Feeds:
Posts
Comments

Archive for December, 2010

Zikir : Ibadah Yang Diabaikan

Alhamdulillah, dengan izin dan taufiq dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, saya dapat berkumpul dengan adik-adik UIA pada Sabtu lepas. Alang-alang berjumpa dengan mereka, saya sediakan juga satu tazkirah ringkas. Pada awalnya saya tidak tahu tajuk apa yang mahu saya kongsikan. Alhamdulillah, dengan taufiq dari Allah, akhirnya saya memilih satu tajuk yang saya rasakan ianya lebih kepada nasihat untuk diri saya sendiri dan semoga mereka yang mendengar juga mendapat manfaat.

     Sebagai seorang isteri dan ibu, saya merasakan ibadah sebelum kahwin dan selepas amat berbeza. Kalau dulu, kita boleh baca al-Quran sebanyak mana semahu kita, solat sunat, puasa sunat, menghadiri kuliah agama, memberi kuliah agama, membaca, menulis dan lain-lain. Tetapi kini tanggungjawab sebagai seorang isteri dan kewajipan menguruskan rumahtangga merupakan ibadah wajib saya dan selagi saya tidak menyelesaikan ibadah wajib mana mungkin saya boleh melaksanakan ibadah sunat segiat dulu. Dan kini baru saya faham dan sangat menghargai satu ibadah yang disyariatkan oleh Allah iaitu ZIKIR.

     Asalnya, saya tidak menyedari betapa besarnya tuntutan mengingati Allah itu. Setelah meneliti ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam mengenai tuntutan berzikir, saya sedar bahawa ia adalah satu ibadah besar yang saya abaikan kerana kejahilan diri sendiri dan betapa ia adalah satu ibadah yang sangat kita perlukan dalam usaha mengumpul bekal untuk hari akhirat.

      Antara ayat yang paling jelas yang menunjukkan bahawa zikir itu adalah satu tuntutan dan perintah dari Allah Ta’ala adalah ayat 41 dari surah al-Ahzab yang bermaksud : ”Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.” Penjelasan Ibn ’Abbas radhiyallahu ’anhu mengenai ayat ini sangat membuatkan saya terpana, beliau berkata : ”Sesungguhnya Allah tidak memfardhukan sesuatu kewajipan ke atas hambaNya kecuali Dia menetapkan (bagi kewajipan itu) had-had tertentu yang dimaklumi, Dia juga memberi ’excuse’ bagi mereka yang tidak mampu melaksanakan kewajipan tersebut dengan sempurna, kecuali ZIKIR, sesungguhnya Allah tidak menjadikan baginya had sebelum kita menyudahkannya dan Dia juga tidak memberikan apa-apa ’excuse’ supaya hambaNya boleh meninggalkannya (zikir), kecuali mereka yang terpaksa meninggalkannya.” (’Umdat at-Tafsir, 3/57)

     Benar sekali apa yang dijelaskan oleh Ibn ’Abbas radhiyallahu ’anhu bahawa zikir itu tidak punya limitation tertentu. Tidak seperti solat, hanya 5 waktu sehari semalam, puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari, zakat, haji dan lain-lain. Semua punya waktu mula dan waktu akhir kecuali ZIKIR. Allah tidak menetapkan had baginya sedangkan ia satu ibadah! Maka, kesimpulannya, Allah memerintahkan kita supaya mengingatiNya pada setiap waktu; baik ketika muqim mahupun musafir, sihat mahupun sakit, sibuk mahupun lapang, siang mahupun malam.

     Dalam al-Quran juga tertulisnya perintah Allah supaya sentiasa mengingatiNya dalam keadaan-keadaan tertentu. Allah memerintahkan hamba-hambaNya supaya sentiasa mengingatiNya dalam keadaan perang! Seperti firman Allah yang bermaksud : ” Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) yang sebanyak-banyaknya, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan) (al-Anfaal : 45). Begitu juga dalam surah al-Baqarah ayat 200, Allah memerintahkan mereka yang selesai mengerjakan ibadah haji supaya mengingatiNya : ” Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya)…” Dan banyak lagi keadaan seperti selepas selesainya solat khauf (al-Nisa’ : 103) dan ketika urusan jual beli (al-Jumu’ah : 10).

