Feeds:
Posts
Comments

Archive for April, 2010

Ghibah (Mengumpat)

Ditulis oleh : Ummu Abdillah

Pendahuluan

            Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat lisan kepada manusia. Dengan lisan mereka berkomunikasi, dengan lisan mereka berkata-kata, dengan lisan juga manusia boleh mengubah seluruh dunia dan seisinya. Tetapi, adakalanya  mereka terlupa adanya batas-batas yang perlu dijaga dan diawasi. Di sana sini kedengaran gosip dan berita panas dijaja baik di majalah-majalah, akhbar-akhbar, di pejabat, di rumah dan di mana sahaja. Keburukan orang menjadi ‘santapan’ dan ‘hidangan’ sekiranya ada perbualan di antara 2 orang atau lebih, kecuali orang-orang yang dirahmati dan dilindungi oleh Allah dari dosa ini. Inilah yang dinamakan ghibah atau mengumpat. Kita tahu ia dilarang oleh Allah dan RasulNya, tapi sering sahaja kita membolehkan dan menghalalkannya dengan pelbagai alasan; sebagai contoh : ‘Aku bukanlah nak mengata ke apa, tapi benda ni memang betul’, ada juga yang memulakan ghibah dengan tasmiyah (bismillahirrahmanirrahim), ada juga yang berkata, ‘ala kita bukan cerita pada sesiapa, kita-kita je sama-sama ahli keluarga’, dan lain-lain. Adakah alasan-alasan ini boleh diterima?

          Artikel ini, insya Allah, akan mengulas beberapa perkara mengenai ghibah; pengertian ghibah, dalil-dalil pengharamannya dari al-Quran dan Sunnah, beberapa keadaan yang dibenarkan padanya ghibah, cara untuk merawat penyakit ghibah, bagaimana untuk menebus ghibah serta perintah untuk menjaga lisan. (more…)

Advertisements

Read Full Post »

Al-Usul al-Thalathah wa al-Qawa’id al-Arba’ah (3 Usul dan 4 Kaedah)

Oleh : Muhammad bin Abdul Wahab rahimahullah

(Diterjemah : Ili Dalila binti  Mohd Redzwan)

     Ketahuilah wahai saudaraku yang dirahmati Allah, hendaklah kita mengetahui empat permasalahan ini :

Pertama : Ilmu ; pengetahuan mengenai Allah, pengetahuan mengenai Nabi s.a.w dan pengetahuan mengenai agama dengan dalil dan hujah.

Kedua : Beramal dengannya.

Ketiga : Berdakwah kepada manusia ke arahnya.

Keempat : Sabar di atas ujian dan kesakitan semasa berdakwah. Dalilnya adalah firman Allah :

 وَالْعَصْرِ. إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ. إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ. 

Maksudnya : Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (al-‘Ashr : 1-3)

Berkata al-Syafie : ‘Jika Allah tidak menurunkan apa jua hujah ke atas makhluknya kecuali surah ini, maka ia sudah mencukupi (sebagai hujah)’.

Berkata al-Bukhari : ‘Bab ilmu sebelum perkataan dan amal. Dan dalilnya firman Allah :

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ

Maksudnya : Ketahuilah, sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah dan mohonlah keampunan dariNya dari dosa-dosamu. (Muhammad : 19)

Oleh itu, dia memulakan bab ilmu sebelum qaul (perkataan) dan amal (perbuatan).’ (more…)

Read Full Post »

Pesan Sebelum Kahwin

Saya teringat dahulu sebelum saya mendirikan rumahtangga, saya meminta nasihat daripada ramai orang termasuklah seorang wanita yang saya kenali di UIA, Ummu Khuzama.. dia berasal dari Jordan. Suaminya ialah kawan kepada suami saya. Dia mempunyai 2 orang anak ketika saya mengenalinya, Khuzama dan Umaymah. Kini, saya mendapat khabar berita bahawa dia telah melahirkan anak lelaki yang diberi nama Abdul Aziz. Kini dia adalah Ummu Abdil Aziz.

Seingat saya, kami berjumpa dan berkenalan hanya dalam tempoh setahun, kemudian dia pulang ke Jordan. Suhbah (persahabatan) dan keakraban yang telah Allah tetapkan ini ibarat satu mimpi bagi saya, perkenalan cuma seketika tapi begitu banyak yang saya dapat dan pelajari daripadanya. Kami sangat akrab dan boleh dikatakan setiap minggu saya akan ke rumahnya. Masha Allah.. Dia adalah sosok wanita yang ingin saya contohi, wanita pertama yang saya lihat sangat-sangat mencintai ilmu dan sangat berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah. Setiap kali kami bersama dalam kuliah al-Aqidah al-Tahawiyah, dia pasti boleh mengikut dan menyambung setiap kata-kata Syeikh Aiman. Saya yakin dia telah membaca dan mengulang kitab itu berkali-kali. Saya tidak tahu apakah pengakhiran hidupnya dan apa yang ada dalam hatinya, tapi inilah yang saya nampak secara lahirnya dan Allah jualah yang lebih mengetahui.

Saya sangat terkesan dengannya dan saya mendapat banyak manfaat daripadanya. Benarlah sabda Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam : ‘Perumpamaan sahabat yang baik dan sahabat yang jahat itu adalah seperti orang yang memakai misk (wangian) dan orang yang memakai kiir. Orang yang memakai misk akan memberikannya kepadamu sebagai hadiah atau kamu akan membeli sebahagian daripadanya atau kamu akan memperolehi bau yang harum daripadanya. Tetapi orang yang menghembuskan kiir akan membuat bajumu terbakar atau kamu akan mencium bau busuk daripadanya’ (HR al-Bukhari dan Muslim).

