Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘Akhlaq/Adab’ Category

Zikir : Ibadah Yang Diabaikan

Alhamdulillah, dengan izin dan taufiq dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, saya dapat berkumpul dengan adik-adik UIA pada Sabtu lepas. Alang-alang berjumpa dengan mereka, saya sediakan juga satu tazkirah ringkas. Pada awalnya saya tidak tahu tajuk apa yang mahu saya kongsikan. Alhamdulillah, dengan taufiq dari Allah, akhirnya saya memilih satu tajuk yang saya rasakan ianya lebih kepada nasihat untuk diri saya sendiri dan semoga mereka yang mendengar juga mendapat manfaat.

     Sebagai seorang isteri dan ibu, saya merasakan ibadah sebelum kahwin dan selepas amat berbeza. Kalau dulu, kita boleh baca al-Quran sebanyak mana semahu kita, solat sunat, puasa sunat, menghadiri kuliah agama, memberi kuliah agama, membaca, menulis dan lain-lain. Tetapi kini tanggungjawab sebagai seorang isteri dan kewajipan menguruskan rumahtangga merupakan ibadah wajib saya dan selagi saya tidak menyelesaikan ibadah wajib mana mungkin saya boleh melaksanakan ibadah sunat segiat dulu. Dan kini baru saya faham dan sangat menghargai satu ibadah yang disyariatkan oleh Allah iaitu ZIKIR.

     Asalnya, saya tidak menyedari betapa besarnya tuntutan mengingati Allah itu. Setelah meneliti ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam mengenai tuntutan berzikir, saya sedar bahawa ia adalah satu ibadah besar yang saya abaikan kerana kejahilan diri sendiri dan betapa ia adalah satu ibadah yang sangat kita perlukan dalam usaha mengumpul bekal untuk hari akhirat.

      Antara ayat yang paling jelas yang menunjukkan bahawa zikir itu adalah satu tuntutan dan perintah dari Allah Ta’ala adalah ayat 41 dari surah al-Ahzab yang bermaksud : ”Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.” Penjelasan Ibn ’Abbas radhiyallahu ’anhu mengenai ayat ini sangat membuatkan saya terpana, beliau berkata : ”Sesungguhnya Allah tidak memfardhukan sesuatu kewajipan ke atas hambaNya kecuali Dia menetapkan (bagi kewajipan itu) had-had tertentu yang dimaklumi, Dia juga memberi ’excuse’ bagi mereka yang tidak mampu melaksanakan kewajipan tersebut dengan sempurna, kecuali ZIKIR, sesungguhnya Allah tidak menjadikan baginya had sebelum kita menyudahkannya dan Dia juga tidak memberikan apa-apa ’excuse’ supaya hambaNya boleh meninggalkannya (zikir), kecuali mereka yang terpaksa meninggalkannya.” (’Umdat at-Tafsir, 3/57)

     Benar sekali apa yang dijelaskan oleh Ibn ’Abbas radhiyallahu ’anhu bahawa zikir itu tidak punya limitation tertentu. Tidak seperti solat, hanya 5 waktu sehari semalam, puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari, zakat, haji dan lain-lain. Semua punya waktu mula dan waktu akhir kecuali ZIKIR. Allah tidak menetapkan had baginya sedangkan ia satu ibadah! Maka, kesimpulannya, Allah memerintahkan kita supaya mengingatiNya pada setiap waktu; baik ketika muqim mahupun musafir, sihat mahupun sakit, sibuk mahupun lapang, siang mahupun malam.

     Dalam al-Quran juga tertulisnya perintah Allah supaya sentiasa mengingatiNya dalam keadaan-keadaan tertentu. Allah memerintahkan hamba-hambaNya supaya sentiasa mengingatiNya dalam keadaan perang! Seperti firman Allah yang bermaksud : ” Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) yang sebanyak-banyaknya, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan) (al-Anfaal : 45). Begitu juga dalam surah al-Baqarah ayat 200, Allah memerintahkan mereka yang selesai mengerjakan ibadah haji supaya mengingatiNya : ” Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya)…” Dan banyak lagi keadaan seperti selepas selesainya solat khauf (al-Nisa’ : 103) dan ketika urusan jual beli (al-Jumu’ah : 10).

