Feeds:
Posts
Comments

Archive for June, 2010

Untuk Wanita Yang Haid

Saya biasa mendengar rintihan daripada sahabat-sahabat apabila mereka didatangi haid. Sedih, menangis, hati jadi kacau dan tidak tenang kerana tidak dapat solat. Apabila rasa diri jauh dari Allah, maka secara automatik spiritual akan jadi down. Ini petanda yang baik insha Allah, kerana mereka ini mencintai solat dan mahu bermunajat kepada Tuhannya. Tetapi ada pula sekelompok yang lain, gembiranya bukan main lagi bila datang period, kerana tidak perlu susah-susah bersolat. Ini adalah antara tanda mereka ditimpa musibah pada agama mereka yang mana ia merupakan musibah yang terbesar pada diri seseorang. Rasa gembira kerana tidak perlu menunaikan ibadah paling utama dan rasa malas untuk beribadah, seolah-olah solat itu tidak memberi kesan kepadanya samada dia mengerjakannya atau tidak. Na’uzubillah min zalik.

Tulisan ini adalah untuk mencari penyelesaian buat kelompok yang pertama tadi. Parah juga jika dibiarkan spiritual kita down selama berhari-hari.. (more…)

Advertisements

Read Full Post »

Luh Mahfuz

Saya ditanya :

  1. Apa itu Luh Mahfuz?
  2. Apakah ada ayat al-Quran dan Sunnah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam yang menyebut mengenai Luh Mahfuz?
  3. Adakah al-Quran yang diturunkan di bumi sama dengan al-Quran yang berada di Luh Mahfuz seperti dalam ayat terakhir surah al-Buruj?
  4. Bagaimana pula dengan perkataan ‘Kitab’ yang disebut dalam surah al-Hajj ayat 70?

Jawapan :

  1. Luh Mahfuz ialah tempat catatan yang ditulis padanya ketetapan sekalian makhluk sehinggalah berlakunya hari kiamat nanti. [Lihat : Syarh al-Aqidah al-Thahawiyah, Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi, hlm. 263]
  2. Luh Mahfuz disebut juga dalam al-Quran sebagai ‘Kitab’. Antaranya ialah surah al-An’aam ayat 38, surah al-A’raaf ayat 37, surah al-Anfaal ayat 68, surah Yunus ayat 61, surah Huud ayat 6 dan banyak lagi. Ia juga disebut sebagai ‘Umm al-Kitab’ seperti dalam ayat 39 surah al-Ra’d dan ayat 4 surah al-Zukhruf. Perkataan ‘Lauh Mahfuz’ pula disebut dalam surah al-Buruuj ayat 22. Kesemua perkataan ‘Kitab’, ‘Umm al-Kitab’ dan ‘Lauh Mahfuz’ ini membawa maksud yang sama. Ayat-ayat yang disenaraikan di atas menyatakan bahawa setiap ketetapan makhluk telah dicatatkan di Luh Mahfuz baik dari sekecil-kecil zarah mahupun yang sebesar-besarnya. [Lihat : Tafsir al-Baghawi untuk kesemua tafsir ayat-ayat di atas]. Manakala hadis pula, ini adalah setakat pencarian saya saja. Ada diriwayatkan satu athar mengenai Luh Mahfuz daripada Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma : “Sesungguhnya Allah telah menciptakan Luh Mahfuz  daripada mutiara yang putih, helaiannya daripada delima yang merah, penanya dari cahaya, kitabnya dari cahaya, bagi Allah 360 detik padanya, lebarnya adalah di antara langit dan bumi, Allah melihatnya sebanyak 360 pandangan setiap hari, Dia menciptakan, memberi rezeki, mematikan, menghidupkan, memuliakan, menghinakan dan Dia perbuat apa yang Dia kehendaki.” [Diriwayatkan oleh al-Tabarani, al-Hakim dan ad-Dhiya’ al-Maqdisi. Al-Hakim berkata : Isnadnya sahih tetapi al-Bukhari dan Muslim tidak mengeluarkannya. Al-Zahabi berkata dalam al-Talkhis : Nama Abu Hamzah itu thabit tetapi dia waahin]. Dan ada lagi beberapa hadis yang menyebut mengenai Luh Mahfuz tetapi ia disebut sebagai ‘al-Zikr’ (riwayat al-Bukhari no. 3019) dan ‘al-Kitab’ (riwayat al-Bukhari no. 3022).
  3. Al-Quran yang diturunkan di bumi sama dengan yang berada di Luh Mahfuz. Beberapa ayat menunjukkan bahawa sebelum al-Quran diturunkan kepada Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam, ia telah tertulis di Luh Mahfuz; ayat 21-22 surah al-Buruuj, ayat 77-78 surah al-Waqi’ah, ayat 11-16 surah A’basa, ayat 4 surah al-Zukhruf. Dari Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma : ‘Al-Quran diturunkan sekali gus dari langit yang tertinggi ke langit dunia pada malam Lailatul Qadar, kemudian diturunkan berperingkat-peringkat setelah itu’. Lagi riwayat daripada Ibn ‘Abbas : ‘Al-Quran itu diturunkan sekali gus oleh Allah daripada Luh Mahfuz kepada malaikat di langit dunia…’ [Lihat : Tafsir Ibn Kathir untuk ayat 77-78 surah al-Waqi’ah]. Ibn al-Qayyim rahimahullah menyatakan dalam tafsir ayat 4 surah al-Zukhruf : ‘Dan al-Quran itu telah ditulis oleh Allah di Luh Mahfuz sebelum langit dan bumi tercipta seperti firman Allah yang bermaksud : “(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.” (al-Buruj : 21-22). Para sahabat, tabi’in dan semua Ahlis-Sunnah dan hadis telah bersepakat bahawa setiap perkara yang berlaku sehingga ke hari kiamat telah tertulis di Luh Mahfuz, dan ayat-ayat al-Quran telah membuktikan bahawa Allah telah mencatatkan apa yang Dia lakukan dan katakan di Luh Mahfuz. Dia telah menulis di Luh setiap perbuatanNya dan kalamNya, sesungguhnya ayat ‘Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!’ telah berada di Luh sebelum wujudnya Abu Lahab.’ [Lihat : Bada’i at-Tafsir, Ibn al-Qayyim, 4/131]
  4. Perkataan ‘Kitab’ dalam surah al-Hajj ayat 70 bermaksud Luh Mahfuz seperti yang telah dijelaskan sebelum ini dalam point 2.

