Feeds:
Posts
Comments

Archive for September 30th, 2013

Allah menyebut dalam al-Quran dalam banyak tempat bahawa Dia menjadikan malam itu untuk manusia berehat dan tidur dan waktu siang dijadikan untuk manusia mencari kelebihan-kelebihan yang dikurniakan oleh Allah. Antaranya dalam surah al-Isra’ ayat 12 dan surah al-Jum’ah ayat 9 Allah memberitahu selepas ditunaikan solat Jumaat itu maka bertebarlah kamu di atas muka bumi mencari rezeki yang disediakan oleh Allah dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya. Begitu juga dalam surah al-Naba’ ayat 9 – 11, Allah menyebut yang maksudnya Dia telah menjadikan tidur itu sebagai kerehatan untuk badan kita, malam itu sebagai ‘pakaian’ yang melindungi kita dan siang itu masa untuk mencari rezeki.

Malam itu selain untuk berehat, menenangkan diri dan ‘slow down’ dari kesibukan di siang hari, Allah menyebut dalam surah al-Muzzammil ayat 6 yang maksudnya sesungguhnya ibadah pada saat-saat waktu malam itu  lebih kuat kesannya ke atas jiwa dan lebih lurus bacaan kita. Digalakkan beribadah pada waktu malam itu kerana pada siang harinya manusia itu banyak urusan dan kesibukan yang memanjang.

Dari ayat-ayat yang dibawakan di atas, menunjukkan bahawa waktu siang dan malam itu mempunyai fungsinya yang tersendiri. Waktu siang itu digunakan untuk melaksanakan pekerjaan dan tugas kita masing-masing. Manakala waktu malam itu, menurut al-Quran, ia digunakan untuk dua perkara; untuk tidur berehat dan untuk beribadah. Maka sepatutnya beginilah pembahagian masa bagi seorang Muslim itu.

Dan timbul lagi satu persoalan, bagaimana untuk pastikan pada waktu siangnya itu kita banyak mengingati Allah dan tidak hanyut dengan arus duniawi? Perancangan :

–  Mendirikan solat dengan penuh kekuatan serta menjaga tata-tertibnya. Jadikan solat itu sebagai masa untuk mengingati Allah seperti yang disebut dalam surah Taha ayat 14, mengambil nasihat dan pengajaran dari Kalam Allah yang dibaca padanya, mendatangkan kembali rasa takut kepada Allah dan meletakkan urusan dunia (anak, rumah, makanan dan lain-lain) jauh dari hati kita buat seketika.

–  Selain mengkhususkan malam sebagai waktu ibadah, ambil juga satu portion dari waktu siang untuk membaca al-Quran.

–  Sentiasa menyedari bahawa tujuan penciptaan manusia itu adalah untuk beribadah kepada Allah dan jangan biarkan dunia melalaikan kita dari tujuan asal tersebut,

–  Sentiasa look forward masa untuk solat dan membaca al-Quran. Seperti yang disebut dalam hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam antara golongan yang dilindungi Allah ketika di padang Mahsyar nanti adalah lelaki yang HATInya sentiasa terikat dengan masjid. Begitu juga dengan wanita, jika tidak dengan masjid sekali pun, ia sentiasa menanti-nanti masa untuk bersolat, membaca al-Quran dan solat malam.

–  Banyakkan mengingati mati dan kejadian-kejadian hari kiamat, supaya rasa takut tetap ada walau ketika menjalani kehidupan harian.

–  Memperbanyakkan zikir.

–  Jangan biarkan diri dalam mode ‘auto-pilot’. Kena banyak berhenti seketika dalam kesibukan melakukan tugasan harian dan nilai niat, perkataan dan perbuatan kita.

–  Banyakkan menyebut-nyebut mengenai pengajaran dari al-Quran dengan suami, anak-anak dan kawan-kawan. Jadikan ia budaya kita.

–  Bawa reflection kita akan satu-satu ayat al-Quran yang kita tadabbur itu ‘ke mana-mana’ kita pergi dan pastikan ia memberi kesan kepada jiwa kita.

–  Pastikan tugasan kita di siang hari itu adalah sesuatu yang syar’ie dan ada manfaat untuk akhirat kelak.

–  Susun betul-betul apa yang hendak dilakukan supaya setiap pekerjaan itu ada pahala dan tidak sia-sia.

–   Kurangkan atau jangan tengok TV, dengar muzik  atau main game. Sebaliknya pilihlah hiburan yang lebih syar’ie; beriadah, berkelah dengan keluarga, ziarah kawan atau saudara mara, berbasikal, mendaki bukit dan sebagainya. Hiburkan diri dengan benda yang real dan ada manfaat untuk diri sendiri mahupun masyarakat. Masa itu terlalu berharga untuk disia-siakan begitu sahaja.

– Ambil peluang siang yang terang ini untuk melakukan ibadah lain seperti sedekah, membantu orang lain, menziarahi orang sakit, mengajak orang kepada kebaikan etc.

–  Tidur seketika supaya badan tak terlalu letih.

Waktu malam pula :

–  Bahagikan masa antara tidur dan ibadah.

–  Tidur awal.

–  Fokuskan waktu malam untuk ibadah dan bahagikan ibadah kepada : solat, baca al-Quran, hafaz al-Quran, tadabbur al-Quran, doa, istighfar, zikir dan muzakarah ilmu. Buat jadual.

–  Kurangkan aktiviti lain pada waktu malam – FB, baca buku yang bukan ilmu Quran atau Sunnah, bersosial dengan manusia, preparation untuk tugasan harian etc. Cuba cari masa pada waktu siang (lepas Subuh contohnya) untuk lakukan perkara-perkara ini.

Kenapa tidak disebut mengenai bagaimana untuk organize dan bahagi masa untuk tugasan harian kita? Kerana saya dan kita dah terlalu arif merancang, mengendali, dan meneliti tugasan harian kita. Tiba masanya saya dan kita merancang untuk akhirat pula dan bagaimana untuk memperbanyakkan ibadah. Masa sudah suntuk, mati sedang menunggu kita.

Semoga Allah memberi kita petunjuk dan kekuatan untuk melaksanakan plan ini. Allah menyebut dalam surah al-Isra’ ayat 19 yang maksudnya : “Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang sepatutnya baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.

Advertisements

Read Full Post »