      Jika diteliti hadis-hadis Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam, sangat banyak anjuran supaya kita memperbanyak mengingati Allah. Antaranya ialah satu hadis oleh ’Abdullah bin Busr, datang seorang lelaki kepada Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam dan beliau berkata : Sesungguhnya syariat Islam itu sudah banyak ke atas, maka beritahukanlah kepadaku dengan sesuatu benda yang boleh aku berpegang teguh dengannya. Maka jawab Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam : ”Hendaklah lidahmu sentiasa basah dengan mengingati Allah.” (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad dan Ibn Hibban; berkata al-Tirmizi : Hassan gharib). Inilah anjuran berzikir yang dituntut dalam Islam, hendaklah kita sentiasa mengingati Allah  sehingga lidah kita basah menyebut dan mengingatiNya.

      Begitu juga dengan satu hadis oleh Mu’az bin Jabal radhiyallahu ’anhu, dia berkata : Perkara terakhir aku tanyakan kepada Rasulullah shallallahu ’alayhi wa sallam adalah : Apakah amalan yang paling baik dan paling dekat dengan Allah? Baginda shallallahu ’alayhi wa sallam menjawab : ”Hendaklah engkau mati dalam keadaan lidahmu basah dengan mengingati Allah.” (Diriwayatkan oleh Ibn Hibban)

      Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam juga ada berkata : ”Aku perintahkan kamu supaya mengingati Allah Ta’ala, sesungguhnya perumpaan itu adalah seperti seorang lelaki yang dijejaki musuh dengan cepat, kemudian dia sampai ke sebuah kubu, lalu dia melindungi dirinya daripada musuh tersebut, maka begitu jugalah seorang hamba, dia tidak akan dapat melindungi dirinya daripada syaitan kecuali dengan mengingati Allah.” (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi; Beliau berkata : Hadis hasan sahih gharib). Ibn al-Qayyim rahimahullah mengatakan jika tiada satu hadis pun yang menyebut kelebihan berzikir melainkan hadis ini, maka ia sudah mencukupi untuk membuatkan seseorang itu mesti melazimi zikir. Ternyata hadis ini memang benar, sesungguhnya syaitan itu sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan manusia. Hati kita ini jika tidak diisi dengan mengingati Allah, maka syaitan akan mengambil alih dan menguasai kita. Tetapi jika sentiasa mengingati Allah, maka ia ’mengecil’ dan ’menguncup’. Oleh itu, syaitan ini dinamakan sebagai ’al-waswaas al-khannas’ iaitu ia mendatangkan waswas dalam hati manusia  dan apabila manusia itu mengingati Allah maka ia akan ’tenggelam’.

 JANGAN PERNAH TINGGALKAN ZIKIR!

      Latihlah lidah dan hati kita supaya sentiasa menyebut dan mengingati Allah, bukan sahaja pada waktu pagi dan petang, atau tempat-tempat yang dikhususkan zikir sahaja, tetapi ingatlah Dia dalam apa jua keadaan kita samada sedang menunggu bas, sedang berdiri, sedang berjalan ke kelas, sedang berbaring, sedang memasak, sedang membuai anak, sedang menidurkan anak, sedang menyidai kain, atau apa jua pekerjaan kita, ingatlah Dia dan sebutlah zikir-zikir yang diajarkan Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam seperti ’La ilaha illallah’, ’Subhanallahi wa bihamdihi’, ’La hawla wa la quwwata illa billah’, ’Alhamdulillah’, ’Subhanallah walhamdulillah wa la ilaha illah wallahu akkbar’, istighfar dan sebagainya; kerana hanya dengan mengingati Dia sahajalah hati akan menjadi tenang dan kita akan bebas dari tekanan dunia. Sebutlah dengan lidah dan hati yang sedar dan faham akan maknanya. Sebutlah dan sebutlah.. ia amat ringan dan anda tidak memerlukan walau sedikit tenaga dan keringat pun untuk menyebutnya. Sebutlah, walau ia ringan di mulut tapi ia amat berat di timbangan. Maka amalan apakah yang lebih baik untuk kita lazimi dari zikir ini? Lihatlah contoh terbaik kita, Nabi Muhammad shallallahu ’alayhi wa sallam, sedangkan duduk-duduk dalam satu majlis juga Baginda shallallahu ’alayhi wa sallam membaca sebanyak 100 kali : ’ رب اغفر لي وتب علي إنك أنت التواب الرحيم’   , maksudnya : ‘Wahai Tuhan, ampunkanlah dosaku dan terimalah taubatku sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.’ (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi; beliau berkata : Hadis hasan sahih gharib)