      Jika diteliti hadis-hadis Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam, sangat banyak anjuran supaya kita memperbanyak mengingati Allah. Antaranya ialah satu hadis oleh ’Abdullah bin Busr, datang seorang lelaki kepada Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam dan beliau berkata : Sesungguhnya syariat Islam itu sudah banyak ke atas, maka beritahukanlah kepadaku dengan sesuatu benda yang boleh aku berpegang teguh dengannya. Maka jawab Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam : ”Hendaklah lidahmu sentiasa basah dengan mengingati Allah.” (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad dan Ibn Hibban; berkata al-Tirmizi : Hassan gharib). Inilah anjuran berzikir yang dituntut dalam Islam, hendaklah kita sentiasa mengingati Allah  sehingga lidah kita basah menyebut dan mengingatiNya.

      Begitu juga dengan satu hadis oleh Mu’az bin Jabal radhiyallahu ’anhu, dia berkata : Perkara terakhir aku tanyakan kepada Rasulullah shallallahu ’alayhi wa sallam adalah : Apakah amalan yang paling baik dan paling dekat dengan Allah? Baginda shallallahu ’alayhi wa sallam menjawab : ”Hendaklah engkau mati dalam keadaan lidahmu basah dengan mengingati Allah.” (Diriwayatkan oleh Ibn Hibban)

      Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam juga ada berkata : ”Aku perintahkan kamu supaya mengingati Allah Ta’ala, sesungguhnya perumpaan itu adalah seperti seorang lelaki yang dijejaki musuh dengan cepat, kemudian dia sampai ke sebuah kubu, lalu dia melindungi dirinya daripada musuh tersebut, maka begitu jugalah seorang hamba, dia tidak akan dapat melindungi dirinya daripada syaitan kecuali dengan mengingati Allah.” (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi; Beliau berkata : Hadis hasan sahih gharib). Ibn al-Qayyim rahimahullah mengatakan jika tiada satu hadis pun yang menyebut kelebihan berzikir melainkan hadis ini, maka ia sudah mencukupi untuk membuatkan seseorang itu mesti melazimi zikir. Ternyata hadis ini memang benar, sesungguhnya syaitan itu sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan manusia. Hati kita ini jika tidak diisi dengan mengingati Allah, maka syaitan akan mengambil alih dan menguasai kita. Tetapi jika sentiasa mengingati Allah, maka ia ’mengecil’ dan ’menguncup’. Oleh itu, syaitan ini dinamakan sebagai ’al-waswaas al-khannas’ iaitu ia mendatangkan waswas dalam hati manusia  dan apabila manusia itu mengingati Allah maka ia akan ’tenggelam’.

 JANGAN PERNAH TINGGALKAN ZIKIR!

      Latihlah lidah dan hati kita supaya sentiasa menyebut dan mengingati Allah, bukan sahaja pada waktu pagi dan petang, atau tempat-tempat yang dikhususkan zikir sahaja, tetapi ingatlah Dia dalam apa jua keadaan kita samada sedang menunggu bas, sedang berdiri, sedang berjalan ke kelas, sedang berbaring, sedang memasak, sedang membuai anak, sedang menidurkan anak, sedang menyidai kain, atau apa jua pekerjaan kita, ingatlah Dia dan sebutlah zikir-zikir yang diajarkan Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam seperti ’La ilaha illallah’, ’Subhanallahi wa bihamdihi’, ’La hawla wa la quwwata illa billah’, ’Alhamdulillah’, ’Subhanallah walhamdulillah wa la ilaha illah wallahu akkbar’, istighfar dan sebagainya; kerana hanya dengan mengingati Dia sahajalah hati akan menjadi tenang dan kita akan bebas dari tekanan dunia. Sebutlah dengan lidah dan hati yang sedar dan faham akan maknanya. Sebutlah dan sebutlah.. ia amat ringan dan anda tidak memerlukan walau sedikit tenaga dan keringat pun untuk menyebutnya. Sebutlah, walau ia ringan di mulut tapi ia amat berat di timbangan. Maka amalan apakah yang lebih baik untuk kita lazimi dari zikir ini? Lihatlah contoh terbaik kita, Nabi Muhammad shallallahu ’alayhi wa sallam, sedangkan duduk-duduk dalam satu majlis juga Baginda shallallahu ’alayhi wa sallam membaca sebanyak 100 kali : ’ رب اغفر لي وتب علي إنك أنت التواب الرحيم’   , maksudnya : ‘Wahai Tuhan, ampunkanlah dosaku dan terimalah taubatku sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.’ (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi; beliau berkata : Hadis hasan sahih gharib)

