Feeds:
Posts
Comments

Archive for January, 2011

4 keadaan al-mustahadhah (wanita yang istihadhah) :

1- Boleh membezakan warna darah, tetapi tidak mempunyai kebiasaan :

  • Wanita ini mempunyai darah yang boleh dibezakan warnanya, tetapi dia tidak mempunyai ketetapan pada waktu datangnya haid mahupun tempoh berlangsungnya haid.
  • Waktu haid = warna darah merah kehitaman.
  • Waktu istihadhah = selain warna merah kehitaman.
  • Ini berdasarkan hadis Fatimah bint Abi Hubaisy.
  • 

2- Mempunyai kebiasaan, tetapi tidak boleh membezakan darah :

  •  Wanita ini mempunyai ketetapan pada waktu datangnya haid dan juga tempohnya, tetapi darahnya tidak dapat dibezakan (1 warna saja).
  • Jika dia mempunyai kebiasaan sebelum istihadhah, maka hendaklah dia menjadikan dirinya haid dengan kadar kebiasaannya dan mandi setelah tamatnya tempoh kebiasaannya.
  • Ini berdasarkan hadis Ummu Salamah dan Ummu Habibah. 
  • Kebiasaan wanita itu berbeza-beza; ada yang tetap dan ada yang berubah-ubah.
  • Tetap : Cth – mempunyai kitaran 4 hari haid dan 24 hari suci setiap bulan. Jika dia istihadhah, maka dia meng’haid’kan dirinya selama 4 hari saja.
  • Berubah tetapi ada turutan : Cth – bulan 1 : 3 hari, bulan 2 : 4 hari, bulan 3 : 5 hari, kemudian kembali kepada 3, 4, 5 semula pada bulan2 yang seterusnya. Jika dia istihadhah dan dia mengetahui pada bulan itu giliran bilangan haid yang mana, maka dia meng’haid’kan dirinya dengan jumlah berkenaan. Jika dia terlupa maka, dia mengambil jumlah jari yang dia yakini iaitu 3. 
  • Berubah dan tidak mengikut turutan : Cth – bulan 1 : 3 hari, bulan 2 : 5 hari, bulan 3 : 4 hari. Jika tertib ini tidak berubah-ubah untuk dirinya, maka jika dia istihadhah dia perlu melihat pada bulan itu apakah tempoh haidnya dan selebihnya adalah istihadhah. Jika tak ingat, maka dia meng’haid’kan dirinya dengan jumlah yang dia yakini iaitu 3.

 3- Tiada kebiasaan dan tidak boleh membezakan darah :

  • Jika seorang wanita tidak mempunyai kebiasaan dan tidak dapat membezakan darahnya, maka ia kembali kepada kebiasaan wanita iaitu 6 @ 7 hari dan menjadikan 24 @ 23 hari sebagai suci berdasarkan hadis Hamnah bint Jahsy.

 4- Wanita yang mempunyai kebiasaan dan boleh membezakan darahnya :

  •  Jika wanita tersebut mempunyai kebiasaan dan boleh membezakan darahnya; dan jika dia istihadhah dan darahnya boleh dibezakan dan darah hitam itu terjadi dalam tempoh kebiasaannya, maka ia selari dan hendaklah dia beramal dengannya.
  • Tetapi jika darah hitam itu lebih sedikit atau lebih banyak daripada tempoh biasanya, maka di sini ada 2 pendapat :
  • (1) Hendaklah dia beramal dengan sifat darah.
  • (2) Hendaklah dia beramal dengan tempoh kebiasaan kerana dalam hadis Ummu Habibah dan Ummu Salamah, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam menyuruh mereka untuk kembali kepada kebiasaan dan Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam tidak pula bertanya adakah warna darah boleh dibezakan atau tidak. Warna darah juga bleh terbatal dilalahnya sekiranya ia melebihi tempoh biasa. Maka menjadikan tempoh kebiasaan sebagai petunjuk adalah lebih kuat. [Lihat : al-Mufassal]
  • Tambahan daripada apa yang ada dalam Daurah : Mendahulukan al-aadah (kebiasaan) daripada al-tamyiz (membezakan warna darah juga) adalah berdasarkan tarjih hadis; iaitu hadis yang menyebut tentang al-aadah adalah lebih kuat daripada hadis tamyiz kerana hadis tamyiz ada perselisihan ulama’ tentang kesahihannya. Abu Hatim mengatakan hadis ini munkar.

