Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, amma ba’d..
Saya terfikir untuk menulis tajuk ini apabila saya membelek-belek Majmu’ al-Fataawa oleh Ibn Taimiyah rahimahullah. Saya terpandang sebuah soalan yang diajukan kepada beliau mengenai dosa dan dosa besar menurut al-Quran dan Sunnah, adakah ia mempunyai limitation yang tertentu untuk kita mengenalinya? Sebelum ini, kita biasa mendengar bahawa dosa itu terbahagi kepada dua iaitu dosa besar dan dosa kecil. Tetapi setelah terbaca soalan ini baru saya tersedar, saya tidak tahu apa sebenarnya limitationnya untuk kita mengatakan sesuatu itu dosa besar atau tidak. Akibatnya, banyak dosa besar kita anggap kecil kerana kejahilan kita dan betapa kita tidak mengambil berat dengan masalah dosa dan pahala. Ini juga antara sebab mengapa tersebarluasnya dosa di merata tempat. Kerana apa? Kerana JAHIL! Ya, inilah penyakit yang melanda umat di zaman ini, zaman sains dan teknologi, zaman di mana manusia berlumba-lumba mengejar degree, MA dan PhD, PhD, PhD dan Phd.
Apabila Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam menyebut : “Jauhilah daripada 7 dosa yang membinasakan : Mensyirikkan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan haq, mengambil riba, mengambil harta anak yatim, melarikan diri dari medan perang dan menuduh perempuan baik berzina.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan al-Nasa’ie oleh Sahabat Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu). Adakah dosa besar hanya terbatas kepada tujuh perkara ini sahaja? Atau yang biasa kita dengar seperti zina dan minum arak?
Dan kita begitu senang hati sekali apabila mendengar sabda Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam : “Solat 5 waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan, menghapuskan dosa (yang ada) di antara keduanya selagi mana dosa besar dijauhi.” (Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, al-Tirmizi dan al-Nasa’ie). Kita merasakan hanya dengan solat, Jumaat dan berpuasa Ramadhan saja semua dosa kita boleh terhapus, sedangkan mungkin dalam tidak sedar kita ada melakukan dosa besar tanpa kita ketahui. Ibn al-Qayyim rahimahullah menyatakan bahawa perkara-perkara yang disebut dalam hadis di atas boleh menghapuskan dosa kecil HANYA JIKA dosa besar ditinggalkan [Lihat : al-Daa’ wa al-Dawaa’, ms. 29]. Manakala al-Imam al-Nawawi rahimahullah pula menjelaskan bahawa dalam tempoh antara 2 solat, 2 Jumaat dan 2 Ramadhan ini jika amalan-amalan ini bertembung dengan dosa kecil, ia akan menghapuskannya, jika ia tidak bertemu dengan dosa kecil mahupun besar, akan ditulis kebaikan baginya dan dinaikkan darjatnya. Jika tidak bertemu dengan dosa kecil dan hanya dosa besar, maka DIHARAPKAN ia dapat meringankan sedikit dosa tersebut. Ini kerana dosa besar tidak terhapus melainkan dengan TAUBAT yang benar [Lihat : al-Minhaj, 3/313]
Menurut Ibn al-Qayyim lagi, amalan penghapus dosa ini pula (solat, Jumaat dan Ramadhan) mempunyai 3 tingkatan :
1- Ia tidak mampu menghapuskan dosa kecil kerana kelemahan dan kekurangan dalam amalan tersebut (tidak ikhlas, tidak menunaikannya dengan sempurna dll). Ia umpama ubat yang tidak kuat (disebabkan kuantiti atau kualiti) tidak mampu melawan penyakit.
2- Ia sama kuat dengan dosa kecil. Jadi ia menghapuskan dosa kecil dan tidak dosa besar.
3- Ia lebih kuat dari dosa kecil lantas menghapuskannya dan diharap ia dapat menghapuskan sebahagian dosa besar.
Apa itu dosa besar?
