Feeds:
Posts
Comments

Archive for October, 2010

Jangan Putus Asa!

Assalamu’alaykum..

Sudah hampir 2 bulan saya tidak menulis apa-apa di blog ini. Berhenti menulis di bulan Ramadhan membuatkan saya agak lambat untuk mula menulis semula. Semoga Allah memberikan saya taufiqNya dan mengampunkan dosa saya.

Alhamdulillah, hari ini saya membaca kitab Majmu’ al-Fataawa oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah rahimahullah, dan seperti biasa, saya selalu mendapati butir-butir mutiara di dalam hasil penulisan beliau. Buah fikirannya sering mendatangkan faedah yang besar untuk mereka yang membacanya, dan sudah tentu faedah untuk agama dan iman. Semoga Allah merahmati beliau dengan rahmat yang luas dan menempatkan beliau di Syurga serta memberikan beliau ganjaran yang besar atas sumbangan dan jasanya kepada umat Islam hingga ke hari ini.

Saya tertarik dengan satu hadis yang beliau syarahkan. Hadis ini sering saja kita dengar dan ulang-ulang. Dalam Sahih Muslim, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda : “Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Kedua-duanya adalah baik. Bersungguh-sungguhlah menuntut perkara yang bermanfaat bagimu dan mohonlah pertolongan daripada Allah serta janganlah berasa lemah. Jika sesuatu menimpamu, janganlah berkata : ‘Kalau aku buat begini, pasti akan begini dan begini..’, tetapi katakanlah : Qaddarallahu ma sya’a fa’ala (Allah telahpun menetapkannya dan Dia perbuat apa yang Dia kehendaki). Sesungguhnya perkataan ‘kalau’ itu membuka kerja syaitan’.

Dalam hadis ini, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam menyuruh kita supaya bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada kita, memohon pertolongan daripada Allah serta melarang kita daripada merasa lemah, malas dan berputus asa. Tetapi apakah dia perkara yang bermanfaat itu? Ia bukanlah semata-mata apa yang kita fikirkan bermanfaat akan tetapi perkara yang paling bermanfaat pada seorang mukmin itu adalah setiap bentuk ketaatan kepada Allah dan RasulNya. Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam melarang kita daripada bersikap lemah dan putus asa kerana ia adalah satu perkara yang merugikan, bersikap tidak mengambil berat terhadap diri sendiri dan membinasakan. Seperti sabda Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam dalam satu hadis yang lain : “Orang yang bijak itu ialah orang yang sentiasa berusaha (supaya menjadi seorang yang taat dan patuh) dan beramal untuk apa yang akan berlaku selepas mati manakala orang yang malas (berusaha) pula ialah orang yang mengikut hawa nafsunya dan berharap agar Allah akan mengampunkannya dan memberi kebaikan kepadanya.” [Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Majah, al-Baihaqi, al-Tabarani dan al-Hakim. Al-Tirmizi berkata hadis ini hasan. Al-Hakim : Hadis ini sahih atas syarat al-Bukhari tetapi al-Zahabi mengatakan bahawa hadis ini bukan atas syarat al-Bukhari, dan Abu Bakar (salah seorang perawi hadis) adalah waahiin]

Ibn Taimiyah mengatakan bahawa setiap urusan itu terbahagi kepada 2, pertama; urusan yang ada jalan keluar. Kedua; urusan yang tiada jalan keluar. Jika suatu perkara itu ada jalan keluar, maka janganlah berputus asa dan berusahalah mencari sesuatu yang baik. Dan jika ia tiada jalan keluar, maka bersabarlah dan jangan hilang kawalan.

Rujukan : Majmu’ al-Fataawa, jil. 10, ms. 288.

Advertisements

Read Full Post »