Read Full Post »

Insha Allah saya akan cuba bentangkan di sini sedikit perkongsian dalam Daurah Muslimat pada Ahad lepas :

1- Hadis Fatimah bint Abi Hubaisy : 

عن عائشة رضى الله عنها أن فاطمة بنت أبى حبيش كانت تستحاض فقال لها رسول الله صلى الله عليه وسلم : ” إن دم الحيض دم أسود يعرف فإذا كان ذلك فأمسكى عن الصلاة فإذا كان الآخر فتوضئى و صلي

Maksud : Dari ‘Aisyah r.a, Fatimah bint Abi Hubaisy telah didatangi istihadah, maka Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata kepadanya : “Sesungguhnya darah haid itu berwarna kehitaman seperti yang diketahui, jika ia adalah sedemikian, maka tinggalkanlah solat, tetapi jika ia selain dari itu, maka berwuduklah dan bersolatlah.”

Takhrij Hadis :

Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Nasa’ie dengan penambahan lafaz ‘فإنما هو عرق’. Disahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim serta disepakati oleh al-Zahabi. Adapun Abu Hatim, beliau mengatakan hadis ini munkar [Lihat : ‘Ilal al-Hadith oleh Ibn Abi Hatim]

Fiqh Hadis :

  • Menerangkan keadaan darah haid iaitu berwarna merah kehitaman.
  • Wujudnya masalah istihadah pada zaman Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam dan Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam menerangkan hukum-hakamnya.
  • Jika wanita mengalami istihadah, maka dia perlu membezakan warna; haid = merah kehitaman dan istihadah = merah.
  • Pada hari darahnya kehitaman maka dia mesti meninggalkan solat. Dan jika darah berubah warna kemerahan, maka itu menandakan dia suci dari haid. Hendaklah dia mandi wajib, berwuduk lalu bersolat.
  • Darah haid adalah sesuatu yang diketahui oleh wanita.
  • Wanita yang istihadah hendaklah berwuduk setiap kali solat; kerana hukumnya sama seperti orang yang hadasnya tidak terputus.
  • Mereka yang tidak terputus hadas seperti mustahadah, salisul baul, mazi, angin atau luka yang darahnya tidak berhenti, maka dia wajib membersihkan najis dan tempat najis kemudian berwuduk setiap kali solat, jika ada keluar sesuatu.
  • Wajib membersihkan darah untuk solat kerana ia adalah najis berdasarkan ijma’.
  • Wanita wajib solat apabila telah terhentinya darah haid.
  • 

2- Hadis Ummu Salamah : 

أَنَّ امْرَأَةً كَانَتْ تُهَرَاقُ الدَّمَ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَفْتَتْ لَهَا أُمُّ سَلَمَةَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لِتَنْظُرْ عَدَدَ اللَّيَالِي وَالْأَيَّامِ الَّتِي كَانَتْ تَحِيضُ مِنْ الشَّهْرِ قَبْلَ أَنْ يُصِيبَهَا الَّذِي أَصَابَهَا فَلْتَتْرُكْ الصَّلَاةَ قَدْرَ ذَلِكَ مِنْ الشَّهْرِ فَإِذَا خَلَّفَتْ ذَلِكَ فَلْتَغْتَسِلْ ثُمَّ لِتَسْتَثْفِرْ ثُمَّ لِتُصَلِّي
 
Maksudnya : Ada seorang wanita yang darahnya terus-terusan mengalir pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam, maka Ummu Salamah meminta fatwa daripada Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam dan Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Hendaklah dia melihat bilangan hari dan malam yang dia didatangi haid pada bulan sebelum dia ditimpa istihadah. Maka tinggalkanlah solat sebanyak hari yang dia haid pada bulan itu. Dan jika telah berlalu hari-hari tersebut, maka mandilah dan (kenakanlah kain pada tempat keluar darah untuk menghalang darah mengalir) dan kemudian solatlah.”  
 
