Feeds:
Posts
Comments

Archive for July, 2010

Apa itu ‘Petunjuk’?

Kita biasa mendengar bahawa petunjuk itu ialah hidayah yang Allah berikan kepada hambaNya yang ingin bertaubat dan ini adalah petunjuk yang bermanfaat. Pun begitu, sebenarnya setiap gerak-geri makhluk ini tidak lepas daripada petunjuk Allah. Petunjuk itu terbahagi kepada 4 bahagian, dan jika diperhatikan setiap ayat yang digunakan  sebagai dalil bagi setiap bahagian ini adalah menggunakan perkataan ‘huuda’ ;

 1-     Petunjuk yang diberikan oleh Allah untuk makhlukNya mendapat kebaikan dan manfaat dunia. Ini termasuklah petunjuk kepada manusia dan haiwan, baik mukmin mahupun kafir. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud : “Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya).” (al-A’laa : 3). Dan lagi Allah ada menyebut maksudnya : “Nabi Musa menjawab: “Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya.” (Taahaa : 50)

 2-     Petunjuk juga membawa maksud seruan Allah kepada makhlukNya untuk mendapatkan apa yang bermanfaat bagi mereka dan Dia memerintahkan perkara ini. Inilah tujuan para Rasul diutuskan dan Kitab diturunkan; untuk menyeru manusia kepada apa yang bermanafaat bagi mereka. Petunjuk ini termasuklah kepada mereka yang beriman mahupun kafir. Seperti firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang Rasul pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), dan tiap-tiap umat (yang telah lalu) ada Nabinya yang memimpin ke jalan yang benar.” (al-Ra’d : 7). Begitu juga apa yang difirmankan oleh Allah, maksudnya : “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus.” (al-Syuura : 52). Seruan para Rasul ini adalah petunjuk Allah yang berupa perintahNya, laranganNya, penjelasan dan pengajaran. Tugas menyampaikan petunjuk ini adalah tugas para Rasul.

 3-     Petunjuk yang diberikan oleh Allah kepada hati manusia. Ada yang menyebut ia sebagai menjadikan kemampuan kepada seseorang untuk beriman dan ada juga yang menyebut ia sebagai menjadikan kemampuan untuk melaksanakan ketaatan. Petunjuk jenis ini tidak dapat dilakukan oleh sesiapa pun kecuali Allah. Maksud firmanNya : “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya)..” (al-Qasas : 56)

 4-     Petunjuk di akhirat; petunjuk di akhirat ini merupakan balasan bagi perihal mereka di dunia yang mengikut petunjuk Allah dan balasan mereka yang mengikut kesesatan. Bagi yang beriman dan beramal soleh mereka akan diunjukkan ke syurga dan yang kufur pula akan ke neraka. Ini disebut dalam ayat Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera. Dan mereka diberi petunjuk kepada mengucapkan kata-kata yang baik, serta diberi petunjuk ke jalan Allah Yang Amat Terpuji.” (al-Hajj : 23-24). Begitu juga dengan maksud ayat Allah : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka dengan sebab iman mereka yang sempurna itu. (Mereka masuk ke taman yang) sungai-sungainya mengalir di bawah tempat kediaman mereka di dalam Syurga yang penuh nikmat.” (Yunus : 9). Bagi yang kufur pula, mereka akan ditunjukkan jalan ke neraka, maksud firman Allah : “(Allah berfirman kepada malaikat):” Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah – Yang lain dari Allah serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke neraka.” (as-Shaafaat : 22-23)

 Rujukan : Penjelasan hadis qudsi ‘Sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman ke atasKu…’ oleh Ibn Taimiyah rahimahullah.

Read Full Post »

Mama, Ibu..

Beberapa hari ini saya agak sibuk menghabiskan masa bersama keluarga suami. Pada hari Ahad lepas kakak ipar saya telah selamat melahirkan seorang anak lelaki di Hospital Serdang. Alhamdulillah. Saya teringat ketika saya melahirkan Abdullah di hospital yang sama. Pengalaman yang menyakitkan tetapi sangat manis dan berharga. Saya tidak pasti jika saya dapat merasainya lagi. Segala puji bagi Allah atas apa jua keadaan.

