Feeds:
Posts
Comments

Archive for September, 2013

Allah menyebut dalam al-Quran dalam banyak tempat bahawa Dia menjadikan malam itu untuk manusia berehat dan tidur dan waktu siang dijadikan untuk manusia mencari kelebihan-kelebihan yang dikurniakan oleh Allah. Antaranya dalam surah al-Isra’ ayat 12 dan surah al-Jum’ah ayat 9 Allah memberitahu selepas ditunaikan solat Jumaat itu maka bertebarlah kamu di atas muka bumi mencari rezeki yang disediakan oleh Allah dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya. Begitu juga dalam surah al-Naba’ ayat 9 – 11, Allah menyebut yang maksudnya Dia telah menjadikan tidur itu sebagai kerehatan untuk badan kita, malam itu sebagai ‘pakaian’ yang melindungi kita dan siang itu masa untuk mencari rezeki.

Malam itu selain untuk berehat, menenangkan diri dan ‘slow down’ dari kesibukan di siang hari, Allah menyebut dalam surah al-Muzzammil ayat 6 yang maksudnya sesungguhnya ibadah pada saat-saat waktu malam itu  lebih kuat kesannya ke atas jiwa dan lebih lurus bacaan kita. Digalakkan beribadah pada waktu malam itu kerana pada siang harinya manusia itu banyak urusan dan kesibukan yang memanjang.

Dari ayat-ayat yang dibawakan di atas, menunjukkan bahawa waktu siang dan malam itu mempunyai fungsinya yang tersendiri. Waktu siang itu digunakan untuk melaksanakan pekerjaan dan tugas kita masing-masing. Manakala waktu malam itu, menurut al-Quran, ia digunakan untuk dua perkara; untuk tidur berehat dan untuk beribadah. Maka sepatutnya beginilah pembahagian masa bagi seorang Muslim itu.

Dan timbul lagi satu persoalan, bagaimana untuk pastikan pada waktu siangnya itu kita banyak mengingati Allah dan tidak hanyut dengan arus duniawi? Perancangan :

–  Mendirikan solat dengan penuh kekuatan serta menjaga tata-tertibnya. Jadikan solat itu sebagai masa untuk mengingati Allah seperti yang disebut dalam surah Taha ayat 14, mengambil nasihat dan pengajaran dari Kalam Allah yang dibaca padanya, mendatangkan kembali rasa takut kepada Allah dan meletakkan urusan dunia (anak, rumah, makanan dan lain-lain) jauh dari hati kita buat seketika.

–  Selain mengkhususkan malam sebagai waktu ibadah, ambil juga satu portion dari waktu siang untuk membaca al-Quran.

–  Sentiasa menyedari bahawa tujuan penciptaan manusia itu adalah untuk beribadah kepada Allah dan jangan biarkan dunia melalaikan kita dari tujuan asal tersebut,

–  Sentiasa look forward masa untuk solat dan membaca al-Quran. Seperti yang disebut dalam hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam antara golongan yang dilindungi Allah ketika di padang Mahsyar nanti adalah lelaki yang HATInya sentiasa terikat dengan masjid. Begitu juga dengan wanita, jika tidak dengan masjid sekali pun, ia sentiasa menanti-nanti masa untuk bersolat, membaca al-Quran dan solat malam.

–  Banyakkan mengingati mati dan kejadian-kejadian hari kiamat, supaya rasa takut tetap ada walau ketika menjalani kehidupan harian.

–  Memperbanyakkan zikir.

–  Jangan biarkan diri dalam mode ‘auto-pilot’. Kena banyak berhenti seketika dalam kesibukan melakukan tugasan harian dan nilai niat, perkataan dan perbuatan kita.

–  Banyakkan menyebut-nyebut mengenai pengajaran dari al-Quran dengan suami, anak-anak dan kawan-kawan. Jadikan ia budaya kita.