 

Sekian, Allahu’alam.

Read Full Post »

Tiba-tiba terdatang soalan ni di fikiran saya, apa yang membuatkan hidup seseorang itu indah, bahagia, ceria, tersenyum sentiasa, urusannya baik-baik saja?

Well, I always believe that al-Quran and Sunnah always make life so good even if we are under great pressure. And it’s true. Sebab bila seseorang itu jauh dari al-Quran dan Sunnah, walaupun dia gelak sentiasa, kawan-kawannya keliling pinggang bergelak ketawa dan menghiburkan, poketnya berkepuk-kepuk banyak duit, namun hidupnya sempit sebenarnya.

Firman Allah yang bermaksud : “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (Taha : 124)

Oleh itu, wahai kawan-kawan, marilah mendekati al-Quran dan Sunnah. We can always start with DOA. Allah will surely open the path for you!

Read Full Post »

Berbuat baik kepada musuh..? Seolah-olahnya tidak masuk akal. Iya.. Memang tidak masuk akal untuk orang yang ‘tidak mempunyai bahagian yang besar’ seperti kita.

Lihat firman Allah ini yang bermaksud :

Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. [Fussilat : 34-35]

Syaikh al-Sa’di rahimahullah berkata dalam kitab tafsirnya ketika beliau mensyarahkan ayat ini :

Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan suatu bentuk ihsan yang khas, yang mana ia mempunyai satu bahagian yang besar iaitu berbuat kebaikan kepada orang yang melakukan kejahatan kepada kamu. Allah berfirman (maksudnya) : “Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik”, iaitu : Jika salah seorang makhluk Allah itu memperlakukan kamu dengan cara yang tidak elok, terutamanya mereka yang mempunyai hak yang besar ke atasmu seperti saudara-mara, sahabat-handai dan sebagainya, samada dengan perkataan atau perbuatan, maka hendaklah kamu balas ia dengan melakukan kebaikan kepada mereka. Jika mereka memutuskan perhubungan, maka kamu sambungkan ia, jika mereka menzalimi kami, kamu maafkan dia, dan jika mereka mengutuk dan mengumpatmu, maka janganlah kamu balas (dengan umpatan dan kata-kata yang tidak elok) bahkan kamu maafkan mereka dan pergaulilah mereka dengan kata-kata yang lemah lembut. Dan jika mereka memulaukan kamu, dan tidak bercakap denganmu, maka berkatalah dengan baik kepada mereka dan ucapkanlah salam. Jika kamu membalas kejahatan dengan kebaikan, sesungguhnya akan terhasil faedah yang besar. “Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