Saya bersyukur kepada Allah kerana dikurniakan seorang anak. Anak.. ya, ia satu anugerah yang istimewa. Dan ia juga satu ujian dan tarbiyah dari Allah. Allah ingin menguji adakah saya bersyukur atas nikmatNya. Ia juga mendidik saya kerana saya melihat pengalaman mengandungkan, melahirkan dan mendidik anak adalah sebagai satu tarbiyah dari Allah untuk saya lebih menghargai dan menyayangi mama saya. Setelah bergelar ibu, baru saya tahu betapa susahnya mama membesarkan saya dan kakak apatah lagi tanpa ayah di sisi sejak umur saya 4 tahun.

Ketika kandungan saya mencecah 8 bulan, badan semakin berat. Saban hari saya menangis memikirkan beginilah susahnya mama mengandungkan saya. Betapa banyaknya dosa saya kepada dia! Ke sana ke mari saya menjaja nasihat kepada kawan-kawan dan adik-adik supaya jangan sekali-kali menderhaka kepada ibubapa, lebih-lebih lagi kepada ibu.

Untuk mama..

Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Bagi penjaga anak yatim itu (samada keluarganya atau orang asing), aku dan dia seperti dua ini di syurga.” Perawi hadis iaitu Malik bin Anas mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

‘Aisyah radhiyallahu ‘anha  berkata : Seorang wanita bersama 2 orang anak perempuan datang meminta kepadaku, aku tidak mempunyai apa-apa melainkan sebiji tamar. Lalu aku berikan kepadanya dan dia membahagikan tamar itu kepada dua dan memberikannya kepada kedua anak perempuannya sedangkan dia tidak makan apa-apa. Kemudian dia berlalu pergi. Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam datang dan aku memberitahu Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam mengenai peristiwa tadi, lalu Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka ini akan menjadi pelindung baginya daripada api neraka.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Ya Allah, ampunkanlah dosa mama dan rahmatilah dia serta masukkanlah dia ke dalam syurga bersama-sama para Nabi, syuhada’ dan orang-orang soleh.

Read Full Post »

Ditulis oleh : Ummu Abdillah

Insha Allah, dalam tulisan ini saya akan cuba membawakan beberapa kesalahan yang tidak diketahui atau tidak disedari masyarakat bahawa ianya adalah dosa besar.

Meninggalkan solat dengan sengaja

Perbahasan mengenai solat dan hukum meninggalkannya ini sepatutnya boleh dibuat entri khas kerana panjangnya perbincangan mengenainya. Bahkan al-Imam Ibn al-Qayyim rahimahullah menulis satu kitab khas berkenaan dengan ini.

Gejala meninggalkan solat ini terbahagi kepada 2; ada kelompok yang meninggalkannya terus. Dan ada juga yang meninggalkan solat dengan sengaja kerana urusan-urusan yang tertentu, lalu mereka mengatakan, ‘Takpe, nanti aku qadha’ la, bukan aku tinggal terus.’ Ada juga sibuk sangat satu hari, tak tahulah apa yang disibukkannya, mereka ini mengqadha’ solat 5 waktu straight pada waktu malam sebelum tidur. Kelompok yang kedua ini merupakan gejala meninggalkan solat dengan tidak mengerjakannya pada waktunya yang telah ditetapkan. (more…)

Read Full Post »

Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Siapa yang membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat fardu, maka tidak ada yang dapat menghalangnya masuk Syurga melainkan dia mati.”

Takhrij hadis :

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Nasa’ie dalam al-Kubra, Ibn Hibban, al-Rawayaani, al-Daruquthni dalam al-Afrad, al-Dhiya’ dan al-Tabarani dalam al-Awsath oleh Sahabat Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu. Al-Haithami berkata : ‘Al-Tabarani meriwayatkan hadis ini dalam al-Kabir dan al-Awsath dengan perlbagai jalan, salah satu daripadanya adalah sanad yang baik.’

Penjelasan hadis :

Hadis ini menunjukkan kelebihan membaca ayat al-Kursi selepas solat. Siapa yang membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat maka tidak ada apa yang dapat menghalangnya daripada masuk Syurga kecuali mati iaitu tidak ada syarat lain untuk dia masuk Syurga melainkan dia perlu menghadapi kematian. Perkara yang ada di antara seseorang itu dengan Syurga hanyalah maut,seolah-olah maut itu berkata ; ‘Kamu kena melepasi aku dahulu sebelum masuk Syurga.’ (Lihat : al-Taysir Bisyarh al-Jami’ al-Saghir, 2/844)

Read Full Post »

 

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, amma ba’d..

