Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘Aqidah’ Category

Berikut saya terjemahkan fatwa Syaikh Ibn ‘Uthaimin rahimahullah mengenai apakah hukum melukis taman seolah-olah ianya menggambarkan syurga dan melukis api seolah-olah ia adalah neraka.

Jawapan beliau rahimahullah :

Ini tidak dibenarkan; kerana kita tidak mengetahui bagaimanakah rupa bentuk sebenar perkara tersebut. Sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam al-Quran yang maksudnya : “Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan”. (as-Sajdah : 17) Kita juga tidak mengetahui bagaimanakah api dalam neraka kerana ia lebih daripada api di dunia sebanyak 99 bahagian, dengan apinya yang sangat dahsyat.. Maka adakah sesiapa yang boleh menggambarkan neraka dengan gambaran sebenar? Tiada.

Oleh itu, sampaikan kepada sesiapa yang melakukan demikian bahawa perbuatan ini adalah haram.

Sungguh malang sekali, manusia di zaman ini cuba menjadikan perkara-perkara ukhrawi (ghaib)  seolah-olah ia adalah perkara yang boleh dilihat.

Sumber : http://www.ahlalhdeeth.com/vb/archive/index.php/t-188106.html

Tambahan :

Sahl bin Sa’ad duduk bersama Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam dalam satu majlis ketika Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam menggambarkan bagaimanakah syurga itu dan kemudian berkata di akhirnya : “Padanya terdapat apa yang tidak pernah dilihat oleh mata, yang tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak pernah terlintas di fikiran manusia”, dan kemudian Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam membaca firman Allah yang bermaksud : “Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dalam ayat Quran dan hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam ini menyatakan bahawa keadaan di syurga nanti adalah sesuatu yang tiada siapa di antara kita yang dapat membayangkannya dan tidak pernah terlihat oleh mata kita. Jadi adakah selayaknya kita membayangkan sungai di syurga nanti sama dengan sungai dengan yang kita lihat dengan mata kita di dunia.

Allahu’alam.

Advertisements

Read Full Post »

Beriman dengan al-qadar (ketetapan Allah) itu membuahkan beberapa hasil yang hebat, antaranya :

1- Pergantungan penuh kepada Allah ketika melaksanakan sesuatu sebab untuk mencapai / mendapat sesuatu. Seorang hamba itu tidak boleh bergantung kepada sebab itu sendiri kerana setiap satu perkara itu berlaku hanya dengan ketetapan Allah.

2- Seseorang itu tidak merasa bangga dan ‘ujub apabila dia mendapat sesuatu yang dia inginkan. Kerana apa yang dia perolehi itu adalah nikmat dari Allah, dan Dialah yang telah menetapkan sebab yang membawa kepada kebaikan dan kejayaan. Rasa bangga dan ujub dapat membuatkan si hamba tadi lupa untuk mensyukuri nikmat Allah.

3- Rasa tenang dan lapang hati atas apa yang telah berlaku mengikut ketetapan Allah. Dia tidak risau apabila kehilangan sesuatu yang dia sayangi, atau ditimpa sesuatu yang tidak disukai, kerana itu adalah ketetapan Dia yang memiliki langit dan bumi, Dialah yang mewujudkan segala sesuatu.

Firman Allah yang bermaksud : “Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (al-Hadid : 22-23)

Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Sungguh mengagumkan urusan orang mukmin itu, setiap urusannya adalah baik. Tidaklah ini berlaku melainkan hanya kepada orang mukmin, jika dia mendapat sesuatu yang menggembirakan, dia bersyukur maka itu baik baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu juga baik baginya.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

(Diterjemah daripada : Syarh Thalathah al-Ushul, Muhammad bin Shalih al-Uthaimin, ms. 78)

Iman dengan al-qadar mesti membuahkan perkara-perkara di atas, jika ia tiada pada diri kita, maka ukurlah sendiri iman kita kepada ketetapan Allah.