      Zikir itu adalah tanda syukur. Dalam banyak tempat zikir dan syukur ini digandingkan. Antaranya firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud : ’ Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).’. Begitu juga dengan satu doa yang diajarkan Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam kepada Mu’az bin Jabal : اللهم أعني على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك’, yang bermaksud : ‘Wahai Tuhanku, bantulah aku untuk mengingatiMu, mensyukuriMu dan beribadat kepadaMu dengan baik’. (Diriwayatkan oleh Abu Daud, Ahmad, al-Nasaie dan al-Hakim; al-Hakim berkata : Sahih atas syarat al-Bukhari dan Muslim tetapi mereka tidak mengeluarkannya, dan dipersetujui oleh al-Zahabi). Pernahkah anda mendengar sebuah hadis yang bermaksud : ’Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu, peliharalah Allah dan kamu akan dapati Dia di hadapanmu, kenalilah Allah pada waktu senang, nescaya dia Dia akan mengenalimu pada waktu kamu susah..’ (Diriwayatkan oleh Ahmad; Syu’aib al-Arna’uth berkata : Sahih). Maka perbanyakkanlah mengingati Allah di waktu kita senang dan perbanyakkanlah juga amal soleh yang lain serta jangan biarkan jiwa kita jauh dari mengingatiNya kerana inilah tanda syukur kita di atas kesejahteraan yang Dia kurniakan.

      Janganlah kita mengikut jejak langkah munafik, mereka ini sangat sedikit mengingati Allah seperti yang disebut dalam surah al-Nisa’ ayat 142 yang bermaksud : ’… dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).’ Berzikirlah sehingga kita merasakan tidak lengkap hari kita tanpanya. Berzikirlah sehingga kita rasa janggal kerana meninggalkannya. Berzikirlah supaya syaitan menjauh dari kita. Berzikirlah kerana itu rahsia mukmin yang berjaya.

     Kami memohon kepada Allah agar menjadikan kami ini dari kalangan mereka yang sangat banyak mengingatiNya dan semoga ia menjadi amalan yang dapat menyelamatkan kita dari azab api neraka.

Advertisements

Read Full Post »

Doa Istikharah

Kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: “Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini:

اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ – يُسَمِّيهِ بِعَيْنِهِ الَّذِى يُرِيدُ – خَيْرٌ لِى فِى دِينِى وَمَعَاشِى وَمَعَادِى وَعَاقِبَةِ أَمْرِى فَاقْدُرْهُ لِى وَيَسِّرْهُ لِى وَبَارِكْ لِى فِيهِ اللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُهُ شَرًّا لِى مِثْلَ الأَوَّلِ فَاصْرِفْنِى عَنْهُ وَاصْرِفْهُ عَنِّى وَاقْدُرْ لِىَ الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ رَضِّنِى بِهِ

“Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya”.

(sebutkan urusan yang dimaksudkan di tempat yang bertitik).

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’ie dan Ibn Majah oleh Sahabat Abdullah bin Jabir radhiyallahu ‘anhu.
Terjemahan doa ini diambil daripada :
http://doaharian.blogspot.com/2007/04/doa-solat-istikharah.html

 

Read Full Post »

Assalamu’alaykum wa rahmatullah..

Dah lama saya tak update blog. Sibuk buat kek barangkali :) Idea tu ada, cuma perlu curi masa untuk kumpul bahan2. Kerjaya sebagai suri rumah, tidak pernah ada waktu rehat melainkan tidur malam, itu pun rasa mcm sekejap je. Tapi alhamdulillah, semuanya adalah dengan taufiq dariNya, setakat ini saya masih mampu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Setiap hari saya hanya berharap Allah dan suami redha pada saya. Setiap hari juga saya bersyukur kepada Allah atas kurniaNya yang tidak dapat saya hitung, bukankah Allah ada menyebut bahawa jika kita bersyukur maka Dia akan tambahkan lagi nikmat ke atas kita? Semoga Allah menjadikan kita dan menetapkan kita dalam kalangan orang-orang yang bersyukur.

Read Full Post »