Takhrij Hadis :
 
Diriwayatkan oleh Malik, Ahmad, Abu Daud, al-Nasa’ie, al-Baihaqi, al-Darimi, dan Ibn Abi Syaibah. Al-Imam al-Nawawi berkata dalam al-Majmu’ : Hadis ini sahih atas syarat al-Bukhari dan Muslim.
 
Fiqh Hadis :
 
  • Al-Istithfar (الاستثفار) : Memasukkan kain di antara 2 paha (tempat keluar darah) untuk menahan darah keluar mengalir.
  • Orang yang istihadah hendaklah merujuk kepada kebiasaan mereka sebelum istihadhah.
  • Mandi wajib hanya sekali sahaja iaitu ketika berhentinya darah haid dan tidak perlu mandi apabila berhentinya darah istihadah.
  • Anjuran al-istithfar sebelum menunaikan solat bagi wanita istihadhah.
  • 

3- Hadis Hamnah bint Jahsy : 

عَنْ حَمْنَةَ بِنْتِ جَحْشٍ قَالَتْ كُنْتُ أُسْتَحَاضُ حَيْضَةً كَثِيرَةً شَدِيدَةً فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَسْتَفْتِيهِ وَأُخْبِرُهُ فَوَجَدْتُهُ فِى بَيْتِ أُخْتِى زَيْنَبَ بِنْتِ جَحْشٍ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ حَيْضَةً كَثِيرَةً شَدِيدَةً فَمَا تَرَى فِيهَا قَدْ مَنَعَتْنِى الصَّلاَةَ وَالصَّوْمَ فَقَالَ « أَنْعَتُ لَكِ الْكُرْسُفَ فَإِنَّهُ يُذْهِبُ الدَّمَ ». قَالَتْ هُوَ أَكْثَرُ مِنْ ذَلِكَ. قَالَ « فَاتَّخِذِى ثَوْبًا ». فَقَالَتْ هُوَ أَكْثَرُ مِنْ ذَلِكَ إِنَّمَا أَثُجُّ ثَجًّا. قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « سَآمُرُكِ بِأَمْرَيْنِ أَيَّهُمَا فَعَلْتِ أَجْزَأَ عَنْكِ مِنَ الآخَرِ وَإِنْ قَوِيتِ عَلَيْهِمَا فَأَنْتِ أَعْلَمُ ». فَقَالَ لَهَا « إِنَّمَا هَذِهِ رَكْضَةٌ من رَكَضَاتِ الشَّيْطَانِ 
فَتَحَيَّضِى سِتَّةَ أَيَّامٍ أَوْ سَبْعَةَ أَيَّامٍ فِى عِلْمِ اللَّهِ ثُمَّ اغْتَسِلِى حَتَّى إِذَا رَأَيْتِ أَنَّكِ قَدْ طَهُرْتِ وَاسْتَنْقَأْتِ فَصَلِّى ثَلاَثًا وَعِشْرِينَ لَيْلَةً أَوْ أَرْبَعًا وَعِشْرِينَ لَيْلَةً وَأَيَّامَهَا وَصُومِى فَإِنَّ ذَلِكَ يُجْزِئُكِ وَكَذَلِكَ فَافْعَلِى فِى كُلِّ شَهْرٍ كَمَا تَحِيضُ النِّسَاءُ وَكَمَا يَطْهُرْنَ مِيقَاتَ حَيْضِهِنَّ وَطُهْرِهِنَّ وَإِنْ قَوِيتِ عَلَى أَنْ تُؤَخِّرِى الظُّهْرَ وَتُعَجِّلِى الْعَصْرَ فَتَغْتَسِلِينَ وَتَجْمَعِينَ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَتُؤَخِّرِينَ الْمَغْرِبَ وَتُعَجِّلِينَ الْعِشَاءَ ثُمَّ تَغْتَسِلِينَ وَتَجْمَعِينَ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ فَافْعَلِى وَتَغْتَسِلِينَ مَعَ الْفَجْرِ فَافْعَلِى وَصُومِى إِنْ قَدَرْتِ عَلَى ذَلِكَ ». قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « وَهَذَا أَعْجَبُ الأَمْرَيْنِ إِلَىَّ ».
 