Read Full Post »

Mufti Besar Arab Saudi Syaikh Abdul Aziz ali al-Syaikh berkata sesiapa yang mendakwa bahawa dia boleh melihat jin, maka dia adalah penipu. Ini kerana Allah Ta’ala dengan JELAS telah menyebut (maksudnya) : “…Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu TIDAK DAPAT melihat mereka…” (al-A’raaf : 27)

Allahu’alam.

Read Full Post »

Apa itu ‘Petunjuk’?

Kita biasa mendengar bahawa petunjuk itu ialah hidayah yang Allah berikan kepada hambaNya yang ingin bertaubat dan ini adalah petunjuk yang bermanfaat. Pun begitu, sebenarnya setiap gerak-geri makhluk ini tidak lepas daripada petunjuk Allah. Petunjuk itu terbahagi kepada 4 bahagian, dan jika diperhatikan setiap ayat yang digunakan  sebagai dalil bagi setiap bahagian ini adalah menggunakan perkataan ‘huuda’ ;

 1-     Petunjuk yang diberikan oleh Allah untuk makhlukNya mendapat kebaikan dan manfaat dunia. Ini termasuklah petunjuk kepada manusia dan haiwan, baik mukmin mahupun kafir. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud : “Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya).” (al-A’laa : 3). Dan lagi Allah ada menyebut maksudnya : “Nabi Musa menjawab: “Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya.” (Taahaa : 50)

 2-     Petunjuk juga membawa maksud seruan Allah kepada makhlukNya untuk mendapatkan apa yang bermanfaat bagi mereka dan Dia memerintahkan perkara ini. Inilah tujuan para Rasul diutuskan dan Kitab diturunkan; untuk menyeru manusia kepada apa yang bermanafaat bagi mereka. Petunjuk ini termasuklah kepada mereka yang beriman mahupun kafir. Seperti firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang Rasul pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), dan tiap-tiap umat (yang telah lalu) ada Nabinya yang memimpin ke jalan yang benar.” (al-Ra’d : 7). Begitu juga apa yang difirmankan oleh Allah, maksudnya : “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus.” (al-Syuura : 52). Seruan para Rasul ini adalah petunjuk Allah yang berupa perintahNya, laranganNya, penjelasan dan pengajaran. Tugas menyampaikan petunjuk ini adalah tugas para Rasul.

 3-     Petunjuk yang diberikan oleh Allah kepada hati manusia. Ada yang menyebut ia sebagai menjadikan kemampuan kepada seseorang untuk beriman dan ada juga yang menyebut ia sebagai menjadikan kemampuan untuk melaksanakan ketaatan. Petunjuk jenis ini tidak dapat dilakukan oleh sesiapa pun kecuali Allah. Maksud firmanNya : “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya)..” (al-Qasas : 56)

 4-     Petunjuk di akhirat; petunjuk di akhirat ini merupakan balasan bagi perihal mereka di dunia yang mengikut petunjuk Allah dan balasan mereka yang mengikut kesesatan. Bagi yang beriman dan beramal soleh mereka akan diunjukkan ke syurga dan yang kufur pula akan ke neraka. Ini disebut dalam ayat Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera. Dan mereka diberi petunjuk kepada mengucapkan kata-kata yang baik, serta diberi petunjuk ke jalan Allah Yang Amat Terpuji.” (al-Hajj : 23-24). Begitu juga dengan maksud ayat Allah : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka dengan sebab iman mereka yang sempurna itu. (Mereka masuk ke taman yang) sungai-sungainya mengalir di bawah tempat kediaman mereka di dalam Syurga yang penuh nikmat.” (Yunus : 9). Bagi yang kufur pula, mereka akan ditunjukkan jalan ke neraka, maksud firman Allah : “(Allah berfirman kepada malaikat):” Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah – Yang lain dari Allah serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke neraka.” (as-Shaafaat : 22-23)

 Rujukan : Penjelasan hadis qudsi ‘Sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman ke atasKu…’ oleh Ibn Taimiyah rahimahullah.