–  Bawa reflection kita akan satu-satu ayat al-Quran yang kita tadabbur itu ‘ke mana-mana’ kita pergi dan pastikan ia memberi kesan kepada jiwa kita.

–  Pastikan tugasan kita di siang hari itu adalah sesuatu yang syar’ie dan ada manfaat untuk akhirat kelak.

–  Susun betul-betul apa yang hendak dilakukan supaya setiap pekerjaan itu ada pahala dan tidak sia-sia.

–   Kurangkan atau jangan tengok TV, dengar muzik  atau main game. Sebaliknya pilihlah hiburan yang lebih syar’ie; beriadah, berkelah dengan keluarga, ziarah kawan atau saudara mara, berbasikal, mendaki bukit dan sebagainya. Hiburkan diri dengan benda yang real dan ada manfaat untuk diri sendiri mahupun masyarakat. Masa itu terlalu berharga untuk disia-siakan begitu sahaja.

– Ambil peluang siang yang terang ini untuk melakukan ibadah lain seperti sedekah, membantu orang lain, menziarahi orang sakit, mengajak orang kepada kebaikan etc.

–  Tidur seketika supaya badan tak terlalu letih.

Waktu malam pula :

–  Bahagikan masa antara tidur dan ibadah.

–  Tidur awal.

–  Fokuskan waktu malam untuk ibadah dan bahagikan ibadah kepada : solat, baca al-Quran, hafaz al-Quran, tadabbur al-Quran, doa, istighfar, zikir dan muzakarah ilmu. Buat jadual.

–  Kurangkan aktiviti lain pada waktu malam – FB, baca buku yang bukan ilmu Quran atau Sunnah, bersosial dengan manusia, preparation untuk tugasan harian etc. Cuba cari masa pada waktu siang (lepas Subuh contohnya) untuk lakukan perkara-perkara ini.

Kenapa tidak disebut mengenai bagaimana untuk organize dan bahagi masa untuk tugasan harian kita? Kerana saya dan kita dah terlalu arif merancang, mengendali, dan meneliti tugasan harian kita. Tiba masanya saya dan kita merancang untuk akhirat pula dan bagaimana untuk memperbanyakkan ibadah. Masa sudah suntuk, mati sedang menunggu kita.

Semoga Allah memberi kita petunjuk dan kekuatan untuk melaksanakan plan ini. Allah menyebut dalam surah al-Isra’ ayat 19 yang maksudnya : “Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang sepatutnya baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.

Advertisements

Read Full Post »

Sebelum ini saya selalu tertanya-tanya bagaimana salafus soleh mengajar anak-anak mereka membaca al-Quran.

Alhamdulillah, hari ini saya menemui sedikit gambaran mengenainya di akhir kitab tafsir Ibn Kathir iaitu bab yang disusun khas oleh beliau rahimahullah mengenai Fadha-il al-Quran. Ia disebutkan di bawah subtopic “Ta’allum al-Sibhyaan al-Quran” (Kanak-kanak Mempelajari al-Quran).

Dari Sa’id Ibn Jubayr, Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata : Aku berumur 10 tahun ketika Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam wafat. Dan ketika itu, aku telah menghafaz al-Muhkam (al-Mufassal : iaitu dari surah al-Hujurat hingga al-Naas)

Ibn Kathir rahimahullah menyebut bahawa ini menunjukkan bolehnya mengajar kanak-kanak al-Quran; bahkan ianya dianjurkan atau wajib. Kerana kanak-kanak itu jika dia telah mempelajari al-Quran kemudian mencapai umur baligh, maka dia akan tahu apa yang hendak dibaca di dalam solat. Dan hafazannya pada waktu kecil lebih utama, lebih kuat ingatannya dan lebih ‘lekat’ daripada hafazannya setelah dewasa.