Maksudnya : Dari Hamnah bint Jahsy, dia berkata : Aku ditimpa istihadhah sangat banyak bilangan harinya dan sangat banyak aliran darahnya, lalu aku menemui Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam untuk meminta fatwa dan memberitahunya, lalu aku dapati Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berada di rumah saudaraku Zainab bint Jahsy. Aku berkata : Wahai Rasulullah! Aku adalah seorang wanita yang telah ditimpa istihadhah yang banyak (hari & alirannya), maka apa pendapat engkau mengenainya, ia telah menahanku dari solat dan puasa. Lalu Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Gunakanlah kapas, ia boleh memberhentikan darah dari mengalir.” Hamnah berkata : Ia lebih banyak dari itu. Berkata lagi Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam : “Maka gunakanlah kain.” Kata Hamnah : Ia lebih banyak dari itu, ia mengalir dengan aliran yang deras sekali.  Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Aku akan menyuruh kamu dengan 2 perkara; dan kamu boleh melakukan mana-mana antara keduanya, jika kamu dapat melakukan kedua-duanya maka itu lebih engkau ketahui”. Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata  lagi : “Sesungguhnya ini adalah gangguan syaitan, maka jadikanlah diri kamu haid samada 6 atau 7 hari pada ilmu Allah, kemudian mandilah. Dan apabila angkau telah melihat dirimu telah bersih dan suci, maka solatlah untuk 23 hari atau 24 hari dan berpuasalah, maka itu mencukupi bagimu. Lakukanlah begini setiap bulan sebagaimana haidnya dan sucinya wanita untuk waktu haid dan waktu suci mereka.  Dan jika engkau mampu untuk mengakhirkan solat zuhur dan menyegerakan asar, maka mandilah dan himpunkanlah antara solat zuhur dan asar, dan akhirkanlah maghrib serta segerakanlah isyak, kemudian mandilah dan himpunkan antara kedua solat tersebut, lakukanlah begitu, dan mandilah untuk solat subuh dan solatlah. Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Dan itulah yang lebih aku sukai.”
 
Takhrij Hadis :
 
Diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad, Daruquthni, al-Hakim. Al-Tirmizi dan al-Bukhari menghasankan hadis ini [Lihat : Sunan al-Tirmizi]
 
Fiqh hadis :
  • Adanya wanita yang ditimpa dengan istihadah pada zaman Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam. Mereka berjumpa dengan Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam dan bertanyakan mengenai urusan agama mereka.
  • Wanita yang istihadhah yang tidak tahu kebiasaan mereka serta darahnya tidak dapat dibezakan maka mereka mengikut kebiasaan wanita haid iaitu 6-7 hari.
  • Jumhur ulama’ tidak mewajibkan mandi bagi wanita yang istihadhah kerana tiada sandaran mengenai kewajipannya; cuma ianya dianjurkan. Jika dia hendak mandi, maka dia boleh menghimpunkan 2 solat dengan satu mandi. Dan itulah yang lebih suci jika ia tidak mendatangkan kesulitan.

 4- Hadis Ummu Habibah : 

oعَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- أَنَّهَا قَالَتْ إِنَّ أُمَّ حَبِيبَةَ بِنْتَ جَحْشٍ الَّتِى كَانَتْ تَحْتَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ شَكَتْ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الدَّمَ فَقَالَ لَهَا « امْكُثِى قَدْرَ مَا كَانَتْ تَحْبِسُكِ حَيْضَتُكِ ثُمَّ اغْتَسِلِى ». فَكَانَتْ تَغْتَسِلُ عِنْدَ كُلِّ صَلاَةٍ.

 Maksudnya : Dari ‘Aisyah dia berkata : Ummu Habibah bint Jahsy, isteri Abdurrahman bin ‘Auf mengadu kepada Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam mengenai darahnya. Maka Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Tunggulah (tinggalkanlah solat) dengan kadar hari haidmu dan kemudian mandilah.” Dan dia mandi setiap kali hendak solat.