      Zikir itu adalah tanda syukur. Dalam banyak tempat zikir dan syukur ini digandingkan. Antaranya firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud : ’ Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).’. Begitu juga dengan satu doa yang diajarkan Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam kepada Mu’az bin Jabal : اللهم أعني على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك’, yang bermaksud : ‘Wahai Tuhanku, bantulah aku untuk mengingatiMu, mensyukuriMu dan beribadat kepadaMu dengan baik’. (Diriwayatkan oleh Abu Daud, Ahmad, al-Nasaie dan al-Hakim; al-Hakim berkata : Sahih atas syarat al-Bukhari dan Muslim tetapi mereka tidak mengeluarkannya, dan dipersetujui oleh al-Zahabi). Pernahkah anda mendengar sebuah hadis yang bermaksud : ’Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu, peliharalah Allah dan kamu akan dapati Dia di hadapanmu, kenalilah Allah pada waktu senang, nescaya dia Dia akan mengenalimu pada waktu kamu susah..’ (Diriwayatkan oleh Ahmad; Syu’aib al-Arna’uth berkata : Sahih). Maka perbanyakkanlah mengingati Allah di waktu kita senang dan perbanyakkanlah juga amal soleh yang lain serta jangan biarkan jiwa kita jauh dari mengingatiNya kerana inilah tanda syukur kita di atas kesejahteraan yang Dia kurniakan.

      Janganlah kita mengikut jejak langkah munafik, mereka ini sangat sedikit mengingati Allah seperti yang disebut dalam surah al-Nisa’ ayat 142 yang bermaksud : ’… dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).’ Berzikirlah sehingga kita merasakan tidak lengkap hari kita tanpanya. Berzikirlah sehingga kita rasa janggal kerana meninggalkannya. Berzikirlah supaya syaitan menjauh dari kita. Berzikirlah kerana itu rahsia mukmin yang berjaya.

     Kami memohon kepada Allah agar menjadikan kami ini dari kalangan mereka yang sangat banyak mengingatiNya dan semoga ia menjadi amalan yang dapat menyelamatkan kita dari azab api neraka.

Advertisements

Read Full Post »

Doa Istikharah

Kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: “Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini:

اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ – يُسَمِّيهِ بِعَيْنِهِ الَّذِى يُرِيدُ – خَيْرٌ لِى فِى دِينِى وَمَعَاشِى وَمَعَادِى وَعَاقِبَةِ أَمْرِى فَاقْدُرْهُ لِى وَيَسِّرْهُ لِى وَبَارِكْ لِى فِيهِ اللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُهُ شَرًّا لِى مِثْلَ الأَوَّلِ فَاصْرِفْنِى عَنْهُ وَاصْرِفْهُ عَنِّى وَاقْدُرْ لِىَ الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ رَضِّنِى بِهِ

“Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya”.

(sebutkan urusan yang dimaksudkan di tempat yang bertitik).

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’ie dan Ibn Majah oleh Sahabat Abdullah bin Jabir radhiyallahu ‘anhu.
Terjemahan doa ini diambil daripada :
http://doaharian.blogspot.com/2007/04/doa-solat-istikharah.html

 

Read Full Post »

Jangan Putus Asa!

Assalamu’alaykum..

Sudah hampir 2 bulan saya tidak menulis apa-apa di blog ini. Berhenti menulis di bulan Ramadhan membuatkan saya agak lambat untuk mula menulis semula. Semoga Allah memberikan saya taufiqNya dan mengampunkan dosa saya.

