Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘Fiqh’ Category

Saya tidak tahu tajuk apa yang patut saya letakkan pada artikel ini. Apa yang saya cuba sampaikan dalam penulisan ini adalah hasil reaksi daripada artikel yang disiarkan dalam surat khabar mengenai saranan untuk melayan suami seperti pe***** kelas pertama.

Pelbagai reaksi yang timbul, ada yang tidak bersetuju dan ada juga yang bersetuju. Adapun saya, pada mulanya saya terkejut membaca tajuk artikel tetapi akhirnya saya merasa insaf membaca artikel ini tatkala melihat petikan hadis Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam yang berbunyi : ”Jika seorang wanita itu solat lima waktu, berpuasa Ramadhan, memelihara kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah dia (ke dalam syurga) melalui mana-mana pintu yang dia kehendaki.” (Diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam Sahihnya). Selepas itu, saya seakan terlupa tujuan sebenar saya untuk menilai tajuk artikel yang menyentuh sensitiviti masyarakat itu, sebaliknya saya mula menilai diri saya. (more…)

Read Full Post »

Al-Imam al-Nawawi rahimahullah menukilkan dalam al-Majmu’ bahawa pendapat sebahagian besar ulama’ Syafi’iyah dalam masalah ini adalah; jika wanita itu solat bersendirian atau di kalangan wanita sahaja atau di kalangan mahramnya, maka dia boleh menguatkan bacaan samada solat berjemaah atau sendirian. Jika ada lelaki bukan mahram, maka hendaklah dia memperlahankan bacaan. [Lihat : al-Majmu’, 3/343]

Read Full Post »

Ringkasan dan olahan oleh : Ummu Abdillah

Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud : ‘Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, …dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu…’ (surah al-Nisa’ : 23).

            Ketahuilah! Keharaman berkahwin dengan ibu susuan dan saudara susuan tidak hanya terbatas kepada 2 golongan ini sahaja. Tetapi ada juga kelompok lain yang berkaitan dengan 2 golongan ini yang haram dinikahi. Ini kerana Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : ‘Diharamkan (berkahwin) disebabkan penyusuan itu sebagaimana diharamkan (berkahwin) yang disebabkan oleh keturunan’. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan terdapat banyak riwayat lain yang menyatakan hal ini dengan lafaz yang berbeza-beza]

Pertama : Cabang yang terbit dari keharaman kahwin antara ibu dan anak susuan (lelaki)

Siapakah yang haram dikahwini oleh anak susuan (lelaki)?

  1. Ibu susuannya; kerana dia menduduki tempat seorang ibu bagi si anak yang menyusu daripadanya. Ini juga bersandarkan dari firman Allah yang bermaksud : “…dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu…” (surah al-Nisa’ : 23)
  2. Anak-anak perempuan kepada ibu susuan; samada anak daripada suami yang menyebabkan turunnya susu (current husband) atau suami yang lain yang terdahulu. Kesemua mereka ini dikira saudara susuan walaupun daripada ayah yang berbeza.
  3. Cucu kepada ibu susuan dan ke bawah (iaitu bawah dari cucu; cicit dan sebagainya); kerana mereka ini ialah anak kepada saudara susuan mereka. Sebagaimana anak saudara itu tidak halal dikahwini oleh bapa saudaranya.
  4. Jika seorang wanita itu menyusukan 2 orang bayi lelaki yang berlainan, maka mereka berdua menjadi saudara susuan dan mereka berdua haram berkahwin sekiranya seorang perempuan dan seorang lagi lelaki. Kaedah asal dalam perkara ini adalah = jika dua orang bayi berkumpul dengan satu ibu susuan yang sama maka mereka berdua jadi adik-beradik susuan. Maka anak-anak mereka (dan ke bawah) haram berkahwin antara satu sama lain.
  5. Ibu kepada ibu susuan (nenek susuan).
  6. Bapa kepada ibu susuan (datuk susuan).
  7. Adik-beradik perempuan kepada ibu susuan. Sebagaimana seorang ibu saudara itu haram dikahwini oleh anak saudaranya, begitu juga halnya dengan ibu saudara susuan. Adapun anak kepada ibu saudara susuan, maka itu tidak haram dikahwini sebagaimana sepupu (anak kepada ibu/bapa saudara) itu tidak haram dikahwini.
  8. Ibu susuan haram mengahwini anak susuannya, anak kepada anak susuannya (cucu) dan ke bawah.

 Kedua : Cabang yang terbit antara anak susuan (perempuan) dengan suami ibu susuan (iaitu bapa susuan)

 Bapa susuan yang dimaksudkan ialah suami kepada ibu susuan yang menyebabkan adanya susu kerana adanya hubungan kelamin.