Takhrij hadis :

Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, Abu Daud dan al-Nasa’ie. Lafaz di atas adalah lafaz Muslim.

Fiqh hadis :

  • Dalam riwayat al-Bukhari, Ummu Habibah ditimpa istihadhah selama 7 tahun.
  • Wanita yang istihadhah hendaklah menjadikan dirinya haid dengan kadar hari haid sebelum dia ditimpa istihadhah.
  • Apabila telah berlalu kadar hari yang dia haid sebelum itu, maka dia dianggap suci daripada haid dan hendaklah dia mandi.
  • Mandinya Ummu Habibah setiap kali hendak solat menunjukkan kesungguhan beliau menjaga taharah untuk ibadah.
  • Wanita yang berubah haidnya samada bertambah atau berkurang daripada kebiasaannya, maka itu dikira haid sehinggalah dia mengetahui bahawa itu adalah istihadhah dengan berlarutannya darah tersebut.

  6- Hadis ‘Aisyah :

  Sekumpulan wanita menghantar ad-durjah kepada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha dan di dalamnya ada kapas yang terdapat kesan sufrah padanya. Maka ‘Aisyah berkata : Janganlah kamu tergesa-gesa (mandi) sehingga kamu melihat al-qassat al-baydha’ (iaitu dia memaksudkan sudi daripada haid).

Takhrij hadis :

Diriwayatkan oleh Malik dalam al-Muwaththa’ dan al-Bukhari dalam Sahihnya secara mu’allaq dengan sighah yang jazam.

Fiqh hadis :

  •  Hadis menunjukkan tiada tempoh tertentu untuk had maksimum haid tetapi haid itu terhenti apabila berhentinya darah.
  • Cara menentukan haid kering : meletakkan kapas pada faraj untuk melihat samada masih ada kesan darah atau tidak.
  • Tanda suci dari haid : 1- al-qassat al-baydha’ dan al-jafaf (kering).
  • al-qassat al-baydha = cecair putih yang keluar setelah berhentinya darah haid.
  • Hadis ini menunjukkan para wanita di zaman awal sangat mengambil berat dengan solat.
  • Ibn Hajar berkata : maksud ‘sehingga kamu nampak al-qassat al-baydha’’ = (1) setelah kamu letakkan kapas di faraj, maka ia jelas putih bersih, (2) keluarnya cecair putih.
  • 

7- Hadis Ummu ‘Athiyyah :

كنا لا نعد الصفرة والكدرة بعد الطهر شيئا

Maksudnya : Kami tidak menganggap sufrah dan kudrah itu selepas suci sebagai haid.

Takhrij hadis :

Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Abu Daud, al-Nasa’ie, Ibn Majah dan al-Baihaqi; lafaz hadis di atas oleh Abu Daud

Fiqh hadis :

  • Pemahaman secara lafaznya : Sufrah dan kudrah yang keluar selepas wanita sudah suci dikira bukan haid.
  • Pemahan sebaliknya : Sufrah dan kudrah dalam zaman haid dikira haid.

Read Full Post »

Habibi Ya Rasulullah!

Antara faedah daripada video di atas :

– Firman Allah yang bermaksud : “Dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh serta beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad (s.a.w) – yang ialah kebenaran dari Tuhan mereka, – Allah mengampunkan dosa-dosa mereka, dan menjayakan keadaan mereka (di dunia dan di akhirat).” (Muhammad : 2)

– Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Orang yang paling mencintaiku dari kalangan umatku yang datang selepasku adalah mereka yang sanggup (ingin) melihatku dengan (menggadaikan) keluarganya dan hartanya.” (Diriwayatkan oleh Muslim dari Sahabat Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu)
Apakah kita mencintai Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam sehingga tahap ini?

– Adakah kamu mencintai Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam lebih daripada kecintaanmu terhadap ibubapamu?

– Adakah kamu mencintai Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam lebih daripada kecintaanmu terhadap anakmu?

Sama-sama kita muhasabah diri dan berusaha menanamkan kecintaan kepada Nabi kita -shallahu ‘alayhi wa sallam-.

Read Full Post »