Para ulama’ berselisih pendapat dalam menentukan had bagi dosa besar. Ada sesetengah ulama’ yang tidak membezakan antara dosa besar dan dosa kecil kerana mereka memandang bahawa semua maksiat kepada Allah itu adalah besar dan tidak sepatutnya dikatakan kecil. Cumanya satu dosa itu boleh jadi lebih besar dari satu dosa yang lain. Al-Imam al-Qurtubi rahimahullah telah menulis sebuah kitab mengenai dosa-dosa besar iaitu al-Kabaa-ir dan beliau mendefinisikan dosa besar itu sebagai setiap apa yang dilarang oleh Allah dan RasulNya dalam al-Quran dan Sunnah serta athar daripada Salafussoleh (Sahabat, tabi’in dan tabi’ at-tabi’in) [Lihat : al-Kabaa-ir, ms. 7].
Manakala Ibn al-Salah rahimahullah mentakrifkan dosa besar sebagai setiap dosa yang besar dan tidak dipandang ringan dan ia mempunyai beberapa petanda [Lihat : al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabaa-ir, Ibn Hajar al-Haithami, 1/18] :
- Dosa yang dikenakan hukuman hudud (minum arak, mencuri, zina dll.)
- Perbuatan yang dijanjikan azab dan neraka dalam al-Quran dan Sunnah. Contoh : Memalsukan hadis seperti sabda Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam : “Siapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di neraka.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)
- Pelaku perbuatan tersebut disifatkan sebagai fasiq. Contoh, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda : “Menghina orang Islam itu adalah kefasikan dan membunuhnya adalah kufur.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)
- Perbuatan tersebut mendapat laknat. Contoh, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Allah melaknat mereka yang menyembelih untuk selain Allah.” (Diriwayatkan oleh Muslim)
Ibn Taimiyah rahimahullah menambah lagi beberapa point [Lihat : Majmu’ al-Fataawa, 11/355] :
- Dosa yang pelakunya dijanjikan tidak dapat masuk syurga. Contoh, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silatur-rahim.” (Diriwayatkan oleh Muslim)
- Dosa yang pelakunya dijanjikan tidak dapat mencium bau syurga. Contoh : Hadis wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna, berpakaian tetapi bertelanjang (Riwayat Muslim)
- Disebut dalam hadis : Siapa yang melakukan sekian sekian, maka dia bukan daripada golongan kami. Contoh : Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Siapa yang menipu, maka dia bukanlah dari kalangan kami.” (Diriwayatkan oleh Muslim)
- Perbuatan yang dinafikan iman padanya. Contoh : hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam : “Tidak beriman seseorang itu ketika dia berzina, tidak beriman seseorang itu ketika dia mencuri, tidak beriman seseorang itu ketika dia minum arak…” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
Bagaimana menjauhi dosa?
Sebelum artikel ini menjadi lebih panjang lagi, apakah langkah awal untuk menjauhi dosa? Sudah tentulah dengan ilmu. Ilmu al-Quran dan Sunnah. Hanya ilmu saja yang mampu membezakan antara yang baik dan buruk di sisi Allah dan RasulNya. Dahulu, ketika saya membaca hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam yang berbunyi : “Siapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan jalannnya untuk ke syurga…” (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi. Beliau berkata : Hadis ini hasan), saya tidak pernah terfikir apa-apa, yang saya faham siapa menuntut ilmu akan dimudahkan jalan ke syurga. FULL STOP. Tetapi Syeikh Ibn al-‘Uthaimin rahimahullah menjelaskan bahawa ilmu yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ilmu agama dan dalam apa jua ayat al-Quran dan hadis yang menyebut ILMU ia membawa maksud ilmu agama. Dan mereka ini dimudahkan jalan ke syurga kerana dengan ilmulah mereka mengenal halal dan haram, dosa dan pahala, apa yang wajib dikerjakan, apa yang wajib ditinggalkan, apa yang sunnah dan apa yang makruh. Apa yang haram mereka jauhi dan apa yang halal mereka tahu mereka boleh lakukan tanpa rasa was-was dan takut. Apa yang wajib, mereka kerjakan, apa yang mesti ditinggalkan, mereka tinggalkan [Lihat : Kitab al-‘Ilm]. Bukankah seorang mukmin yang tulus itu ialah yang mengerjakan apa yang wajib dan meninggalkan apa yang dilarang?