Saya terfikir untuk menulis tajuk ini apabila saya membelek-belek Majmu’ al-Fataawa oleh Ibn Taimiyah rahimahullah. Saya terpandang sebuah soalan yang diajukan kepada beliau mengenai dosa dan dosa besar menurut al-Quran dan Sunnah, adakah ia mempunyai limitation yang tertentu untuk kita mengenalinya? Sebelum ini, kita biasa mendengar bahawa dosa itu terbahagi kepada dua iaitu dosa besar dan dosa kecil. Tetapi setelah terbaca soalan ini baru saya tersedar, saya tidak tahu apa sebenarnya limitationnya untuk kita mengatakan sesuatu itu dosa besar atau tidak. Akibatnya, banyak dosa besar kita anggap kecil kerana kejahilan kita dan betapa kita tidak mengambil berat dengan masalah dosa dan pahala. Ini juga antara sebab mengapa tersebarluasnya dosa di merata tempat. Kerana apa? Kerana JAHIL! Ya, inilah penyakit yang melanda umat di zaman ini, zaman sains dan teknologi, zaman di mana manusia berlumba-lumba mengejar degree, MA dan PhD, PhD, PhD dan Phd. (more…)

Read Full Post »

Ekstrimkah saya bila saya mengatakan bahawa shopping complex dibenci oleh Allah? Adakah suka-suka saya menyebut demikian? Sekali-kali tidak. Kita sudah dewasa, punya akal untuk menganalisis mana baik dan mana buruk. Tapi akal yang lurus, bukan akal yang bengkok yang tunduk pada hawa nafsu. Apa yang baik itu bukanlah apa yang kita sangka baik. Dan yang buruk pula bukanlah apa yang kita definisikan sebagai buruk. Baik itu adalah apa yang Allah dan RasulNya kata baik dan yang buruk itu adalah apa yang Allah dan RasulNya kata buruk.

Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam menyebut : ‘”Tempat yang paling baik di sisi Allah adalah masjid dan tempat paling dimurkaiNya adalah pasar-pasar.” (Hadis Riwayat Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya’la dan al-Hakim. Al-Hakim berkata : Isnadnya sahih)

Di zaman Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam belum wujud lagi shopping complex seperti yang kita ada sekarang. Mungkin dahulu, hanya wujud jual beli. Oleh itu, jika dilihat syarah hadis oleh al-Munaawi di bawah, beliau menyebut pasar itu dibenci kerana banyaknya kelalaian, fitnah, penipuan, ketamakan dan sumpah palsu. Bayangkanlah, shopping complex yang ada di zaman ini, bukan sekadar penipuan, sumpah palsu dan ketamakan, malah lebih dari itu. Maksiat, mungkar, arak, pergaulan bebas, wanita tidak menutup aurat dan lain-lain.

Al-Munaawi menjelaskan hadis ini bahawa pasar itu merupakan tempat yang penuh dengan kelalaian, penipuan, ketamakan, khianat dan sumpah palsu. Dan kebanyakan mereka yang suka ke pasar-pasar ini terdiri daripada syaitan dari kalangan manusia dan jin. Ini hanya akan membuatkan seseorang bertambah jauh dari Allah dan orang-orang yang dikasihiNya serta mendekatkan seseorang itu dengan syaitan dan pasukannya; kecuali orang-orang yang mencari rezeki yang halal untuk menjaga maruah dan agamanya.

Adapun pasar ini disebut sebagai tempat yang dibenci adalah kerana maksiat yang dilakukan oleh kebanyakan mereka yang berada di dalamnya dan hati mereka ini sering lalai dan seluruh jiwa raga mereka hanya bertumpu kepada apa yang ada dalam pasar tersebut.

Pasar adalah satu tempat untuk mecari rezeki dan kurnia Allah dan ia juga satu daerah di mana Allah menjadikan ia tempat untuk bertukar-tukar hak milik (iaitu ada yang menjual dan ada yang membeli). Tetapi apabila ahli dunia memasukinya, hati mereka terus terpaut dan lalai serta berlakunya banyak fitnah. Maka jadilah pasar itu tempat yang dibenci Allah. Jika tidak kerana perkara ini, pasar itu adalah satu rahmat  dari Allah kerana Dia telah menjadikannya satu tempat untuk manusia itu mencari rezeki untuk terus hidup dan manusia lain pula dapat mencari keperluan hidup mereka.