Read Full Post »

Ditulis oleh : Ummu Abdillah

Insha Allah, dalam tulisan ini saya akan cuba membawakan beberapa kesalahan yang tidak diketahui atau tidak disedari masyarakat bahawa ianya adalah dosa besar.

Meninggalkan solat dengan sengaja

Perbahasan mengenai solat dan hukum meninggalkannya ini sepatutnya boleh dibuat entri khas kerana panjangnya perbincangan mengenainya. Bahkan al-Imam Ibn al-Qayyim rahimahullah menulis satu kitab khas berkenaan dengan ini.

Gejala meninggalkan solat ini terbahagi kepada 2; ada kelompok yang meninggalkannya terus. Dan ada juga yang meninggalkan solat dengan sengaja kerana urusan-urusan yang tertentu, lalu mereka mengatakan, ‘Takpe, nanti aku qadha’ la, bukan aku tinggal terus.’ Ada juga sibuk sangat satu hari, tak tahulah apa yang disibukkannya, mereka ini mengqadha’ solat 5 waktu straight pada waktu malam sebelum tidur. Kelompok yang kedua ini merupakan gejala meninggalkan solat dengan tidak mengerjakannya pada waktunya yang telah ditetapkan. (more…)

Read Full Post »

 

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, amma ba’d..

Saya terfikir untuk menulis tajuk ini apabila saya membelek-belek Majmu’ al-Fataawa oleh Ibn Taimiyah rahimahullah. Saya terpandang sebuah soalan yang diajukan kepada beliau mengenai dosa dan dosa besar menurut al-Quran dan Sunnah, adakah ia mempunyai limitation yang tertentu untuk kita mengenalinya? Sebelum ini, kita biasa mendengar bahawa dosa itu terbahagi kepada dua iaitu dosa besar dan dosa kecil. Tetapi setelah terbaca soalan ini baru saya tersedar, saya tidak tahu apa sebenarnya limitationnya untuk kita mengatakan sesuatu itu dosa besar atau tidak. Akibatnya, banyak dosa besar kita anggap kecil kerana kejahilan kita dan betapa kita tidak mengambil berat dengan masalah dosa dan pahala. Ini juga antara sebab mengapa tersebarluasnya dosa di merata tempat. Kerana apa? Kerana JAHIL! Ya, inilah penyakit yang melanda umat di zaman ini, zaman sains dan teknologi, zaman di mana manusia berlumba-lumba mengejar degree, MA dan PhD, PhD, PhD dan Phd. (more…)

Read Full Post »

Luh Mahfuz

Saya ditanya :

  1. Apa itu Luh Mahfuz?
  2. Apakah ada ayat al-Quran dan Sunnah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam yang menyebut mengenai Luh Mahfuz?
  3. Adakah al-Quran yang diturunkan di bumi sama dengan al-Quran yang berada di Luh Mahfuz seperti dalam ayat terakhir surah al-Buruj?
  4. Bagaimana pula dengan perkataan ‘Kitab’ yang disebut dalam surah al-Hajj ayat 70?

Jawapan :