Alhamdulillah, hari ini saya membaca kitab Majmu’ al-Fataawa oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah rahimahullah, dan seperti biasa, saya selalu mendapati butir-butir mutiara di dalam hasil penulisan beliau. Buah fikirannya sering mendatangkan faedah yang besar untuk mereka yang membacanya, dan sudah tentu faedah untuk agama dan iman. Semoga Allah merahmati beliau dengan rahmat yang luas dan menempatkan beliau di Syurga serta memberikan beliau ganjaran yang besar atas sumbangan dan jasanya kepada umat Islam hingga ke hari ini.

Saya tertarik dengan satu hadis yang beliau syarahkan. Hadis ini sering saja kita dengar dan ulang-ulang. Dalam Sahih Muslim, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda : “Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Kedua-duanya adalah baik. Bersungguh-sungguhlah menuntut perkara yang bermanfaat bagimu dan mohonlah pertolongan daripada Allah serta janganlah berasa lemah. Jika sesuatu menimpamu, janganlah berkata : ‘Kalau aku buat begini, pasti akan begini dan begini..’, tetapi katakanlah : Qaddarallahu ma sya’a fa’ala (Allah telahpun menetapkannya dan Dia perbuat apa yang Dia kehendaki). Sesungguhnya perkataan ‘kalau’ itu membuka kerja syaitan’.

Dalam hadis ini, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam menyuruh kita supaya bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada kita, memohon pertolongan daripada Allah serta melarang kita daripada merasa lemah, malas dan berputus asa. Tetapi apakah dia perkara yang bermanfaat itu? Ia bukanlah semata-mata apa yang kita fikirkan bermanfaat akan tetapi perkara yang paling bermanfaat pada seorang mukmin itu adalah setiap bentuk ketaatan kepada Allah dan RasulNya. Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam melarang kita daripada bersikap lemah dan putus asa kerana ia adalah satu perkara yang merugikan, bersikap tidak mengambil berat terhadap diri sendiri dan membinasakan. Seperti sabda Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam dalam satu hadis yang lain : “Orang yang bijak itu ialah orang yang sentiasa berusaha (supaya menjadi seorang yang taat dan patuh) dan beramal untuk apa yang akan berlaku selepas mati manakala orang yang malas (berusaha) pula ialah orang yang mengikut hawa nafsunya dan berharap agar Allah akan mengampunkannya dan memberi kebaikan kepadanya.” [Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Majah, al-Baihaqi, al-Tabarani dan al-Hakim. Al-Tirmizi berkata hadis ini hasan. Al-Hakim : Hadis ini sahih atas syarat al-Bukhari tetapi al-Zahabi mengatakan bahawa hadis ini bukan atas syarat al-Bukhari, dan Abu Bakar (salah seorang perawi hadis) adalah waahiin]

Ibn Taimiyah mengatakan bahawa setiap urusan itu terbahagi kepada 2, pertama; urusan yang ada jalan keluar. Kedua; urusan yang tiada jalan keluar. Jika suatu perkara itu ada jalan keluar, maka janganlah berputus asa dan berusahalah mencari sesuatu yang baik. Dan jika ia tiada jalan keluar, maka bersabarlah dan jangan hilang kawalan.

Rujukan : Majmu’ al-Fataawa, jil. 10, ms. 288.

Read Full Post »

Berbuat baik kepada musuh..? Seolah-olahnya tidak masuk akal. Iya.. Memang tidak masuk akal untuk orang yang ‘tidak mempunyai bahagian yang besar’ seperti kita.

Lihat firman Allah ini yang bermaksud :

Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. [Fussilat : 34-35]

Syaikh al-Sa’di rahimahullah berkata dalam kitab tafsirnya ketika beliau mensyarahkan ayat ini :

Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan suatu bentuk ihsan yang khas, yang mana ia mempunyai satu bahagian yang besar iaitu berbuat kebaikan kepada orang yang melakukan kejahatan kepada kamu. Allah berfirman (maksudnya) : “Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik”, iaitu : Jika salah seorang makhluk Allah itu memperlakukan kamu dengan cara yang tidak elok, terutamanya mereka yang mempunyai hak yang besar ke atasmu seperti saudara-mara, sahabat-handai dan sebagainya, samada dengan perkataan atau perbuatan, maka hendaklah kamu balas ia dengan melakukan kebaikan kepada mereka. Jika mereka memutuskan perhubungan, maka kamu sambungkan ia, jika mereka menzalimi kami, kamu maafkan dia, dan jika mereka mengutuk dan mengumpatmu, maka janganlah kamu balas (dengan umpatan dan kata-kata yang tidak elok) bahkan kamu maafkan mereka dan pergaulilah mereka dengan kata-kata yang lemah lembut. Dan jika mereka memulaukan kamu, dan tidak bercakap denganmu, maka berkatalah dengan baik kepada mereka dan ucapkanlah salam. Jika kamu membalas kejahatan dengan kebaikan, sesungguhnya akan terhasil faedah yang besar. “Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

Dan tidaklah orang yang diberi petunjuk oleh Allah untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia ini kecuali mereka yang bersabar dan menahan diri mereka daripada perkara yang tidak sukainya, dan memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang disukai oleh Allah. Kerana secara tabiatnya jiwa itu suka untuk membalas kejahatan dengan kejahatan dan tidak memaafkan, inikan pula hendak membalas dengan kebaikan?!

Jika seseorang menyabarkan diri mereka, dan mengikut perintah Allah serta mengetahui betapa besarnya pahala dan tahu bahawa membalas kejahatan dengan kejahatan itu tidak memberi manfaat apa-apa pun kepadanya, bahkan ia akan menambahkan permusuhan dan membuat kebaikan kepada musuh itu tidak merendahkan martabatnya sedikit pun, bahkan siapa yang merendahkan diri kerana Allah maka Allah akan mengangkat darjatnya dan dimudahkan urusannya dan dia dapat melakukannya dengan mudah dan dengan rasa gembira.

Dan sifat ini juga tidak dapat diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar, kerana ia merupakan akhlak hamba-hamba Allah yang terpilih yang mana ia akan mendapat ketinggian darjat di dunia dan akhirat. (Lihat : Tafsir al-Sa’di : 882)

Read Full Post »

Bila kita sebut mengenai tawakal, pasti kita akan terbayangkan musibah dan ujian. Begitu juga tawakal dalam urusan keduniaan seperti mencari rezeki, menghadapi peperiksaan dan sebagainya. Saya juga berfikiran sebegitu sebelum ini sehinggalah saya membaca satu tulisan Ibn Taimiyah rahimahullah dalam Majmu’ al-Fataawa yang menyebut bahawa mereka yang menyangka bahawa tawakal itu hanyalah untuk menuntut bahagian keduniaan adalah satu sangkaan yang salah! Bahkan tawakal dalam urusan ibadah adalah lebih utama [Lihat : Majmu’ al-Fataawa, jilid 5, bahagian 10, hlmn. 16]. Lepas membaca tulisan beliau, saya terfikir-fikir bagaimana nak memahamkan apa yang dimaksudkan dengan tawakal dalam urusan ibadah.

Alhamdulillah, dengan petunjuk dari Allah, akhirnya saya memahami maksud statement tersebut apabila membaca apa yang ditulis oleh Ibn Rajab rahimahullah dalam Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam mengenai tawakal. Apabila kita melakukan satu ketaatan kepada Allah, tidak kiralah samada solat, puasa, zikir, membaca al-Quran, haji, umrah dan sebagainya, kita sering mengharapkan pahala daripada Allah atas amalan kita.  Kita bertungkus-lumus melakukan ketaatan kerana inginkan syurga. Tetapi kadang-kadang kita terlupa untuk bertawakal kepada Allah; iaitu kita lupa untuk menyerahkan urusan ibadah kita kepada Allah. Kita merasakan bahawa ibadah kita semata-mata mampu membawa kita ke syurga, sedangkan kita tidak sedar bahawa melaksanakan ibadah itu adalah satu sebab untuk kita masuk ke syurga dan selamat dari api neraka. Tetapi Allah jualah penentu segalanya!

