Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘Al-Quran’ Category

Sebelum ini saya selalu tertanya-tanya bagaimana salafus soleh mengajar anak-anak mereka membaca al-Quran.

Alhamdulillah, hari ini saya menemui sedikit gambaran mengenainya di akhir kitab tafsir Ibn Kathir iaitu bab yang disusun khas oleh beliau rahimahullah mengenai Fadha-il al-Quran. Ia disebutkan di bawah subtopic “Ta’allum al-Sibhyaan al-Quran” (Kanak-kanak Mempelajari al-Quran).

Dari Sa’id Ibn Jubayr, Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata : Aku berumur 10 tahun ketika Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam wafat. Dan ketika itu, aku telah menghafaz al-Muhkam (al-Mufassal : iaitu dari surah al-Hujurat hingga al-Naas)

Ibn Kathir rahimahullah menyebut bahawa ini menunjukkan bolehnya mengajar kanak-kanak al-Quran; bahkan ianya dianjurkan atau wajib. Kerana kanak-kanak itu jika dia telah mempelajari al-Quran kemudian mencapai umur baligh, maka dia akan tahu apa yang hendak dibaca di dalam solat. Dan hafazannya pada waktu kecil lebih utama, lebih kuat ingatannya dan lebih ‘lekat’ daripada hafazannya setelah dewasa.

Sebahagian salaf menganjurkan supaya anak kecil dibiarkan seketika di awal umurnya untuk bermain, dan kemudian selepas itu dikumpulkan kesungguhannya untuk belajar al-Quran. Perihal tidak mewajibkan (memestikan) dia belajar al-Quran ini supaya dia tidak jemu dengan al-Quran dan langsung meninggalkannya untuk bermain. Sebahagian mereka pula tidak suka mengajar al-Quran kepada anak kecil sedang dia tidak memahaminya. Tetapi dia dibiarkan dahulu sehinggalah dia dapat berfikir dan membezakan ilmu sedikit demi sedikit bersesuaian dengan kesungguhannya, keterujaannya, hafazannya dan kekuatan hafalannya. Manakala Umar al-Khattab pula suka mengajar anak kecil dengan membacakan kepada mereka 5 ayat 5 ayat.

Pelajaran yang saya dapati dari teks ini :

1-      Antara tujuan/niat tertinggi ibubapa mengajarkan al-Quran kepada anak mereka adalah supaya mereka dapat membawa al-Quran ke dalam solat. Para ulama’ menyebutkan bahawa utamanya perihal berdiri dalam solat itu adalah kerana al-Quran (zikir paling utama dan mulia) yang dibaca padanya. Benarlah kata Ibn Mas’ud radhiyallahu ‘anhu : Sesungguhnya kami ini susah menghafaznya tetapi dimudahkan untuk beramal dengannya. Dan kaum selepas kami  mudah untuk menghafaznya tetapi susah untuk beramal dengannya. Membaca al-Quran dalam solat adalah salah satu cara beramal dengan al-Quran.

2-      Anak kecil jangan dipaksa untuk membaca al-Quran; hendaklah diraikan juga tabi’i mereka yang suka bermain. Ini supaya mereka tidak memandang al-Quran sebagai sesuatu yang tidak seronok.

3-      Mengajar al-Quran kepada anak bukanlah untuk membaca dan menghafaznya sahaja. Tetapi ibubapa hendalah mengajar isi kandungan al-Quran (perintah Allah, larangan Allah, peringatan darinya, kisah-kisah darinya dsb) dan memastikan anak beramal dengannya. Sebaiknya anak mula diajar apabila mereka sudah boleh memahami isi kandungan al-Quran. Ini bersesuaian dengan objektif al-Quran diturunkan seperti yang disebut dalam surah  Shad ayat 29 yang maksudnya : Kitab (al-Quran ini) Kami turunkan Ia kepadamu adalah (Kitab) yang diberkati dan penuh kebaikan; untuk mereka teliti ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal itu mengambil pengajaran. Al-Hasan al-Bashri berkata : Bukanlah meneliti ayat al-Quran dengan menghafaz huruf-hurufnya dan mengabaikan larangannya; sedang salah seorang mereka berkata : Aku telah menghafal keseluruhan al-Quran; sedang langsung tidak terlihat padanya al-Quran baik pada akhlak mahupun amalan.

4-      Ketika mengajar anak al-Quran hendaklah mengambil kira kesungguhan, mood dan kebolehan anak. Kerana setiap anak adalah berbeza dan ibubapa hendaklah raikan.

5-      Hendaklah mengajar anak kecil sedikit demi sedikit dan bukannya melihat kuantiti.

Dan pelajaran paling utama yang saya dapat dari bulan Ramadhan, dalam kesungguhan kita hendak mengajar al-Quran kepada anak, hendaklah kita sebagai ibubapa mulakan dengan diri kita dahulu. Perbaiki bacaan kita, perbanyakkan bacaan kita, perbanyakkan hafazan kita, tingkatkan pemahaman kita terhadap al-Quran, hadirkan dulu rasa takut kita kepada perkataan Allah, bawa al-Quran dalam solat baik yang fardhu mahupun sunat, beramal bersungguh-sungguh dengan isi kandungannya. Semoga dengan itu Allah mudahkan tugas kita membacakan dan mengajarkan ayat-ayat al-Quran kepada anak-anak kita.