  1. Luh Mahfuz ialah tempat catatan yang ditulis padanya ketetapan sekalian makhluk sehinggalah berlakunya hari kiamat nanti. [Lihat : Syarh al-Aqidah al-Thahawiyah, Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi, hlm. 263]
  2. Luh Mahfuz disebut juga dalam al-Quran sebagai ‘Kitab’. Antaranya ialah surah al-An’aam ayat 38, surah al-A’raaf ayat 37, surah al-Anfaal ayat 68, surah Yunus ayat 61, surah Huud ayat 6 dan banyak lagi. Ia juga disebut sebagai ‘Umm al-Kitab’ seperti dalam ayat 39 surah al-Ra’d dan ayat 4 surah al-Zukhruf. Perkataan ‘Lauh Mahfuz’ pula disebut dalam surah al-Buruuj ayat 22. Kesemua perkataan ‘Kitab’, ‘Umm al-Kitab’ dan ‘Lauh Mahfuz’ ini membawa maksud yang sama. Ayat-ayat yang disenaraikan di atas menyatakan bahawa setiap ketetapan makhluk telah dicatatkan di Luh Mahfuz baik dari sekecil-kecil zarah mahupun yang sebesar-besarnya. [Lihat : Tafsir al-Baghawi untuk kesemua tafsir ayat-ayat di atas]. Manakala hadis pula, ini adalah setakat pencarian saya saja. Ada diriwayatkan satu athar mengenai Luh Mahfuz daripada Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma : “Sesungguhnya Allah telah menciptakan Luh Mahfuz  daripada mutiara yang putih, helaiannya daripada delima yang merah, penanya dari cahaya, kitabnya dari cahaya, bagi Allah 360 detik padanya, lebarnya adalah di antara langit dan bumi, Allah melihatnya sebanyak 360 pandangan setiap hari, Dia menciptakan, memberi rezeki, mematikan, menghidupkan, memuliakan, menghinakan dan Dia perbuat apa yang Dia kehendaki.” [Diriwayatkan oleh al-Tabarani, al-Hakim dan ad-Dhiya’ al-Maqdisi. Al-Hakim berkata : Isnadnya sahih tetapi al-Bukhari dan Muslim tidak mengeluarkannya. Al-Zahabi berkata dalam al-Talkhis : Nama Abu Hamzah itu thabit tetapi dia waahin]. Dan ada lagi beberapa hadis yang menyebut mengenai Luh Mahfuz tetapi ia disebut sebagai ‘al-Zikr’ (riwayat al-Bukhari no. 3019) dan ‘al-Kitab’ (riwayat al-Bukhari no. 3022).
  3. Al-Quran yang diturunkan di bumi sama dengan yang berada di Luh Mahfuz. Beberapa ayat menunjukkan bahawa sebelum al-Quran diturunkan kepada Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam, ia telah tertulis di Luh Mahfuz; ayat 21-22 surah al-Buruuj, ayat 77-78 surah al-Waqi’ah, ayat 11-16 surah A’basa, ayat 4 surah al-Zukhruf. Dari Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma : ‘Al-Quran diturunkan sekali gus dari langit yang tertinggi ke langit dunia pada malam Lailatul Qadar, kemudian diturunkan berperingkat-peringkat setelah itu’. Lagi riwayat daripada Ibn ‘Abbas : ‘Al-Quran itu diturunkan sekali gus oleh Allah daripada Luh Mahfuz kepada malaikat di langit dunia…’ [Lihat : Tafsir Ibn Kathir untuk ayat 77-78 surah al-Waqi’ah]. Ibn al-Qayyim rahimahullah menyatakan dalam tafsir ayat 4 surah al-Zukhruf : ‘Dan al-Quran itu telah ditulis oleh Allah di Luh Mahfuz sebelum langit dan bumi tercipta seperti firman Allah yang bermaksud : “(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.” (al-Buruj : 21-22). Para sahabat, tabi’in dan semua Ahlis-Sunnah dan hadis telah bersepakat bahawa setiap perkara yang berlaku sehingga ke hari kiamat telah tertulis di Luh Mahfuz, dan ayat-ayat al-Quran telah membuktikan bahawa Allah telah mencatatkan apa yang Dia lakukan dan katakan di Luh Mahfuz. Dia telah menulis di Luh setiap perbuatanNya dan kalamNya, sesungguhnya ayat ‘Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!’ telah berada di Luh sebelum wujudnya Abu Lahab.’ [Lihat : Bada’i at-Tafsir, Ibn al-Qayyim, 4/131]
  4. Perkataan ‘Kitab’ dalam surah al-Hajj ayat 70 bermaksud Luh Mahfuz seperti yang telah dijelaskan sebelum ini dalam point 2.

 

Sekian, Allahu’alam.

Read Full Post »

Older Posts »