wahai Rasulullah? Baginda menjawab : “Mereka ialah orang tidak mengubati dirinya dengan ruqyah (jampi), tidak percaya kepada petanda baik atau buruk (dengan melihat burung dan sebagainya) dan tidak membakar bahagian tubuh yang sakit dengan besi panas. Mereka bertawakal kepada Allah semata-mata”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penjelasan Hadis

Mengapa di sini orang yang meninggalkan ruqyah itu dipuji serta diberi kelebihan masuk syurga tanpa hisab sedangkan ruqyah itu diajar dan diamalkan sendiri oleh Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam? Para ulama’ mempunyai beberapa pendapat dalam menafsirkan phrase yang saya boldkan di atas. Antaranya :

  1. Ia membawa maksud mereka yang menjauhkan diri daripada kepercayaan bahawa ubat itu mendatangkan manfaat dengan sendirinya seperti mana yang dipercayai oleh orang-orang jahiliyah.
  2. Ruqyah yang dipuji sekiranya ditinggalkan itu adalah jenis ruqyah daripada perkataan jahiliyah, bukan daripada al-Quran dan Sunnah yang sahih serta jampi yang tidak dapat difahami maknanya.

(Rujukan : Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani)

 Adakah bertawakal itu bermaksud meninggalkan usaha dan sebab?

Tidak sama sekali; kerana itu bertentangan dengan Sunnah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam. Begitu banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyuruh manusia itu berusaha untuk mendapatkan apa yang dihajati. Antaranya; Allah menyebut dalam Surah al-Baqarah ayat 233, maksudnya : […dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya…]. Manakala dalam hadis pula, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Tiada seorang pun yang makan suatu makanan lebih baik daripada apa yang diusahakan dengan tangannya sendiri, sesungguhnya Nabi Daud ‘alayhis-salam makan daripada hasil tangannya sendiri” (hadis riwayat al-Bukhari). Tetapi dalam usaha untuk melaksanakan tawakal, seseorang itu tidak boleh merasakan bahawa sebab itulah yang mendatangkan manfaat atau menolak kemudaratan daripada dirinya tetapi semua itu datangnya dari Allah. Seperti yang saya sebut dalam artikel ‘Tawakal’ sebelum ini, benar sekali apa yang dikatakan oleh Ibn Rajab al-Hanbali (semoga Allah merahmatinya) bahawa manusia itu sangat sedikit tawakalnya, mereka berlebih-lebihan dalam mengambil sebab sedangkan bahagian mereka telah pun ditetapkan oleh Allah. Ambillah sebab tetapi biarlah sekadarnya, jangan berlebih-lebihan sehinggakan kita sendiri tak sedar bahawa kita mengimani yang sebab itulah 100% membawa kita mencapai hajat kita. Seperti dalam hadis burung keluar mencari rezeki, bukankah dia terbang keluar itu satu usaha, tetapi itu usaha yang kecil, pun begitu Allah tetap mendatangkan rezeki padanya kerana ia telah pun tertulis!

Ketika belajar dahulu, saya kurang bersetuju dengan mereka yang terlalu bertungkus-lumus study untuk exam. Saya tak nafikan rajin belajar itu satu perkara yang baik, tapi jika sampai nak pakai baju pun masih mengintai-ngintai buku, pada pendapat saya itulah yang dimaksudkan ‘berlebih-lebihan’ dalam mengambil sebab.

Adakah keadaan di mana seseorang itu hanya bertawakal dan tidak mengambil sebab?

Saya katakan ada; hanya apabila memang TIADA sebab untuk seseorang itu mendapat apa yang dihajatinya. Peristiwa-peristiwa ini memang benar-benar terjadi dalam realiti kehidupan sebagaimana yang disebutkan dalam kisah Nabi Ibrahim ‘alayhis-salam ketika Baginda hendak dicampakkan dalam api lalu api menjadi sejuk. Begitu juga dengan kisah Nabi Musa ‘alayhis-salam ketika Baginda dikejar oleh tentera Fir’aun lalu laut terbelah. Inilah perkara-perkara yang berlaku di luar kebiasaan adat.

Oleh itu, berusahalah semampunya dan bertawakallah dengan sepenuh hati!

Read Full Post »

Older Posts »