Oleh itu saya menyeru kawan-kawan untuk mempelajari ilmu al-Quran dan Sunnah yang sahih, tidak kira bidang apa yang anda ceburi, setiap seorang daripada kita mempunyai bahagian dalam ilmu agama. Ada benda yang mesti dipelajari oleh setiap Muslim dan ada benda yang hanya para ulama’ yang membincangkannya. Maka kita jalankanlah tanggungjawab kita untuk menuntut ilmu. Kita diciptakan untuk beribadah kepada Allah, dan cara untuk beribadah inilah yang perlu kita pelajari. Ibadah bukan setakat solat, puasa, zakat, haji, membaca al-Quran tetapi setiap langkah dan perbuatan kita mesti selari dengan kehendak Pencipta dan bukan kehendak kita.
Insha Allah, semoga menyusul lagi artikel mengenai dosa besar yang dipandang kecil oleh kebanyakan umat Islam.
Assalaamu’alaykum wa Rahmtullah..
Ili,
Boleh jelaskan tak tentang dosa kecil..? Adakah kesalahan yg kita lakukan merupakan dosa kecil?
Tak dapat faham sangat tentang dosa kecil ni..
Wa’alaykumussalam wa rahmatullah wa barakatuh..
Cuba Kak Izaah senaraikan contoh-contoh kesalahan yang terlintas di fikiran Kak Izzah?
1. Tak bersungguh-sungguh buat keje sekolah
2. Guna air utk mencuci dgn berlebihan
3. Bermalas-malasan
Kak Izzah, saya tak dapat nak komen dulu buat masa ni. Insya Allah kemudian kita akan cuba bincang lebih lanjut ya.
Ok2.. take your time..
:)
salam ili…kak izzah (a.k.a kak salma..=D)
tambahan list untuk soalan kak izzah,
– selalu dgr radio, lagu-lagu yg lagha
– suka bersembang dan bergelak ketawa
[…] Jika diperhatikan dalam hadis ini, ancaman yang disebut adalah berupa janji tidak dimasukkan ke dalam syurga dan bukan setakat itu sahaja, malah tidak dapat mencium bau syurga. Seperti yang telah saya nyatakan dalam tulisan sebelum ini, antara petanda dosa besar itu adalah apabila disebut dalam ayat al-Quran atau hadis : ‘tidak masuk syurga’ dan ‘tidak dapat mencium bau syurga’. (Sila rujuk artikel ‘Bagaimana Mengenal Dosa Besar’?) […]
Assalamu’alaykum kak Mardziah.. Terima kasih sudi singgah dan tambah list Kak Izzah :)
Pendapat saya ialah kata la ia bukan dosa besar dan hanya dosa kecil tapi itu tak bermakna semuanya berada pada satu darjat yang sama. Satu dosa kecil tu mungkin lebih besar dari satu dosa kecil yang lain dan begitulah seterusnya. Allahu’alam.
As’salamualaikum saudari. Izinkan sy share. Terima kasih. JazaakALLAHu Khairan .
wa’alaykumussalam wa rahmatullah.. silakan ahlan wa sahlan.
Assalamualailum… artikel ni dah lama post. Cuma saya je yg baru bace.. mungkin hadis di bawah cukup jelas utk memudahkan kefahaman kita.. insyaallah.
Dari An-Nawwas bin Sim’an r.a, dari Nabi SAW yang bersabda : ” Kebajikan itu adalah budi pekerti yang baik. Dan dosa pula adalah apa yang tersimpul di dalam diri engkau dan engkau benci bahawa ia diketahui manusia mengenainya.
~ Riwayat Muslim
Dari Abi Wabishah bin Ma’bad r.a : ” Bahawa aku datang kepada Rasulullah SAW lalu banginda bertanya : ‘ Engkau datang bertanyakan erti kebajikan ? ‘ Aku menjawab : ‘ Ya ‘. Sabda Rasulullah SAW lagi : ‘ Tanyalah hati engkau. ‘ Kebajikan itu ialah apa yang mententeramkan diri engkau kepadanya serta mententeramkan hati. Manakala dosa pula ialah apa yang mengganggu jiwa dan meragui dalam dada, walaupun orang ramai telah memberikan engkau fatwa dan terus menfatwakan sesuatu.’ ”