Tetapi ini tidaklah pula bermakna kita bersahaja dalam melakukan ibadah dan mengharapkan rahmat Allah semata-mata. Ambillah sebab (ibadah) dan bersungguh-sungguhlah kerana ia merupakan satu kewajipan yang diperintahkah oleh Allah. Disebut dalam satu hadis : ‘Orang yang bijak itu ialah orang yang sentiasa berusaha (supaya menjadi seorang yang taat dan patuh) dan beramal untuk apa yang akan berlaku selepas mati manakala orang yang malas (berusaha) pula ialah orang yang mengikut hawa nafsunya dan berharap agar Allah akan mengampunkannya” [Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Majah, al-Baihaqi, al-Tabarani dan al-Hakim. Al-Tirmizi berkata hadis ini hasan. Al-Hakim : Hadis ini sahih atas syarat al-Bukhari tetapi al-Zahabi mengatakan bahawa hadis ini bukan atas syarat al-Bukhari, dan Abu Bakar (salah seorang perawi hadis) adalah waahiin]

Sama juga apabila kita sakit. Kita berusaha mencari ubat untuk mengubati sakit kita, sedangkan ubat hanya sebab. Allah jualah penyembuh setiap sakit.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Hud ayat 123 yang bermaksud : “Oleh itu, sembahlah Dia serta berserahlah kepadaNya.”

Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam juga ada bersabda : ‘Sesungguhnya amalan seseorang itu tidak akan dapat menyelamatkannya’, mereka (para sahabat) berkata : Walaupun tuan wahai Rasulullah? Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam menjawab : ‘Walaupun aku, kecuali mereka yang mendapat rahmat dari Allah…’ [Diriwayatkan oleh al-Bukhari (6098) dan Muslim 2816)].

Laksanakanlah ibadah denganbersungguh-sungguh dan bertawakallah kepada Allah sepenuh jiwa. Semoga Allah mengurniakan Syurga buat kita semua.

Read Full Post »

Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Akan masuk syurga 70,000 orang dari kalangan umatku tanpa dihisab”, mereka berkata : Siapakah mereka wahai Rasulullah? Baginda menjawab : “Mereka ialah orang tidak mengubati dirinya dengan ruqyah (jampi), tidak percaya kepada petanda baik atau buruk (dengan melihat burung dan sebagainya) dan tidak membakar bahagian tubuh yang sakit dengan besi panas. Mereka bertawakal kepada Allah semata-mata”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penjelasan Hadis

Mengapa di sini orang yang meninggalkan ruqyah itu dipuji serta diberi kelebihan masuk syurga tanpa hisab sedangkan ruqyah itu diajar dan diamalkan sendiri oleh Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam? Para ulama’ mempunyai beberapa pendapat dalam menafsirkan phrase yang saya boldkan di atas. Antaranya :

  1. Ia membawa maksud mereka yang menjauhkan diri daripada kepercayaan bahawa ubat itu mendatangkan manfaat dengan sendirinya seperti mana yang dipercayai oleh orang-orang jahiliyah.
  2. Ruqyah yang dipuji sekiranya ditinggalkan itu adalah jenis ruqyah daripada perkataan jahiliyah, bukan daripada al-Quran dan Sunnah yang sahih serta jampi yang tidak dapat difahami maknanya.

(Rujukan : Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani)

 Adakah bertawakal itu bermaksud meninggalkan usaha dan sebab?

Tidak sama sekali; kerana itu bertentangan dengan Sunnah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam. Begitu banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyuruh manusia itu berusaha untuk mendapatkan apa yang dihajati. Antaranya; Allah menyebut dalam Surah al-Baqarah ayat 233, maksudnya : […dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya…]. Manakala dalam hadis pula, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Tiada seorang pun yang makan suatu makanan lebih baik daripada apa yang diusahakan dengan tangannya sendiri, sesungguhnya Nabi Daud ‘alayhis-salam makan daripada hasil tangannya sendiri” (hadis riwayat al-Bukhari). Tetapi dalam usaha untuk melaksanakan tawakal, seseorang itu tidak boleh merasakan bahawa sebab itulah yang mendatangkan manfaat atau menolak kemudaratan daripada dirinya tetapi semua itu datangnya dari Allah. Seperti yang saya sebut dalam artikel ‘Tawakal’ sebelum ini, benar sekali apa yang dikatakan oleh Ibn Rajab al-Hanbali (semoga Allah merahmatinya) bahawa manusia itu sangat sedikit tawakalnya, mereka berlebih-lebihan dalam mengambil sebab sedangkan bahagian mereka telah pun ditetapkan oleh Allah. Ambillah sebab tetapi biarlah sekadarnya, jangan berlebih-lebihan sehinggakan kita sendiri tak sedar bahawa kita mengimani yang sebab itulah 100% membawa kita mencapai hajat kita. Seperti dalam hadis burung keluar mencari rezeki, bukankah dia terbang keluar itu satu usaha, tetapi itu usaha yang kecil, pun begitu Allah tetap mendatangkan rezeki padanya kerana ia telah pun tertulis!