Dan tidaklah orang yang diberi petunjuk oleh Allah untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia ini kecuali mereka yang bersabar dan menahan diri mereka daripada perkara yang tidak sukainya, dan memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang disukai oleh Allah. Kerana secara tabiatnya jiwa itu suka untuk membalas kejahatan dengan kejahatan dan tidak memaafkan, inikan pula hendak membalas dengan kebaikan?!

Jika seseorang menyabarkan diri mereka, dan mengikut perintah Allah serta mengetahui betapa besarnya pahala dan tahu bahawa membalas kejahatan dengan kejahatan itu tidak memberi manfaat apa-apa pun kepadanya, bahkan ia akan menambahkan permusuhan dan membuat kebaikan kepada musuh itu tidak merendahkan martabatnya sedikit pun, bahkan siapa yang merendahkan diri kerana Allah maka Allah akan mengangkat darjatnya dan dimudahkan urusannya dan dia dapat melakukannya dengan mudah dan dengan rasa gembira.

Dan sifat ini juga tidak dapat diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar, kerana ia merupakan akhlak hamba-hamba Allah yang terpilih yang mana ia akan mendapat ketinggian darjat di dunia dan akhirat. (Lihat : Tafsir al-Sa’di : 882)

Read Full Post »

Bila Maut Datang Bertandang

Ditulis oleh : Ummu Abdillah

Kita semua yang masih hidup di atas muka bumi ini mengimani bahawa mati itu adalah benar. Baik Muslim, kafir, munafiq, mahupun atheist, mereka semua tahu yang satu hari nanti mereka pasti akan mati. Mengingati mati merupakan satu tuntutan dalam Islam. Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam ada menyebut : “Perbanyakkanlah mengingati pemutus kelazatan dunia (mati) kerana tidaklah seseorang yang dalam kesempitan itu mengingatinya (mati) melainkan ia akan melapangkannya, dan tidaklah seseorang yang dalam keadaan lapang itu mengingatinya melainkan ia akan menyempitkannya”. [Diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Tabarani dalam al-Awsath. Berkata al-Haithami : Isnadnya hasan]. Mati adalah permulaan perjalanan di alam barzakh  sebagaimana kelahiran itu merupakan permulaan perjalanan kita di alam dunia dan ia akan terhenti samada di Syurga atau neraka. (more…)

Read Full Post »

Al-Imam al-Nawawi rahimahullah menukilkan dalam al-Majmu’ bahawa pendapat sebahagian besar ulama’ Syafi’iyah dalam masalah ini adalah; jika wanita itu solat bersendirian atau di kalangan wanita sahaja atau di kalangan mahramnya, maka dia boleh menguatkan bacaan samada solat berjemaah atau sendirian. Jika ada lelaki bukan mahram, maka hendaklah dia memperlahankan bacaan. [Lihat : al-Majmu’, 3/343]

Read Full Post »

‘Ain merupakan satu perkara yang agak asing dalam masyarakat kita walaupun ia sebenarnya adalah satu perkara yang amat penting untuk diketahui kerana besarnya mudarat yang boleh tertimpa ke atas seseorang melalui ‘ain. Dalam tulisan ini, saya akan cuba untuk menjelaskan apa itu ‘ain seperti yang disebut dalam hadis-hadis dan penjelasan para ulama’.

Terdapat banyak hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam yang menyebut mengenai ‘ain dan ini  membuktikan kebenarannya dan kewujudannya. Ia mungkin kedengaran agak janggal bagaimana pandangan mata itu boleh merosakkan, memudaratkan atau menyebabkan seseorang itu sakit. Tetapi sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan perkara ghaib, kita wajib menerima perkara ini walaupun ia sukar diterima akal dan kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan ‘ain supaya tidak menimpa kita dan ‘ain kita tidak pula menimpa orang lain. (more…)

Read Full Post »

Older Posts »