Feeds:
Posts
Comments

Archive for June, 2012

KEPALSUAN hadis kelebihan ibu yang mengandung dan melahirkan ;

“Apabila seorang wanita redha atas kehamilannya dari suaminya yang sah, sesungguhnya dia mendapat ganjaran pahala seperti ibadah puasa dan mengerjakan ibadah-ibadah lainnya di jalan Allah dan jika dia merasa sakit hendak bersalin, tidaklah dapat dibayangkan oleh penghuni langit dan bumi, betapa kesenangannya disediakan oleh Allah di hari akhirat nanti. Apabila anaknya lahir, maka dari setiap teguk air susu yang dihisap oleh anak, si ibu mendapat kebajikan pahala. Apabila si ibu berjaga malam (kurang tidur kerana anak) maka si ibu mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba sahaya kerana Allah.”

Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Awsath, al-Hasan bin Sufyan dalam Musnadnya, Ibn ‘Asakir dan al-Dailami. Hadis ini dihukum PALSU oleh Ibn Hibban dalam al-Majruuhiin, Ibn al-Jauzi dalam al-Maudhuu’aat, al-Suyuthi dalam al-Aalii al-Masnuu’ah, al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah wa al-Maudhuu’ah.

Berkata Ibn Hibban :

وقد روى عن أنس بن مالك حديثا موضوعا يشهد الممعن في الصناعة بوضعه، لا يحل ذكره في الكتب إلا على وجه الاختبار للخواص.

Beliau (‘Amr bin Sa’iid) meriwayatkan satu hadis palsu dari Anas bin Malik, mereka yang meneliti hadis ini dengan baik pasti dapat mengenal pasti kepalsuannya. Tidak halal meriwayatkan hadis ini dalam mana-mana kitab kecuali untuk tujuan menguji mereka yang arif dalam bidang ini.

(Lihat : Ibn Hibban, al-Majruuhiin, 2/68)

Kepalsuan hadis ini tidak bermakna ibu yang mengandung dan melahirkan tidak mendapat ganjaran pahala dari Allah. Bukankah keumuman hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam menyebut : “Tidaklah seorang mukmin itu ditimpa kepenatan, kesakitan, perkara yang tidak disukainya, kesedihan, bahaya (yang disebabkan oleh orang lain) dan kerisauan, hatta duri yang mencucuknya kecuali Allah akan mengampunkan dosa-dosanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dan cukuplah juga kepayahan ibu mengandung, melahirkan dan menjaga anak ini digantikan oleh Allah dengan kedudukan ibu yang sangat tinngi di sisi seorang anak itu.

Read Full Post »

Isteri, Ibu dan ….

Dalam status FB saya sebelum ini, saya menyeru para isteri dan ibu untuk pulang dan tetap di rumah demi untuk menjaga dan mengajar sendiri anak-anak. Dan saya ditanya : Bagaimana jika suami berpendapatan sederhana yang memerlukan si isteri bekerja untuk menampung perbelanjaan?

 Saya tidak menolak sepenuhnya fenomena isteri bekerja ini kerana saya tidak nafikan mungkin ada situasi2 yang mana isteri perlu bekerja kerana DARURAT. Mengapa? Biarlah itu urusannya dengan Allah. Seperti halnya ibu saya yang bekerja kerana saya dan kakak telah kehilangan ayah sejak kami kecil.

Perlu diimani dengan iman yang benar bahawa Allah telah menetapkan tugas mencari rezeki dan menampung perbelanjaan keluarga adalah tanggungjawab dan kewajipan suami. Allah tidak menyebut secara spesifik berapa nafkah yang perlu dibelanjakan oleh suami tetapi Allah menyebut yang maksudnya : ”Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (al-Talaq : 7)

Dalam ayat ini, Allah menyebut bahawa suami mesti menyediakan perbelanjaan kepada keluarga sesuai dengan KEMAMPUAN SUAMI. Jika kaya maka belilah rumah dan kereta yang besar, jika sederhana belilah rumah dan kereta yang sederhana dan begitulah seterusnya. Bahkan Allah janjikan pula bagi mereka yang sempit, maka akan datang kesenangan selepas kesempitan itu! Subhanallah..

Oleh itu, isteri yang telah diperintahkan oleh Allah untuk tetap di rumah (al-Ahzab : 33) mesti bersedia untuk menerima dengan redha apa jua yang mampu disediakan oleh suami.

Seperkara lagi, sifir duit manusia berbeza dengan ’sifir’ yang disediakan oleh Allah. Bagi kita, the more we save, the more money we have. The more we earn, the wealthier we are. Lagi banyak duit yang dikeluarkan bukan untuk kepentingan kita, maka akan berkuranglah duit dan harta kita. Sedangkan yang benarnya, the more you give the more you will get (baik pahala mahupun harta!). Allah pula berkata yang maksudnya : ”Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.” (al-Baqarah : 276). Dan Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam juga ada menyebut : ’Sedekah itu tidak akan mengurangkan harta…’ (HR Muslim). Mari kita jadi kaya dengan bersedekah :)

Dan kita juga merasakan lagi ramai anak, lagi banyak duit kena cari dan kena pakai. Sedangkan Allah berkata yang maksudnya : “Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya…” (Hud : 6) Ini bermakna, lagi ramai anak maka akan bertambahlah rezeki si ayah tadi supaya si ayah boleh menjadi sebab untuk si anak mendapat perbelanjaan. Mari juga jadi kaya dengan meramaikan anak :)

Pokok pangkalnya adalah iman kita kepada Allah dan janji-janji Allah. Kebahagiaan, kekayaan (hati) dan kesenangan itu semuanya terletak pada mentaati Allah.

Dan yang sebenarnya, bila si isteri tidak bekerja, lebih boleh menjimatkan banyak wang dan mengurangkan perbelanjaan household.

Saya yakin ramai ibu yang bekerja di luar sana yang sangat-sangat ingin untuk menjaga dan mendidik anak-anak mereka sendiri. Mereka juga sayangkan anak-anak mereka sebagaimana saya menyayangi anak-anak saya. Namun, mungkin mereka ada kekangan yang terpaksa mereka tempuhi dulu sebelum dapat melaksanakan impian ini. Saya berdoa kepada Allah agar Dia memberi petunjuk kepada saya dalam mengurus rumahtangga dan anak-anak serta menetapkan saya atas jalan ini. Saya juga berdoa agar Allah memberi jalan keluar buat para ibu yang ingin mendidik anak-anak mereka sendiri dan memberi kemudahan kepada saya dan juga mereka dalam segala urusan. Ya Allah, jadikan kami isteri yang taat dan ibu yang mendidik dengan sabar dan penuh kasih sayang..

Read Full Post »