Ketika belajar dahulu, saya kurang bersetuju dengan mereka yang terlalu bertungkus-lumus study untuk exam. Saya tak nafikan rajin belajar itu satu perkara yang baik, tapi jika sampai nak pakai baju pun masih mengintai-ngintai buku, pada pendapat saya itulah yang dimaksudkan ‘berlebih-lebihan’ dalam mengambil sebab.

Adakah keadaan di mana seseorang itu hanya bertawakal dan tidak mengambil sebab?

Saya katakan ada; hanya apabila memang TIADA sebab untuk seseorang itu mendapat apa yang dihajatinya. Peristiwa-peristiwa ini memang benar-benar terjadi dalam realiti kehidupan sebagaimana yang disebutkan dalam kisah Nabi Ibrahim ‘alayhis-salam ketika Baginda hendak dicampakkan dalam api lalu api menjadi sejuk. Begitu juga dengan kisah Nabi Musa ‘alayhis-salam ketika Baginda dikejar oleh tentera Fir’aun lalu laut terbelah. Inilah perkara-perkara yang berlaku di luar kebiasaan adat.

Oleh itu, berusahalah semampunya dan bertawakallah dengan sepenuh hati!

Read Full Post »

 

Musibah adalah satu perkara yang hampir pasti berlaku pada setiap insan. Ada yang diuji dengan kehilangan harta, kehilangan orang tersayang, perceraian, tiada anak, tidak lulus periksa, dan berbagai-bagai lagi. Masing-masing diuji dengan perkara yang berlainan. Ada manusia yang ditimpa musibah tetapi dia tidak berdoa kepada Allah, bahkan mereka jauh bertambah sesat dan berputus asa dengan rahmat Allah. Contohnya kes bunuh diri, terjun bangunan, makan pil tidur dan sebagainya. Ada juga sekelompok manusia yang berdoa tetapi di dalam hati mereka tiadanya yakin kepada Allah. Mereka sekadar berdoa kerana sudah terbiasa bila ada masalah perlu berdoa. Hati mereka lalai ketika bermunajat dan adab-adab dalam berdoa tidak dilaksanakan. Tetapi ada juga sekelompok manusia yang diberi petunjuk oleh Allah, mereka berdoa bersungguh-sungguh, siang dan malam, segala adab berdoa sedaya mungkin dilaksanakan; namun doa mereka masih tidak dikabulkan. Ada yang masih tidak putus asa dan terus berdoa, ada pula yang hampir putus asa dan tertanya-tanya ‘bilakah agaknya doa aku akan dikabulkan oleh Allah?’

Apakah hikmah di sebaliknya? Mengapa doa seseorang itu lambat dimakbulkan oleh Allah? Saya terbaca suatu catatan menarik  yang ditulis oleh Ibn al-Jauzi rahimahullah dalam kitabnya Saaid al-Khathiir. Kitab ini ibarat ‘diari’ bagi Ibn al-Jauzi. Kalau disamakan dengan zaman kita ini, ia ibarat journal blog. Ia merupakan apa-apa faedah yang terlintas dalam fikirannya lalu dicatatnya supaya terpahat manfaat tersebut. Kitab ini amat menarik, dan pada penuntut ilmu yang mampu membaca dalam bahasa Arab, cubalah baca buku ini dan anda akan dapati mutiara-mutiara berharga di dalamnya!