  1.  Anak susuan haram dikahwini oleh suami ibu susuan. Begitu juga haram ke atas anak lelaki suami yang datang daripada isteri yang lain (selain ibu susuan). Haram juga ke atas anak kepada anak-anak lelaki si bapa susuan (cucu). Jika seorang lelaki mempunyai 2 orang isteri, dan setiap seorang isteri ini menyusukan 2 orang bayi yang berbeza, maka kedua-dua bayi itu haram berkahwin sekiranya seorang lelaki dan seorang perempuan, kerana mereka berkongsi bapa susuan yang sama! Jika kedua-duanya ialah perempuan, maka seorang lelaki itu tidak boleh mengumpulkan kedua-duanya dalam satu perkahwinan (iaitu si A isteri pertama, si B isteri kedua – perkara ini tidak boleh kerana mereka adalah adik-beradik satu bapa susuan).
  2. Haram ke atas bapa kepada bapa susuan (datuk susuan) untuk menikahinya.
  3. Haram ke atas adik-beradik lelaki bapa susuan untuk menikahinya kerana mereka adalah bapa saudara susuannya.
  4. Adik-beradik perempuan kepada bapa susuan adalah ibu saudara susuannya. Adapun anak-anak lelaki kepada ibu saudara susuan dan bapa saudara susuan, maka itu tidak haram untuk dikahwini sebagaimana sepupu itu tidak haram dikahwini.

 Dalil pengharaman anak susuan ke atas bapa susuan dan kaum kerabat bapa susuan

 Pertama : Apa yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata : Selepas turunnya ayat hijab, Aflah, saudara kepada Abu Qu’ais, meminta izin daripadaku untuk masuk, aku berkata : Aku tidak akan benarkan sehinggalah aku minta izin daripada Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam, ini kerana bukan Abu Qu’ais yang menyusukan aku tetapi isterinya yang telah menyusukan aku. Kemudian Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam masuk kepadaku, lalu aku berkata kepada Baginda : Aflah, saudara Abu Qu’ais meminta izin kepadaku tetapi aku tidak benarkan sehinggalah aku meminta izin darimu. Lalu berkata Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam : ‘Apa yang menghalang engkau untuk membenarkan bapa saudaramu masuk kepadamu?’ Aku berkata : Wahai Rasulullah, sesungguhnya bukan lelaki itu yang menyusukan aku tetapi isteri Abu Qu’ais yang menyusukan aku. Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : ‘Izinkanlah dia, sesungguhnya dia adalah bapa saudaramu’. Berkata ‘Urwah : Oleh itu, ‘Aisyah mengatakan apa yang haram disebabkan keturunan itu adalah haram juga disebabkan penyusuan. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim].

 Kedua : Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata mengenai anak perempuan Hamzah : ‘Sesungguhnya dia tidak halal untuk aku kahwini kerana dia adalah anak susuan kepada saudaraku’. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari].

 Sejauh manakah pengharaman nikah yang disebabkan oleh penyusuan ke atas kaum kerabat anak susuan?

  1.  Ibu susuan dan bapa susuan haram mengahwini anak susuan dan ke bawah (iaitu anak kepada anak susuan, cucu kepada anak susuan dan seterusnya).
  2. Berikut adalah mereka yang tidak haram dikahwini oleh ibu atau bapa susuan : Mereka yang sedarjat dengan anak susuan (adik-beradiknya) dan ke atas (seperti ibu dan bapa kandung anak susuan, ibu saudara, bapa saudara, nenek, dan datuk).
  3. Ibu susuan boleh mengahwini ayah kepada anak susuannya. Begitu juga dengan abangnya atau bapa saudaranya.
  4. Bapa susuan boleh mengahwini ibu kandung anak susuannya. Begitu juga dengan kakaknya, adiknya atau ibu saudaranya.
  5. Anak kandung ibu susuan atau anak kandung bapa susuan (samada hasil perkahwinan dengan ibu susuan atau isteri yang lain) boleh berkahwin dengan adik-beradik anak susuan itu tadi.

 Hal lain yang berkaitan dengan penyusuan

 Kelompok lain yang termasuk dalam pengharaman hasil penyusuan ini adalah :

  1.  Sekiranya si A (lelaki) berkahwin dengan si B (perempuan) dan si B mempunyai ibu susuan, maka si A tidak boleh berkahwin dengan ibu susuan B, nenek susuannya dan ke atas.
  2. Sekiranya si A (lelaki) berkahwin dengan si B (perempuan), dan B mempunyai seorang anak susuan, jika A telah ‘bersama’ dengan B maka anak susuan B tadi haram dikahwini oleh A. Begitu juga anak kepada anak susuannya dan ke bawah.
  3. Isteri kepada bapa susuan (bukan ibu susuan tetapi isteri lain) atau isteri kepada datuk susuan tidak boleh dinikahi oleh anak susuan atau anak kepada anak susuan dan ke bawah.

Rujukan : al-Mufassal oleh Dr. Abdul Karim Zaidan.

Read Full Post »

Mandi Hadas Besar

Disediakan oleh : Ummu Abdillah

Mandi hadas besar merupakan salah satu cabang dalam bab taharah (bersuci). Taharah pula merupakan syarat sahnya solat. Oleh itu, menjadi kewajipan bagi setiap Muslim dan Muslimah untuk mengetahui hukum-hakam dan tatacara mandi hadas besar seperti yang telah ditetapkan oleh syara’ kerana ia mempengaruhi sah atau tidaknya ibadah seseorang itu. Setiap Muslim dan Muslimah itu tidak perlu rasa malu dalam mempelajari hal-ehwal mandi hadas besar ini kerana ia merupakan urusan agama yang menjamin kesahihan ibadah seseorang. Tulisan ini memuatkan beberapa perkara penting mengenai mandi hadas besar iaitu :

  • Dalil kewajipan mandi yang disebabkan oleh hadas besar
  • Perkara-perkara yang mewajibkan mandi
  • Tatacara mandi janabah
  • Tatacara mandi kerana haid dan nifas (more…)

Read Full Post »