Sebelum melangkah ke dunia perkahwinan, saya meminta nasihat daripadanya, ‘Bi ma tanshohiini ya Umma Khuzama?’ (Apakah yang kau akan nasihatkan aku wahai Ummu Khuzama?). Dia menjawab : ‘Alayki bi taqw            allah, wa al-ikhlas, wat-tibaa’ sunnati-nabiyy shallallahu ‘alayhi wa sallam’ (Hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah, sentiasa ikhlas dan mengikut Sunnah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam). Sungguh kata-katanya terpahat dalam hati saya hingga kini, setelah lebih 2 tahun mendirikan rumahtangga dan sekuat mungkin saya cuba mengamalkan setiap butir nasihatnya. Dan saya sentiasa menasihatkan mereka yang akan mendirikan rumahtangga dengan kata-katanya ini supaya kebaikan dan manfaat nasihat ini berterusan sampai bila-bila.

Saya bukanlah orang yang berpengalaman mengenai hal-ehwal rumahtangga, bahkan saya sendiri baru bertatih meniti alam ini. Tapi apa yang mampu saya katakan ialah; perkahwinan benar-benar mengajar saya erti kehidupan yang sebenar. Alamnya penuh dengan cabaran dan sentiasa menguji keimanan dan kepatuhan sebagai seorang hamba Allah Ta’ala serta menduga kekuatan fizikal dan mental seorang wanita. Alhamdulillah, Allah mentakdirkan saya untuk mendapat nasihat yang berharga daripada seorang sahabat yang baik, dan berbekalkan nasihat itulah saya meneruskan kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu.

Taqwa; itulah kunci kebahagiaan hidup dan itulah faktor terbesar yang  menjamin kebahagiaan rumahtangga. Terdapat banyak definisi taqwa seperti yang ditafsir oleh salafus-soleh dan para ulama’ rahimahumullah tetapi untuk diri saya sendiri, saya senang memilih definisi ini kerana mudah difahami :

التقوى أن تعمل بطاعة الله على نور من الله ترجو ثواب الله وأن تترك معصية الله على نور من الله تخاف عقاب الله

Taqwa itu ialah engkau  melakukan ketaatan kepada Allah, atas cahaya dari Allah (atas dasar ilmu dari al-Quran dan Sunnah) serta mengharapkan pahala daripada Allah, dan engkau meninggalkan maksiat kepada Allah, atas cahaya dari Allah (atas dasar ilmu dari al-Quran dan Sunnah) kerana takutkan balasan Allah.

Ringkas dan padat; taqwa merangkumi tiga aspek penting : amal, ilmu yang sahih dan ihtisab (mengharap balasan daripada Allah). Apabila adanya tiga perkara ini, maka terlaksanalah taqwa.  Satu lagi kata-kata yang sentiasa terpahat dalam hati dan sering saya ulang di hadapan suami untuk tujuan muhasabah ialah apa yang disebut oleh Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti hafizhahullah dalam salah satu siri kuliah beliau; Fiqh al-Usrah (Fiqh Kekeluargaan) :

كتب الله السعادة لكل زوج وزوجة يتقي الله كل منهما في الآخر، كتب الله السعادة لبيوت قامت على رعاية الحقوق وأداء الأمانة..

Maksudnya : Allah menetapkan (menjamin) kebahagiaan bagi suami dan isteri yang bertaqwa kepada Allah pada pasangan mereka, Allah juga menjamin kebahagiaan bagi rumah yang didirikan atas dasar pemeliharaan hak dan pelaksanaan tanggungjawab.

Ikhlas; jari-jemari saya kaku seketika untuk mensyarahkan kalimah ini. Terlalu besar maknanya dan mendalam ertinya. Inilah aset yang paling diperlukan  oleh seorang isteri dan ibu selepas taqwa. Bagaimana mungkin di zaman serba duniawi ini dan digasak pula dengan propaganda Barat, seorang wanita itu bisa rela dan redha membiarkan dirinya menjadi mamluk (yang dimiliki) si suami, diam tetap dia di rumah suaminya serta memberikan ketaatan dan kepatuhan yang tidak berbelah bahagi? Ikhlas.. Sang wanita mesti membulatkan seluruh hatinya untuk menyahut seruan dan perintah Allah. Setiap kepayahan dan keletihan hanya terbayar dengan janji-janji Allah buat mereka yang melaksanakan perintahNya dan menjauhi laranganNya. Apabila setiap kerja yang dilakukan adalah untuk Allah, yang sukar menjadi senang, yang buntu ada jalan keluar, yang sempit menjadi lapang, hati yang gundah menjadi tenang. Jika si isteri mengharapkan balasan si suami, si suami tidak akan sekali-kali dapat membalas setiap keringat isteri yang berhempas pulas menjaga rumah dan seisinya, maka harapkanlah balasan dari yang Maha Kaya. Jika tiada ikhlas, masa itulah terjadinya ungkit-mengungkit, sedangkan tanggungjawab itu memang wajib kita laksanakan dan bukannya ia pilihan kita atau tidak.

Mengikut Sunnah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam; Sunnah itu cara hidup, tidak mungkin sebuah perkahwinan itu bahagia tanpa mengikut Sunnah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam. Jika Sunnah tidak diikuti oleh si suami dan si isteri, hidup mereka sia-sia dan perkahwinan mereka tidak akan menyampaikan keduanya ke syurga Allah.

Read Full Post »