Ok, berbalik kepada lambatnya termakbul doa seorang hamba, Ibn al-Jauzi menceritakan pengalamannya sendiri yang ditimpa suatu musibah dan beliau telah berdoa bersungguh-sungguh tetapi beliau tidak nampak tanda-tanda akan termakbulnya doa setelah suatu tempoh masa yang agak panjang telah berlalu. Maka datanglah syaitan (dalam bentuk bisikan untuk menyesatkan manusia) dan berkata : ‘Kalau orang yang pemurah tu dah tentu banyak hartanya, luas perbendaharaannya, tetapi jika orang itu bakhil bermakna dia tidak mempunyai apa-apa!’ Syaitan cuba mendatangkan was-was kepada dirinya dengan mengatakan bahawa jika Allah tidak memakbulkan doanya, dah tentu Allah tidak mempunyai apa-apa. Na’uzubillah min zalik! Lalu Ibn al-Jauzi cuba memerangi was-was ini lantas dia berkata kepada dirinya :

  • Sudah terbukti dengan dalil-dalil yang terang dan akal yang sihat bahawa Allah itu adalah RAJA sekalian raja. Maka adalah layak bagi seorang Raja untuk memperlakukan apa yang Dia suka terhadap hartaNya. Terpulanglah samada Dia mahu memberi hartanya atau tidak. Maka tidak ada alasan lagi untuk mempersoalkan perkara itu.
  • Dan sudah terbukti juga bahawasanya jika engkau melihat sesuatu itu sebagai kebaikan tetapi hikmah pula mengatakan sebaliknya. Sebagai contoh, seorang doktor yang hendak mengubati pesakitnya, zahirnya apa yang dia lakukan nampak menyakitkan pesakit tetapi lain pula kata hikmah; di situ adanya kebaikan yang boleh menyembuhkan.
  • Atau mungkin juga jika dilewatkan waktu terjawabnya doa itu ada kebaikannya, dan mempercepatkannya ada kemudaratan. Bukankah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam telah berkata (yang bermaksud) : “Seorang hamba itu akan sentiasa dalam kebaikan selagi mana dia tidak tergesa-gesa (untuk memohon supaya cepatnya doa termakbul); dia berkata : ‘Sesungguhnya aku telah berdoa tetapi belum dimakbulkan’.” (diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Ya’la dan al-Thabarani; sahih li ghairihi)
  • Mungkin juga doa masih belum termakbul disebabkan dosa atau kekurangan dalam adab berdoa yang tidak anda sedari. Mungkin ada keraguan dalam benda yang anda makan, mungkin juga hati andai lalai ketika berdoa, atau sebab-sebab yang lain. Maka periksalah perkara-perkara ini.
  • Perlu juga anda teliti apakah tujuan di sebalik doa anda. Mungkin jika ia termakbul ia akan menambahkan dosa anda atau menghilangkan satu perkara yang baik. Maka di sini, tidak termakbul atau lewat termakbulnya doa adalah lebih baik.
  • Akhir sekali, mungkin juga lambatnya termakbul doa itu menjadi sebab untuk engkau sentiasa di pintu munajat dan mendekatkan diri kepada Allah; jika engkau dapat apa yang engkau inginkan maka engkau akan jauh dari Allah. Buktinya jelas, jika tidak kerana ujian yang menimpa maka engkau tidak akan dilihat bermunajat dan berdoa pada Allah. Allah lebih tahu apa yang membuatkan hambaNya jauh darinya, maka Dia datangkan ujian untuk mendekatkan hambaNya kepadaNya, supaya mereka ini memohon pertolongan daripadaNya. Sesungguhnya musibah yang sebenar ialah apabila engkau jauh dariNya. Dan adapun apa yang membuatkan engkau berteleku di hadapanNya dan bermunajat, maka itulah keindahanmu yang sebenar.

Cantik..sangat cantik nasihat Ibn al-Jauzi ini. Pada pendapat saya, point yang terakhir tadi sudah cukup untuk mengubat hati. Itulah maksud sebenar musibah; supaya kita mendekatkan diri kepada Allah. Adapun adab-adab, cara berdoa dan perkara-perkara yang membantu termakbulnya doa, teruslah dipelajari, mudah-mudahan akan datang pertolongan Allah. PERCAYALAH.. SETIAP UJIAN ITU PASTI ADA PENGHUJUNGNYA.

Read Full Post »

Older Posts »