Sesungguhnya manusia yang lalai telah mencemarkan tempat yang asalnya adalah rahmat dan nikmat oleh Allah dengan melakukan banyak maksiat dan mungkar. Adapun mereka yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, apabila mereka memasuki pasar, hati mereka sentiasa mengingati Allah dan terselamat dari fitnah. Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam jugamemasuki pasar, menjual dan membeli. [Lihat : Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/221]

Teks di atas saya ringkaskan dan olah sedikit bahasanya dari penjelasan al-Imam al-Munaawi.

Oleh itu, pengajaran yang saya dapat dari hadis di atas dan penjelasannya ialah pergi ke shopping complex dan pasar hanya jika perlu sahaja dan elakkan daripada menghabiskan masa berjam-jam di sana tanpa ada hajat. Allahu’alam. Semoga bermanfaat.

Read Full Post »

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Begitu jugalah dengan Kitabullah ini, mereka yang tidak kenal dan tidak memahami isinya serta tujuannya diturunkan tidak mungkin dapat merasakan kecintaan kepada al-Quran. Saya sentiasa merasakan sebab keruntuhan dan kemunduran umat Islam di zaman ini adalah kerana jauhnya mereka daripada al-Quran. Adakah kita mempunyai pilihan samada mahu hidup berpandukan al-Quran atau tidak, samada mahu mencintai al-Quran atau tidak? Anda sendiri tahu jawapannya.

Tatkala Allah menciptakan Adam ‘alayhis-salam dan menurunkannya ke bumi, manusia tidak dibiarkan meraba-raba kehilangan arah dan tidak tahu tujuan hidup. Lantas Allah mengutuskan para Rasul dan Nabi sebagai orang yang ditugaskan untuk memandu manusia. Untuk umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alayhi wa sallam, Allah telah menurunkan al-Quran sebagai manual kehidupan kita dalam perjalanan menuju ke alam yang kekal abadi. Maka kita tiada pilihan, jika mahu bahagia dan selamat sampai kepada Allah, kita mesti menjadikan al-Quran sebagai petunjuk kita. Dan inilah akibat jika berpaling daripada al-Quran, Allah menyebut dalam surah Taha ayat 124 yang bemaksud : “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari petunjukKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”, Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan”.

            Lihatlah tatkala Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam mengadu kepada Allah akan kaumnya yang meninggalkan al-Quran dalam ayat 30 surah al-Furqan yang bermaksud : “Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.” Al-Imam Ibn Kathir rahimahullah  menyebut  gejala meninggalkan al-Quran ini terdiri daripada beberapa bentuk [Lihat : Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azhim] ;

  • Ketika al-Quran dibacakan, dia bercakap-cakap mengenai perkara lain supaya tidak mendengar al-Quran. Inilah adalah contoh sikap orang-orang Musyrik terhadap dakwah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam.
  • Tidak mempelajari isi kandungan al-Quran serta tidak berusaha menghafaznya walaupun sedikit.
  • Tidak beriman dan tidak membenarkan isi kandungannya.
  • Tidak membaca al-Quran dengan tadabbur (membaca dengan pemahaman dan penghayatan).
  • Meninggalkan perintah yang disebut dalam al-Quran dan melakukan perbuatan yang ditegahnya.
  • Melebihkan perkara lain daripada al-Quran; perkataan manusia, lagu, syair dan sebagainya.

Sama-sama kita perhatikan, adakah kita termasuk antara golongan yang disebutkan di atas? Antara salah satu cara untuk mengelakkan kita daripada termasuk golongan yang disebutkan di atas adalah dengan menjadikan membaca al-Quran itu sebagai amalan harian yang mesti kita kerjakan. Luangkanlah sedikit masa untuk kita meneliti ayat-ayat Allah dan fahamilah ia supaya dapat dijadikan panduan. Seperti sabda Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam : “Sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah adalah yang dilakukan secara berterusan walaupun ianya sedikit.” [Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan al-Nasa’ie; dinilai sahih oleh al-Arna-uth]

Oleh itu, saya menyeru kepada kawan-kawan di luar sana agar banyakkan membaca al-Quran dan jangan sekali-kali meninggalkan membaca al-Quran. Yang paling penting, ia mesti dibaca dengan pemahaman agar kita mendapat faedahnya iaitu menjadikan kita hamba Allah yang kenal Penciptanya dan menjadi Muslim yang ‘celik agama’ dan bukan sekadar Muslim pada nama sahaja. Antara tujuan al-Quran diturunkan adalah untuk diteliti isi kandungannya seperti maksud firman Allah : “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Shad : 29)

Semoga Allah menjadikan kita di kalangan ahli al-Quran.

Read Full Post »