Read Full Post »

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Begitu jugalah dengan Kitabullah ini, mereka yang tidak kenal dan tidak memahami isinya serta tujuannya diturunkan tidak mungkin dapat merasakan kecintaan kepada al-Quran. Saya sentiasa merasakan sebab keruntuhan dan kemunduran umat Islam di zaman ini adalah kerana jauhnya mereka daripada al-Quran. Adakah kita mempunyai pilihan samada mahu hidup berpandukan al-Quran atau tidak, samada mahu mencintai al-Quran atau tidak? Anda sendiri tahu jawapannya.

Tatkala Allah menciptakan Adam ‘alayhis-salam dan menurunkannya ke bumi, manusia tidak dibiarkan meraba-raba kehilangan arah dan tidak tahu tujuan hidup. Lantas Allah mengutuskan para Rasul dan Nabi sebagai orang yang ditugaskan untuk memandu manusia. Untuk umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alayhi wa sallam, Allah telah menurunkan al-Quran sebagai manual kehidupan kita dalam perjalanan menuju ke alam yang kekal abadi. Maka kita tiada pilihan, jika mahu bahagia dan selamat sampai kepada Allah, kita mesti menjadikan al-Quran sebagai petunjuk kita. Dan inilah akibat jika berpaling daripada al-Quran, Allah menyebut dalam surah Taha ayat 124 yang bemaksud : “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari petunjukKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”, Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan”.

            Lihatlah tatkala Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam mengadu kepada Allah akan kaumnya yang meninggalkan al-Quran dalam ayat 30 surah al-Furqan yang bermaksud : “Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.” Al-Imam Ibn Kathir rahimahullah  menyebut  gejala meninggalkan al-Quran ini terdiri daripada beberapa bentuk [Lihat : Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azhim] ;

  • Ketika al-Quran dibacakan, dia bercakap-cakap mengenai perkara lain supaya tidak mendengar al-Quran. Inilah adalah contoh sikap orang-orang Musyrik terhadap dakwah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam.
  • Tidak mempelajari isi kandungan al-Quran serta tidak berusaha menghafaznya walaupun sedikit.
  • Tidak beriman dan tidak membenarkan isi kandungannya.
  • Tidak membaca al-Quran dengan tadabbur (membaca dengan pemahaman dan penghayatan).
  • Meninggalkan perintah yang disebut dalam al-Quran dan melakukan perbuatan yang ditegahnya.
  • Melebihkan perkara lain daripada al-Quran; perkataan manusia, lagu, syair dan sebagainya.

Sama-sama kita perhatikan, adakah kita termasuk antara golongan yang disebutkan di atas? Antara salah satu cara untuk mengelakkan kita daripada termasuk golongan yang disebutkan di atas adalah dengan menjadikan membaca al-Quran itu sebagai amalan harian yang mesti kita kerjakan. Luangkanlah sedikit masa untuk kita meneliti ayat-ayat Allah dan fahamilah ia supaya dapat dijadikan panduan. Seperti sabda Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam : “Sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah adalah yang dilakukan secara berterusan walaupun ianya sedikit.” [Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan al-Nasa’ie; dinilai sahih oleh al-Arna-uth]

Oleh itu, saya menyeru kepada kawan-kawan di luar sana agar banyakkan membaca al-Quran dan jangan sekali-kali meninggalkan membaca al-Quran. Yang paling penting, ia mesti dibaca dengan pemahaman agar kita mendapat faedahnya iaitu menjadikan kita hamba Allah yang kenal Penciptanya dan menjadi Muslim yang ‘celik agama’ dan bukan sekadar Muslim pada nama sahaja. Antara tujuan al-Quran diturunkan adalah untuk diteliti isi kandungannya seperti maksud firman Allah : “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Shad : 29)

Semoga Allah menjadikan kita di kalangan ahli al-Quran.

Read Full Post »

1- Ikhlas.

2- Mengosongkan fikiran daripada perkara-perkara yang boleh mengganggu tumpuan.

3- Memperbanyakkan istighfar.

4- Mambaca berulang kali.

5- Waktu yang sesuai.

6- Mengulang ayat yang telah dihafaz.

7- Menggunakan satu mushaf.

8- Mendengar bacaan al-Quran daripada kaset-kaset dsb.

9- Mengetahui makna ayat yang dibaca.

10- Membaca ayat yang telah dihafaz dalam solat.

11- Menyemak bacaan yang telah dihafaz dengan kawan-kawan.

Read Full Post »

     Manusia itu berselisih pendapat; adakah membaca al-Quran dengan tartil (lambat) dan sedikit itu lebih baik atau membaca al-Quran dengan laju tetapi banyak? Di sini terdapat 2 pendapat :

     Ibn Mas’ud, Ibn ‘Abbas dan selain daripada mereka berdua –radhiyallahu ‘anhum– berpendapat bahawa membaca sedikit tetapi tartil dan berserta tadabbur itu lebih baik daripada membacanya dengan banyak tetapi bacaan itu laju. Mereka berhujah bahawa matlamat membaca al-Quran itu adalah untuk difahami dan diteliti, mempelajarinya serta beramal dengannya. Membaca al-Quran serta menghafaznya adalah cara untuk sampai kepadanya. Seperti kata-kata sebahagian salaf : ‘Al-Quran itu turun untuk diamalkan, maka jadikanlah membaca al-Quran itu sebagai satu amalan, oleh sebab itu, ahli al-Quran itu ialah mereka yang beramal dengannya walaupun mereka tidak menghafaznya. Adapun mereka yang menghafaznya tetapi tidak faham maknanya dan tidak beramal dengannya, maka mereka bukanlah ahli al-Quran walaupun mereka menghafaznya dengan begitu baik sekali. (more…)

Read Full Post »