Sebahagian salaf menganjurkan supaya anak kecil dibiarkan seketika di awal umurnya untuk bermain, dan kemudian selepas itu dikumpulkan kesungguhannya untuk belajar al-Quran. Perihal tidak mewajibkan (memestikan) dia belajar al-Quran ini supaya dia tidak jemu dengan al-Quran dan langsung meninggalkannya untuk bermain. Sebahagian mereka pula tidak suka mengajar al-Quran kepada anak kecil sedang dia tidak memahaminya. Tetapi dia dibiarkan dahulu sehinggalah dia dapat berfikir dan membezakan ilmu sedikit demi sedikit bersesuaian dengan kesungguhannya, keterujaannya, hafazannya dan kekuatan hafalannya. Manakala Umar al-Khattab pula suka mengajar anak kecil dengan membacakan kepada mereka 5 ayat 5 ayat.

Pelajaran yang saya dapati dari teks ini :

1-      Antara tujuan/niat tertinggi ibubapa mengajarkan al-Quran kepada anak mereka adalah supaya mereka dapat membawa al-Quran ke dalam solat. Para ulama’ menyebutkan bahawa utamanya perihal berdiri dalam solat itu adalah kerana al-Quran (zikir paling utama dan mulia) yang dibaca padanya. Benarlah kata Ibn Mas’ud radhiyallahu ‘anhu : Sesungguhnya kami ini susah menghafaznya tetapi dimudahkan untuk beramal dengannya. Dan kaum selepas kami  mudah untuk menghafaznya tetapi susah untuk beramal dengannya. Membaca al-Quran dalam solat adalah salah satu cara beramal dengan al-Quran.

2-      Anak kecil jangan dipaksa untuk membaca al-Quran; hendaklah diraikan juga tabi’i mereka yang suka bermain. Ini supaya mereka tidak memandang al-Quran sebagai sesuatu yang tidak seronok.

3-      Mengajar al-Quran kepada anak bukanlah untuk membaca dan menghafaznya sahaja. Tetapi ibubapa hendalah mengajar isi kandungan al-Quran (perintah Allah, larangan Allah, peringatan darinya, kisah-kisah darinya dsb) dan memastikan anak beramal dengannya. Sebaiknya anak mula diajar apabila mereka sudah boleh memahami isi kandungan al-Quran. Ini bersesuaian dengan objektif al-Quran diturunkan seperti yang disebut dalam surah  Shad ayat 29 yang maksudnya : Kitab (al-Quran ini) Kami turunkan Ia kepadamu adalah (Kitab) yang diberkati dan penuh kebaikan; untuk mereka teliti ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal itu mengambil pengajaran. Al-Hasan al-Bashri berkata : Bukanlah meneliti ayat al-Quran dengan menghafaz huruf-hurufnya dan mengabaikan larangannya; sedang salah seorang mereka berkata : Aku telah menghafal keseluruhan al-Quran; sedang langsung tidak terlihat padanya al-Quran baik pada akhlak mahupun amalan.

4-      Ketika mengajar anak al-Quran hendaklah mengambil kira kesungguhan, mood dan kebolehan anak. Kerana setiap anak adalah berbeza dan ibubapa hendaklah raikan.

5-      Hendaklah mengajar anak kecil sedikit demi sedikit dan bukannya melihat kuantiti.

Dan pelajaran paling utama yang saya dapat dari bulan Ramadhan, dalam kesungguhan kita hendak mengajar al-Quran kepada anak, hendaklah kita sebagai ibubapa mulakan dengan diri kita dahulu. Perbaiki bacaan kita, perbanyakkan bacaan kita, perbanyakkan hafazan kita, tingkatkan pemahaman kita terhadap al-Quran, hadirkan dulu rasa takut kita kepada perkataan Allah, bawa al-Quran dalam solat baik yang fardhu mahupun sunat, beramal bersungguh-sungguh dengan isi kandungannya. Semoga dengan itu Allah mudahkan tugas kita membacakan dan mengajarkan ayat-ayat al-Quran kepada anak-anak kita.

Read Full Post »